LHDN Kesan 31,598 Entiti Tidak Lapor Pendapatan Sebenar

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) —  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengesan sebanyak 31,598 entiti terdiri daripada individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain yang masih tidak melaporkan pendapatan sebenar.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata amaun ketirisan cukai langsung yang dialami oleh negara dianggarkan bernilai RM665 juta dan nilai anggaran ketirisan ini merupakan satu amaun yang signifikan dan mampu memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara jika ia tidak segera dibendung.

Ia menambah pengesanan entiti ini dibuat berdasarkan maklumat melalui pemilikan aset dan kemampuan entiti tersebut mengambil pinjaman/sekuriti melebihi RM500,000.00 dan ke atas.

“Bagi tujuan tersebut, tempoh masa yang diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan ialah selama satu bulan iaitu bemula dari 15 Jun 2022 sehingga 15 Julai 2022,” katanya. 

Setelah tempoh sebulan ini tamat, LHDN akan mengambil tindakan penguatkuasaan cukai seperti audit, siasatan sivil dan siasatan jenayah terhadap entiti dan individu berkenaan yang masih gagal patuh menghantar Borang Nyata Cukai bagi sesuatu Tahun Taksiran, mengemukakan penyata yang salah, dan mengelakkan diri daripada dikenakan cukai.

“Tindakan siasatan jenayah akan memberi implikasi pendakwaan di mahkamah. Ketidakpatuhan dan pelarian cukai ini dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 112, 113 dan 114 Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/lhdn-kesan-31598-entiti-tidak-lapor-pendapatan-sebenar/

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama