MySTEP Adalah Langkah Berpandangan Jauh Rapatkan Jurang Kemahiran Digital

KUALA LUMPUR, 18 Julai  (Bernama) — Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) bagi menangani pengangguran belia juga terbukti sebagai langkah berpandangan jauh untuk merapatkan jurang kemahiran digital yang teruk dalam kalangan penduduk yang bekerja, menarik pelaburan asing dan mengekalkan daya saing negara.

Malaysia dianggarkan memerlukan tiga juta pekerja tambahan dengan kemahiran digital pertengahan atau lanjutan menjelang 2030 — lebih daripada jangkaan graduan yang tamat pengajian daripada universiti tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif General Assembly Malaysia (GA) Andrew Pereira.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata satu-satunya cara untuk merapatkan jurang bakat adalah dengan meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja sedia ada, lebih-lebih lagi memandangkan ekonomi digital dianggarkan menyumbang hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

“Kemakmuran berterusan kita sebagai sebuah negara akan bergantung kepada sama ada kita akan menyahut cabaran untuk menutup jurang kemahiran digital, kerana kira-kira empat juta rakyat Malaysia yang bekerja berisiko disingkirkan daripada kerja mereka menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata kegagalan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital akan menyebabkan kebolehpasaran pekerja Malaysia menjadi lebih rendah dan kekurangan bakat akan mengehadkan pertumbuhan firma tempatan dan menyebabkan firma asing untuk berpindah ke tempat lain.

Sehubungan itu, GA — penyedia global perkhidmatan yang meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula digital – telah bekerjasama dengan Khazanah Nasional Malaysia untuk melaksanakan MySTEP, salah satu komponen di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bagi mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan.

Menurut kajian oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), lapan daripada 10 pekerjaan baru muncul yang berada di kedudukan teratas memerlukan kemahiran teknologi digital, termasuk penganalisis dan saintis data, pakar Internet Pelbagai Benda, pakar transformasi digital dan pakar keselamatan siber.

Kajian yang sama juga meramalkan bahawa separuh daripada semua pekerja akan memerlukan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula menjelang 2025.

Bagaimanapun, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula ini tidak berlaku dengan pantas di Malaysia, dan tinjauan baru-baru ini oleh Randstad, sebuah agensi pengambilan dan sumber manusia, mendapati hampir 90 peratus tenaga kerja Malaysia percaya bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran untuk berkembang maju dalam ekonomi digital.

Pereira secara positif, berkata terdapat permintaan yang tinggi untuk analitis data, pemasaran digital dan program reka bentuk pengalaman pengguna yang ditawarkan oleh GA sebagai rakan kongsi pelaksana untuk MySTEP Khazanah.

Memandangkan rekod prestasi GA dalam meningkatkan kebolehpasaran peserta program, beliau berkata permintaan untuk MySTEP amat menggalakkan dengan setiap kekosongan menerima 10 hingga 12 permohonan.

Beliau berkata kemahiran praktikal untuk memburu pekerjaan, seperti komunikasi perniagaan dan penjenamaan peribadi, digabungkan dengan kemahiran digital teknikal adalah sebab mengapa 92 peratus daripada graduan kemahiran semula GA diambil bekerja dalam tempoh enam bulan.

MySTEP menyasarkan untuk mewujudkan 80,000 peluang pekerjaan, melibatkan latihan dan penempatan jangka pendek dalam sektor swasta dan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Bagi GLC, mereka akan bersama dengan rakan kongsi strategik dalam menjayakan hal ini, dan itulah caranya GA muncul,” katanya, sambil menambah bahawa mereka yang berminat dan memenuhi kriteria boleh mendaftar di https://www.akademiga.com/mystep -2022.

Beliau menyatakan pandemik telah mempercepatkan kadar pendigitalan yang telah diunjurkan akan berlaku dan ia akan terus meningkat walaupun ketika pandemik itu mulai surut.

“Ya, kita masih lagi makan di restoran tetapi kita juga masih menggunakan kod QR untuk melihat menu dan e-dompet untuk membayar makanan, itulah sebabnya pendigitalan dan keperluan bagi melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran untuk berkembang maju dalam era digital tidak akan hilang,” katanya.

Pereira menekankan bahawa pekerja Malaysia yang tidak mempunyai kemahiran digital perlu meningkatkan kemahiran atau kemahiran semula untuk kekal relevan dalam tenaga kerja.

“Dengan minda yang berkembang, anda tidak boleh terlalu tua untuk belajar, dan saya bangga melihat beberapa peserta kami belajar kod walaupun mereka berusia 50-an,” katanya.

Setiap peserta MySTEP akan diberikan tiga bulan pengalaman kerja daripada hampir 200 rakan kongsi yang melaksanakan pengambilan pekerja Malaysia dan layak menerima elaun bulanan RM2,000 sepanjang program.

Untuk menyertai MySTEP 2022, calon mestilah berumur di bawah 30 tahun; telah menganggur sekurang-kurangnya tiga bulan; memiliki sama ada ijazah, diploma atau sijil profesional daripada mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di Malaysia; dan belum menyertai mana-mana MySTEP lain atau program yang serupa dengannya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/mystep-adalah-langkah-berpandangan-jauh-rapatkan-jurang-kemahiran-digital/

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Automotif Di Kulim: Lebih 5,000 Porsche Cayenne Dipasang, Apa Manfaatnya Kepada Ekonomi Malaysia?

Bila dengar cerita Porsche Cayenne dipasang di Kulim, mesti ada yang terus terfikir, “Eh, Porsche pun pasang dekat Malaysia?”

Apabila kita bercakap tentang pelaburan asing, perkara pertama yang sering terlintas ialah jumlah modal yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, pelaburan berkualiti bukan sekadar tentang berapa bilion ringgit yang dilaburkan. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang Malaysia dapat dalam jangka panjang?

Adakah pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah syarikat tempatan mendapat peluang menjadi vendor? Adakah teknologi dan kepakaran baharu dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan?

Lawatan teknikal Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ke fasiliti Inokom di Kulim pada 14 September 2026 memberikan gambaran tentang bagaimana pelaburan dalam sektor automotif boleh menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

Inokom Kulim: Hab pemasangan automotif bernilai strategik

Menurut Kementerian Kewangan, Inokom mengendalikan sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar di Kulim, Kedah.

Fasiliti ini kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model kenderaan, dengan jumlah lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi.

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, operasi Inokom turut mempunyai orientasi eksport, dengan kadar eksport mencecah 20%.

Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia bukan semata-mata untuk pasaran domestik. Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran automotif antarabangsa.

Porsche di Kulim: Daripada pemasangan kepada pemindahan kepakaran

Antara fasiliti yang menjadi tumpuan lawatan ialah kilang pemasangan Porsche, yang merupakan fasiliti pemasangan pertama Porsche di luar Eropah.

Fasiliti ini dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada keluasan 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menyokong pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé.

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim.

Persoalannya, apakah nilai sebenar di sebalik angka 5,000 unit ini?

Dalam industri automotif, pemasangan kenderaan berjenama premium memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, kawalan kualiti, kejuruteraan proses dan pemahaman terhadap piawaian pengeluaran global.

Ini bermakna manfaat pelaburan tidak semestinya terhad kepada nilai kenderaan yang dihasilkan. Ia juga boleh merangkumi pembangunan kemahiran, pengalaman operasi dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan proses pengeluaran yang lebih kompleks.

100% tenaga kerja rakyat Malaysia

Satu lagi perkara yang diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah tenaga kerja Inokom yang terdiri daripada 100% rakyat Malaysia.

Kementerian Kewangan turut berkongsi kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses.

Beliau kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Kisah ini menggambarkan salah satu aspek penting pelaburan berkualiti, iaitu pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan asing yang disertai peluang latihan, pengalaman teknikal dan laluan kerjaya boleh membantu meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia. Dalam jangka panjang, kemahiran ini berpotensi digunakan bukan sahaja dalam satu kilang, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem industri automotif.

Namun, untuk menilai kesan sebenar kepada pasaran buruh, data seperti jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan gaji, peluang kenaikan pangkat dan jumlah tenaga kerja yang menerima latihan khusus juga perlu dilihat.

RM3 bilion kepada vendor tempatan

Pelaburan dalam sektor automotif turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat yang berada di luar kawasan kilang.

Menurut Kementerian Kewangan, kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan, merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Inilah antara aspek penting dalam konsep kesan pengganda ekonomi.

Sebuah kilang automotif bukan hanya memerlukan pekerja di barisan pemasangan. Ia juga memerlukan pembekal komponen, syarikat logistik, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan gudang, kawalan kualiti dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang lain.

Apabila lebih banyak perolehan disalurkan kepada syarikat tempatan, peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana berkembang turut terbuka.

Bagaimanapun, nilai RM3 bilion tersebut perlu difahami mengikut skopnya. Ia merujuk kepada sumbangan kepada vendor tempatan yang dinyatakan oleh kementerian, dan tidak semestinya sama dengan nilai tambah bersih kepada ekonomi Malaysia atau keuntungan yang diperoleh oleh vendor.

Mengapa pemindahan teknologi penting?

Malaysia telah lama terlibat dalam industri pemasangan automotif. Tetapi cabaran utama adalah bagaimana untuk bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Dalam konteks ini, pelaburan berkualiti boleh dinilai melalui beberapa persoalan:

  1. Adakah syarikat tempatan mendapat peluang membekalkan komponen bernilai tinggi?
  2. Adakah tenaga kerja Malaysia menguasai teknologi dan proses pengeluaran baharu?
  3. Adakah lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan penyelidikan boleh dibangunkan di Malaysia?
  4. Adakah vendor tempatan mampu memenuhi piawaian pengeluar antarabangsa?
  5. Adakah syarikat tempatan berpeluang berkembang daripada pembekal biasa kepada pembekal strategik dalam rantaian bekalan global?

Semakin banyak aktiviti bernilai tinggi dapat dijalankan di Malaysia, semakin besar potensi pelaburan tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri tempatan.

GEAR-uP dan pendekatan capital-to-capabilities

Kementerian Kewangan mengaitkan perkembangan ekosistem Inokom dengan pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Secara asasnya, pendekatan ini menekankan bahawa modal dan pelaburan perlu digunakan untuk membina keupayaan negara.

Ini termasuk memperkukuh sektor strategik, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai.

Dalam sektor automotif, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kenderaan. Ia juga berkaitan dengan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, meningkatkan standard industri serta membina syarikat tempatan yang lebih berdaya saing.

Apa yang perlu diperhatikan selepas ini?

Perkembangan Inokom di Kulim menunjukkan bagaimana pelaburan automotif boleh dikaitkan dengan pekerjaan, vendor tempatan dan keupayaan industri.

Namun, untuk mengukur kejayaan pelaburan secara menyeluruh, beberapa indikator penting perlu dipantau dari semasa ke semasa:

  • Nilai tambah domestik: Berapa banyak nilai ekonomi yang benar-benar dihasilkan di Malaysia?
  • Kandungan tempatan: Berapa besar bahagian komponen dan perkhidmatan yang diperoleh daripada vendor tempatan?
  • Produktiviti pekerja: Adakah kemahiran dan produktiviti tenaga kerja meningkat?
  • Gaji dan kerjaya: Adakah pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan serta laluan kerjaya yang lebih baik?
  • Keupayaan vendor: Adakah syarikat tempatan berjaya memasuki rantaian bekalan global?
  • Aktiviti bernilai tinggi: Adakah Malaysia semakin terlibat dalam kejuruteraan, pembangunan teknologi dan penyelidikan automotif?

Kesemua indikator ini membantu membezakan antara pelaburan yang sekadar menambah kapasiti pengeluaran dengan pelaburan yang turut membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Pelaburan bukan sekadar angka modal

Daripada fasiliti pemasangan Porsche di Kulim kepada vendor tempatan dan tenaga kerja Malaysia, kesan sesuatu pelaburan perlu dilihat secara lebih luas.

Jumlah unit yang dipasang, nilai pelaburan dan kadar eksport memang penting. Tetapi nilai strategiknya juga terletak pada keupayaan untuk membangunkan bakat, memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Kerana pada akhirnya, pelaburan yang memberi kesan jangka panjang bukan sekadar membina kilang. Ia membina kemahiran, syarikat, teknologi dan peluang ekonomi untuk generasi seterusnya.