Malaysia Tidak Alami Krisis Ekonomi Meskipun Penurunan Nilai Ringgit Berbanding Dolar AS – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia. 

Tengku Zafrul berkata ringgit menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal 2022, namun mata wang serantau dan negara maju lain juga turut mencatatkan penurunan yang sama.

“Contohnya, yen Jepun turun 19.2 peratus, yang terendah sejak 24 tahun lalu, pound sterling jatuh 14.4 peratus, terendah sejak 37 tahun dan Euro turun sebanyak 11.7 peratus, terendah semenjak 20 tahun yang lalu,” katanya menerusi hantaran video di laman media sosial beliau, hari ini.

Beliau berkata meskipun negara-negara tersebut turut mengalami penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS, namun ia tidak mengalami krisis ekonomi termasuk di Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun. 

Menurutnya lagi,  jika dibandingkan dengan rakan dagang Malaysia dan mata wang lain, nilai ringgit telah meningkat.

Sebagai contoh, beliau berkata, ringgit melonjak sebanyak 14.2 peratus berbanding yen Jepun, meningkat 8.2 peratus berbanding pound sterling, (4.5 peratus) berbanding euro, (3.9 peratus) berbanding dolar New Zealand dan (7.2 peratus) berbanding won Korea.  

“Yang penting, sebagai sebuah negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara.

“Jadi jangan tengok pada satu aspek sahaja. Cuba tanya pengeksport  Malaysia…depa (mereka) semua happy (gembira) sebab barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif,” ujarnya. 

Selain itu, katanya, asas ekonomi negara yang terus kukuh juga penting dalam menentukan kekuatan ringgit. 

Beliau berkata, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang bagi tiga suku tahun berturut-turut bermula pada suku keempat 2021 sebanyak 3.6 peratus, suku pertama 2022 (5.0 peratus) dan suku kedua 2022 (8.9 peratus). 

Sementara itu Tengku Zafrul berkata penurunan kadar pengganguran negara yang turun kepada 3.7 peratus pada Julai 2022, iaitu paras terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara, juga merupakan bukti negara tidak mengalami krisis ekonomi.

Selain itu, pada tempoh yang sama juga, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan peningkatan sebanyak 12.5 peratus manakala nilai perdagangan borong dan runcit meningkat 41 peratus kepada RM130.7 bilion. 

“Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sahaja, nilai keseluruhan perdagangan borong dan runcit berjumlah sebanyak RM882.1 bilion, 19 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.

“Nilai eksport kita pula naik 38 peratus kepada RM134.1 bilion, iaitu peningkatan selama 12 bulan berturut-turut bagi tujuh bulan pertama 2022,” katanya.

Tambahnya lagi, pelaburan asing bersih di pasaran Bursa Malaysia kini berjumlah lebih RM8 bilion manakala pelaburan runcit bersih juga mencecah RM1.8 bilion dari awal tahun sehingga kini. 

Selain itu, kadar inflasi negara juga terkawal pada 2.8 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama 2022 dengan pelaksanaan langkah kawalan harga khususnya melalui pemberian subsidi yang berjumlah hampir RM80 bilion tahun ini.

“Jadi, tidak masuk akal kalau dengan petunjuk-petunjuk positif ini, ada yang kata kita dalam krisis ekonomi,” tegas Tengku Zafrul. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-tidak-alami-krisis-ekonomi-meskipun-penurunan-nilai-ringgit-berbanding-dolar-as-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

Pembaharuan Subsidi, Kadar Cukai Tinggi Mungkin Tidak Popular, Tetapi Malaysia Memerlukannnya – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Tindakan berani yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi Malaysia walaupun melibatkan langkah-langkah yang tidak popular, tetapi penting untuk kemajuan negara, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata langkah melaksanakan pembaharuan subsidi diesel dan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi akan membolehkan Malaysia menghadapi sebarang cabaran ekonomi yang mungkin timbul pada masa hadapan.

“Apa yang lebih penting, ia adalah untuk membolehkan lebih ruang fiskal bagi kerajaan untuk berbelanja lebih dalam bidang yang boleh membawa lebih produktiviti untuk negara, terutamanya dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur,” katanya dalam program televisyen Bernama World hari ini.

Mohd Afzanizam menyatakan langkah-langkah pembaharuan itu telah mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya daripada pasaran kewangan, yang diterjemahkan kepada prestasi yang lebih baik bagi ringgit dan pasaran ekuiti.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata Malaysia telah berdepan dengan isu defisit belanjawan selama beberapa dekad dan defisit tersebut telah wujud tanpa mengira kitaran ekonomi.

“Secara idealnya, belanjawan seimbang seharusnya dicapai apabila ekonomi telah pulih sepenuhnya daripada sebarang bentuk kejutan, tetapi saya fikir ia lebih daripada itu, apa yang kita lihat adalah defisit tersebut berterusan dan telah menjadi struktur.

“Jadi saya rasa pentadbiran semasa ini sedang membuat langkah berani untuk memastikan kedudukan fiskal kita, terutamanya berkaitan dengan defisit dan tahap hutang, yang akan dikembalikan ke tahap yang lebih mampan,” katanya lagi.

Mohd Afzanizam berpendapat strategi pentadbiran semasa juga akan menarik minat pelabur asing, terutamanya kerana kedudukan kewangan yang lebih kukuh akan menghasilkan skor kredit yang lebih tinggi.

“Defisit fiskal atau hutang kerajaan ini sangat berkait rapat dengan risiko kredit dan risiko kredit sentiasa dinilai oleh agensi penarafan kredit seperti S&P dan Fitch Ratings.

“Agensi penarafan telah memberi ulasan positif terhadap pasaran Malaysia dan ini akan menjadi fokus jualan bagi pasaran Malaysia kita, yang akhirnya akan menarik lebih banyak dana asing ke Malaysia dan mungkin akan menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,” tambahnya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam mengakui bahawa langkah-langkah yang tidak popular ini memerlukan komunikasi yang lebih baik dan kerajaan perlu jelas dalam menyampaikan mesej supaya rakyat dapat memahami objektif tindakan tersebut.

“Orang ramai perlu tahu apakah hasil yang akan mereka peroleh pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA