AAX Sambung Semula Penerbangan Terus Dari KL Ke Busan Bermula Awal 2023

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) — AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan jarak sederhana menyambung semula laluan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, Korea Selatan, dengan penerbangan tiga kali seminggu, bermula pada awal 2023.

Dalam kenyataan hari ini, AAX berkata ini akan menjadi laluan kedua ke Korea Selatan selepas melancarkan penerbangan ke Seoul pada April lepas.

Selain melancarkan semula laluan itu, AAX turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO) untuk membangunkan kempen jualan dan pemasaran bersama, memanfaatkan sokongan ejen pelancongan, mengukuhkan rangkaian penerbangan dan memupuk ekonomi kedua-dua negara melalui sektor pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata Korea Selatan ialah pasaran yang amat penting dan terdapat pertumbuhan yang luar biasa dari laluan sedia ada syarikat penerbangan tambang rendah itu ke Seoul dengan kira-kira 80 peratus faktor muatan.

“Bermula dengan tiga penerbangan mingguan dan berdasarkan unjuran permintaan yang kukuh, kami menjangka kekerapan penerbangan ke Busan akan kembali kepada perkhidmatan harian menjelang akhir tahun.

“Kami percaya pelancaran semula laluan ke Busan akan membantu memperkukuh hubungan perniagaan dan pelancongan antara Malaysia dan Korea Selatan.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan atas sokongan mereka,” katanya.

Benyamin berkata pada 2019, AAX telah membawa kira-kira 200,000 penumpang ke/dari Busan.

“Dalam pada kami berusaha untuk meningkatkan lagi sambungan ke Korea Selatan, kami percaya bahawa penerbangan terus ke Busan nanti akan memacu sektor pelancongan dan ekonomi di kedua-dua negara.

“Laluan baharu itu juga menandakan komitmen kami untuk terus menawarkan perjalanan udara jarak sederhana bernilai hebat untuk para tetamu dan kami tidak sabar untuk melihat lonjakan ketibaan pelancong ke/dari Busan tidak lama lagi,” katanya.

Presiden BTO Jung-Sil Lee berkata pelancaran semula penerbangan terus AAX ke Busan merupakan pencapaian penting dalam penyambungan semula perkhidmatan ke bandar itu.

“Kami percaya para pengembara akan menghargai sambungan terus ini, seterusnya menjadikan Busan destinasi percutian popular sekali lagi,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/aax-sambung-semula-penerbangan-terus-dari-kl-ke-busan-bermula-awal-2023/

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.