MOF Yakin Sasaran 60 Peratus Perbelanjaan Belanjawan 2023 Dicapai Ogos Ini

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) — Kementerian Kewangan (MOF) yakin sasaran 60 peratus perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023, dapat dicapai bulan depan bagi menyokong langkah kerajaan menyegerakan pelaksanaan projek-projek cakna rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan Tahun 2022 di sini hari ini, Ahmad berkata MOF telah mengagihkan peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 kepada agensi dan kementerian terlibat.

“Kita yakin ini akan dicapai sebab segala wang yang sepatutnya disalurkan dan patut mengikut tempoh terbabit, telah diberi kepada semua kementerian dan agensi.

“Perbelanjaan operasi itu mudah sebab pada setiap bulan gaji, penyelenggaraan dibuat secara berkala. Apa yang menjadi kesukaran perbelanjaan ini adalah mengenai perbelanjaan pembangunan yang kita nak teliti sungguh-sungguh supaya segalanya dipermudah dan dipercepat manakala pada masa sama tata kelola tadbir urus sentiasa dilakukan,” katanya.

Di Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu 60 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 dibelanjakan pada Ogos ini.

Ketika berucap, Anwar berkata setakat Jun lepas, sebanyak RM188 bilion atau 49 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 berkenaan telah dibelanjakan.

Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM99 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Mengulas selanjutnya, Ahmad berkata kerajaan juga berharap agar tiada agensi atau kementerian yang bertindak mengembalikan wang peruntukan di bawah Belanjawan 2023 kepada MOF.

“Kita tidak gemar jika ada kementerian kembalikan peruntukan kerana ini menunjukkan ketidakcekapan. (Namun) tidak mengapalah jika ada asas-asas sepatutnya seperti pengambilan tanah yang tidak selesai bagi tujuan pembinaan,” katanya.

Ahmad berkata Perdana Menteri juga telah mengumumkan beberapa langkah untuk menyegerakan pelaksanaan projek cakna rakyat seperti penurunan kuasa bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil bawah RM1 juta yang boleh dilaksanakan tanpa merujuk kepada Jabatan Kerja Raya.

 “Penekanan diberikan pada projek-projek kecil kerana itulah pendekatan untuk dapat menyegerakan atau meningkatkan pelaksanaan dan perbelanjaan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA