Malaysia Perlu Utamakan Pelaburan Dalam Ekonomi Perak Untuk Bolehkan Penduduk Menua Yang Sihat – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Malaysia perlu mengutamakan pelaburan dalam ekonomi perak untuk membina infrastruktur dan mencetuskan inovasi dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang membolehkan warganegara menua yang aktif dan sihat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ekonomi perak ialah semua aktiviti ekonomi, produk dan perkhidmatan yang direka untuk memenuhi keperluan kalangan penduduk yang berusia lebih 50 tahun. 

Beliau berkata meningkatkan ketersediaan dan kemampuan peranti teknologi daripada teknologi kediaman pintar sehingga peranti boleh guna yang membantu menjejaki penanda kesihatan, membolehkan kalangan penduduk Malaysia yang menua menjalani kehidupan persaraan yang lebih sihat.

“Kemajuan dalam teknologi kebolehcapaian, yang boleh mengatasi kemerosotan mobiliti, pendengaran atau penglihatan, serta dapat meningkatkan produktiviti kalangan penduduk menua di tempat kerja, membolehkan mereka menyumbang kepada tenaga kerja untuk tempoh yang lebih lama,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024) di sini, pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia mesti mengutamakan pelaburan dalam sektor penting seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur yang kondusif untuk penuaan aktif.

“Menerusi langkah memperuntukkan sumber kepada bidang ini, Malaysia boleh meletakkan kedudukannya untuk memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat, dianggarkan bernilai US$15 trilion (RM70.2 trilion), didorong oleh keperluan dan keutamaan jumlah pengguna yang menua.

“Pelaburan sedemikian bukan sahaja menjanjikan pulangan besar malah juga menekankan komitmen Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup kumpulan penduduk yang semakin tua di samping merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara,” katanya.

Anwar berkata persediaan untuk negara menua memerlukan pendekatan senegara untuk menambah baik kehidupan penduduk menua Malaysia dan dunia.

Beliau berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga yang disasarkan untuk membangunkan ekonomi perak di Malaysia.

“Saya mengharapkan lebih banyak penglibatan daripada sektor swasta dalam membangunkan produk dan penyelesaian dalam bidang ini supaya kita tidak ketinggalan dalam persaingan,” katanya.

ISWC 2024 dua hari mulai hari ini, anjuran KWSP dengan tema ‘Penuaan dan Kepanjangan Usia: Ke Arah Persaraan Bermakna’, membincangkan pelbagai isu dan cabaran berkaitan penuaan dan persaraan dengan penekanan khusus diberikan untuk memastikan jaminan pendapatan persaraan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.