MITI Jangka Pelaksanaan e-Invois Tidak Jejas Jumlah Jualan Kenderaan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangka pelaksanaan e-invois yang dijadualkan bermula secara berperingkat pada Ogos depan tidak akan memberi impak kepada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada tahun ini.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaksanaan sistem e-invois pada bulan depan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta dan dijangka tidak menjejaskan syarikat jualan kenderaan bersaiz kecil.

“Saya sudah berbincang dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan kami berpendapat tidak ada impak ke atas pelaksanaan e-invois, cuma mungkin kegusaran syarikat kecil ini kerana ia akan melibatkan sistem yang perlu mereka ada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif Akreditasi Halal & Peningkatan Teknologi (HATI), di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kewangan (MoF) telah memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem e-invois untuk permulaan hanya membabitkan syarikat yang memiliki pendapatan atau hasil melebihi RM100 juta.

“Secara teori sepatutnya tiada kesan kerana penjual kereta…syarikat mereka tidaklah sebesar itu.

“Namun kita tahu ada kerisauan kerana ada segelintir yang menawarkan pinjaman penuh untuk kenderaan, jadi dengan e-invois ia menjadikan transaksi lebih terus, dan amalan ini tidak boleh dilakukan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan jualan kenderaan dijangka mengalami penurunan permintaan pada Ogos akibat penghapusan pinjaman penuh terhadap pembelian susulan pelaksanaan e-invois.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan 4,000 syarikat berpendapatan melebihi RM100 juta disasarkan menjadi kumpulan pertama bagi pelaksanaan e-invois mulai 1 Ogos, 2024.

Syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta akan mula mengguna pakai e-invois pada 1 Jan, 2025.

Manakala penguatkuasaan penuh sistem e-invois akan dilaksana pada 1 Julai, 2025.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA