Malaysia Tidak Akan Alami Kegawatan Ekonomi Tahun Ini – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Kementerian Kewangan menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023 meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata takrifan kegawatan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.

“Pada tahun ini, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus. Ini seiring dengan apa yang telah diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.4 peratus dan 4.0 peratus tahun ini.

“Kerajaan akan terus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah kegawatan ekonomi pada 2023 untuk meminimumkan kesannya kepada rakyat Malaysia.

Bagi menangani kesan kenaikan harga barangan keperluan asas, Sim berkata kerajaan akan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan juga pelbagai insentif dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM64 bilion.

Selain itu, kerajaan juga melaksanakan program Menu Rahmah dan Jualan Rahmah di bawah agenda Payung Rahmah, meneruskan program penetapan harga siling serta penyeragaman harga bagi barangan keperluan asas tertentu, katanya.

Bagi membina semula Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam tempoh pasca pandemik, Sim berkata kerajaan telah menyediakan dana insentif, potongan cukai, pinjaman dan jaminan pembiayaan dengan peruntukan lebih RM40 bilion.

Melalui pemerkasaan sektor PMKS, secara langsung kita membangunkan ekonomi negara dan secara tidak langsungnya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan setimpal untuk rakyat, katanya.

Beliau berkata selain peruntukan subsidi, kerajaan turut melaksanakan subsidi bersasar dalam bil elektrik bagi 10 peratus pengguna teratas .

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OPR Dijangka Kekal 2.75 Peratus Pada 2026 Susulan Kekuatan Permintaan Domestik – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Ketahanan permintaan domestik serta tekanan inflasi yang masih terkawal dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 2.75 peratus sepanjang 2026, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana, namun gangguan berterusan di sekitar Selat Hormuz masih berpotensi menimbulkan risiko kenaikan inflasi menerusi peningkatan kos bahan api import, baja dan logistik

“Penstabilan dasar monetari dijangka terus menjadi objektif utama, manakala ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat serta kedudukan ringgit yang agak kukuh memberi ruang yang mencukupi kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah semasa,” katanya.

Bagi unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit pada akhir tahun, Kenanga IB mengekalkan sasaran pada RM3.95 berbanding dolar AS, yang didorong bukan semata-mata oleh bilangan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, sebaliknya oleh jangkaan kelemahan struktur mata wang dolar AS yang lebih meluas.

Unjuran itu turut disokong oleh kepelbagaian rizab antarabangsa, pengagihan semula portfolio pelaburan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemampanan fiskal AS.

Bank pelaburan itu berkata asas ekonomi domestik kekal menyokong, dengan deposit mata wang asing mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM305.8 bilion pada April, sekali gus mencerminkan potensi besar penukaran kepada ringgit dalam tempoh jangka panjang.

“Bagaimanapun, risiko kini dilihat lebih seimbang. Meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat boleh menyebabkan harga minyak, jangkaan inflasi dan permintaan terhadap dolar AS kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kami berpandangan perkembangan politik domestik semakin menjadi faktor penting yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.

— BERNAMA