Larangan Eksport Bukan Penyelesaian Kenaikan Harga Barangan Pengguna – Ahli Ekonomi

KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) — Tindakan mengenakan sekatan eksport bukanlah penyelesaian terhadap isu kenaikan harga barangan pengguna di Malaysia dan tidak harus dilihat sebagai langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah tersebut, kata ahli ekonomi utama Kumpulan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi.

Menurutnya, biarpun langkah itu dapat mengawal kenaikan harga, namun tindakan yang berpanjangan boleh menjejaskan negara serta ekonomi rakyat, sekali gus mengundang lebih banyak kesan buruk berbanding kebaikan.

Beliau turut memberi contoh larangan eksport ayam telah mencetuskan kesan domino termasuk kekurangan bekalannya di Singapura dan terdapat laporan media mengenai hasrat negara itu mendapatkan sumber bekalan dari negara lain seperti Brazil.

“Larangan eksport itu (berkemungkinan) membantu mengawal harga dan meningkatkan bekalan seperti ayam, tetapi pengeluar Malaysia sebaliknya akan dinafikan dari segi mendapat peluang pasaran lebih besar serta harga lebih tinggi terhadap produk mereka.

“Apabila dinafikan daripada meraih manfaat harga lebih tinggi, mereka akan bertindak mengurangkan pelaburan di peringkat domestik.

“Selain itu, terdapat golongan miskin yang bergantung kepada usaha penternakan yang turut terjejas dengan kesan harga rendah itu sebaliknya ditenggelamkan oleh masalah penurunan pendapatan mereka. Purata pendapatan isi rumah dalam aspek penternakan di Malaysia adalah kurang berbanding dengan B40 yang lebih lazim,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Sidang media itu diadakan bersempena dengan pelancaran Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Catching Up: Inclusive Recovery and Growth for Lagging States’ yang dijadualkan pada 16 Jun ini di Kota Kinabalu.

Turut hadir pada sesi sidang media itu ialah Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.

Mengulas selanjutnya, Sanghi menegaskan penyelesaian masalah kenaikan harga makanan itu juga bukanlah mudah.

Namun, katanya, sebarang tindakan yang menumpukan usaha bagi meningkatkan pengeluaran makanan, menggalakkan jaminan makanan serta memanfaatkan pendigitalan dapat membantu Malaysia menangani isu harga terbabit.

Menurutnya apa yang menarik, 88 peratus daripada projek-projek pertanian di negara ini menumpukan beras dan berkaitannya, namun 40-45 peratus daripada subsidi itu lebih kepada pengimportan beras manakala usaha pengeluarannya di Malaysia semakin susut.

“Oleh itu, peruntukan terhadap subsidi berkaitan perlu diteliti,” katanya.

Krisis ketenteraan di Ukraine juga membuktikan keperluan bagi Malaysia mencari alternatif untuk produk yang terjejas seperti baja untuk mengurangkan kos pengeluaran makanan, kata beliau.

Sementara itu, Matsuda pula menyifatkan pelaburan dalam prasarana awam dan modal insan sebagai amat penting bagi membolehkan negeri-negeri seperti Sabah dan Kelantan kembali pulih, khususnya dari segi ekonomi dalam era pasca-pandemik.

Beliau berkata, Sabah pada masa ini merupakan pengeluar hasil tani dan mampu mempelbagaikan usaha dalam tempoh jangka panjang, termasuk perindustrian yang dapat menarik lebih banyak pelaburan asing.

“Sebagai contoh, terdapat peluang pelaburan dari China pada masa ini, namun adakah negeri ini bersedia menjadi sebuah destinasi pelaburan?

“Pelaburan dalam prasarana awam dan modal insan, terutama pendidikan adalah penting dan merupakan persoalan dasar yang utama untuk kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/larangan-eksport-bukan-penyelesaian-kenaikan-harga-barangan-pengguna-ahli-ekonomi/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Pelbagaikan Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Russia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah.

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Russia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Pada 20 Jun lalu, PETRONAS memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

PETRONAS memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-BERNAMA