Malaysia Dalam Misi Memenangi ‘Perlumbaan Ekonomi’ Di Rantau Asia Tenggara

JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) — Malaysia kini dalam misi untuk memenangi ‘perlumbaan ekonomi’ dalam kalangan negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara, selepas disifatkan kehilangan banyak peluang yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19, tiga tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata dalam mencapai misi tersebut, kerajaan juga telah menaikkan peruntukan pembangunan bagi tahun ini kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion pada tahun lalu. 

Selain itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan akan terus memberi fokus kepada pembangunan ekonomi negeri dengan Johor diberi penekanan kerana menerima pelaburan langsung asing tertinggi sebanyak RM80.6 bilion pada tahun lepas.

“Kerajaan Perpaduan (menerusi) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam misi untuk mengejar kembali peluang ekonomi dan pelaburan yang kita telah hilang dan kita mahu ‘memenangi perlumbaan’ ini.

“Beberapa tahun lalu apabila kita dengar berita syarikat Tesla mahu melabur di Indonesia, ramai di antara kita berasa bimbang pelaburan asing akan lari ke negara jiran, namun dalam masa singkat kini kita telah dapat tarik semula pelaburan, antaranya Tesla, Amazon, Geely dan Rongsheng Petrochemical Co Ltd,” kata beliau ketika berucap merasmikan pembinaan laluan pejalan kaki ‘City Link Skybridge, di sini, hari ini.

Justeru, bagi memastikan kesemua pelaburan tersebut dapat direalisasikan, beliau berkata kerajaan menerusi agensi-agensi berkaitan akan terus memudah cara bagi membolehkan pelaburan asing masuk dengan lebih agresif ke dalam negara.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan pembinaan laluan pejalan kaki yang bakal dibina sepanjang 280 meter dengan kos bernilai RM50 juta. Laluan itu menghubungkan Coronade Square ke Johor Bahru Sentral.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Harga Barang Dijangka Terkawal Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR: Harga barang di Malaysia dijangka kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini seandainya kenaikan harga minyak dunia hanya bersifat sementara, demikian menurut penganalisis.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata bagi separuh kedua tahun ini, harga barang dijangka masih terkawal tetapi berisiko meningkat secara berperingkat, terutama jika harga tenaga dan kos logistik terus meningkat.

Beliau berkata, tekanan inflasi mungkin lebih ketara dalam kategori makanan dan pengangkutan, namun langkah kerajaan seperti kawalan harga bersasar serta subsidi terpilih boleh membantu mengekang kenaikan mendadak.

“Secara keseluruhan, inflasi dijangka kekal dalam julat terkawal, tetapi dengan risiko ke arah kenaikan,” katanya kepada BH.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan, pula berkata pihaknya masih menjangkakan harga barangan kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, walaupun konflik di Asia Barat meningkatkan risiko kos import, kesannya dijangka terhad sekiranya kenaikan harga minyak hanya bersifat sementara.

Menurutnya, mekanisme subsidi bahan api sedia ada membantu mengurangkan kesan langsung kepada pengguna, manakala sebarang peningkatan kos pengangkutan dan logistik lazimnya mengambil masa sebelum dipindahkan kepada harga pengguna.

Selain itu, Mohd Sedek berkata, pelbagai inisiatif kerajaan bagi mengawal inflasi tolakan kos, termasuk penyasaran subsidi, pemantauan harga barangan keperluan serta usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan, dijangka terus membantu mengekang tekanan inflasi.

“Oleh itu, kami masih mengekalkan unjuran inflasi sekitar 2.0 peratus bagi keseluruhan tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peralihan kepada pasaran seperti perdagangan dan pelaburan yang menghala ke arah BRICS dan Eropah Timur perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan komuniti perniagaan serta perundangan dapat diselarikan bagi memudahkan jalinan hubungan diplomatik dan perniagaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata, sekiranya harga bahan api kembali meningkat, maka terdapat kemungkinan kadar inflasi juga meningkat memandangkan tidak semua sektor ekonomi mendapat subsidi bahan api.

Justeru, katanya, risiko inflasi yang meningkat adalah antara risiko makroekonomi yang boleh berlaku pada separuh kedua 2026.

— Berita Harian