Pelaburan RM25 Bilion Oleh Infineon Di Kedah Lambang Keyakinan Terhadap Kerajaan MADANI

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Syarikat semikonduktor global Infineon Technologies AG mengumumkan pengembangan kemudahannya di Kulim, Kedah untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini, pelaburan tersebut akan menyumbang kepada potensi perolehan SiC tahunan kira-kira tujuh bilion euro menjelang akhir dekad ini, selain penukaran SiC 200-mm di Villach, Austria dan Kulim, Kedah.

“Pangkalan pembuatan yang kompetitif ini akan menyokong sasaran bahagian pasaran SiC Infineon sebanyak 30 peratus menjelang akhir dekad ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan penghargaannya kepada komitmen Infineon untuk mewujudkan hab jurang jalur yang signifikan di negara ini.

“Daya tarikan berterusan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dilengkapkan dengan landskap yang teguh untuk membangunkan teknologi yang inovatif dan mampan.

“Kepercayaan berterusan Infineon dan syarikat Jerman lain kepada Malaysia membuktikan keyakinan terhadap agenda pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia yang berasaskan keterangkuman dan kemampanan, didorong oleh dasar yang kukuh terhadap pemindahan pengetahuan, pelaburan berkualiti, berkebolehan dari segi perniagaan dan kesejahteraan sosioekonomi berdasarkan pembahagian saksama kekayaan negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Jochen Hanebeck berkata pasaran bagi SiC memaparkan pertumbuhan yang pesat, bukan sahaja dalam automotif, malah rangkaian meluas aplikasi industri seperti solar, storan tenaga dan pengecasan kenderaan elektrik berkuasa tinggi.

“Menerusi pengembangan di Kulim, kami akan mendapat kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran ini. 

“Dengan skala peneraju industri dan kedudukan kos yang unik, kami sedang memanfaatkan kedudukan kompetitif kami yang terbaik dalam teknologi saliran SiC, portfolio pakej terluas dan pemahaman aplikasi yang tiada tandingannya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan pelaburan tambahan oleh Infineon di Kulim sebagai petunjuk kepada keyakinan yang kukuh terhadap dasar pelaburan Kerajaan Madani.

“Pengembangan ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai peneraju untuk memacu teknologi hijau, satu aspek penting untuk mencapai matlamat pembangunan mampan global.

“Kami menghargai kepercayaan, keyakinan dan pengiktirafan kepada prospek pertumbuhan Malaysia yang menggalakkan, seperti yang ditunjukkan oleh syarikat Jerman seperti Infineon.

“Teknologi semikonduktor kuasa termaju yang dihasilkan fabrikasi kuasa SiC Infineon adalah perkembangan penting ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor, di samping memupuk kerjasama yang tertumpu kepada mewujudkan masa depan lebih mampan untuk negara dan dunia,” katanya secara berasingan dalam satu kenyataan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Infineon.

— BERNAMA

TAG: Infineon, fabrikasi kuasa SiC, pelaburan, Anwar Ibrahim, Tengku Zafrul, MIDA, Jochen Hanebeck

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA