Pembentangan Bajet 2023 Penting Untuk Keyakinan Pelabur, Rujukan Dasar – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lepas bukan sia-sia walaupun ia perlu dibentangkan semula kepada Parlimen selepas PRU-15, kerana belanjawan itu amat penting untuk keyakinan pelabur dan rujukan dasar kepada sektor perniagaan serta pelaburan bagi merancang langkah seterusnya, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara.

Selain itu, unjuran ekonomi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diterbitkan oleh kerajaan hanya dua kali setahun, iaitu pada Mac dan Oktober setiap tahun, iaitu tempoh yang selaras dengan bulan pembentangan bajet tahun akan datang, kata Kementerian Kewangan.

“Jika Bajet 2023 tidak dibentangkan, ini akan meningkatkan sentimen ketidakpastian yang tentunya akan memberi impak negatif kepada keyakinan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Bajet 2023 juga perlu dibentangkan bagi perancangan kewangan yang teratur, iaitu anggaran pendapatan, peruntukan dan perbelanjaan untuk tahun 2023.

Usaha menyiapkan Bajet 2023 mengambil masa enam bulan dengan mengadakan lebih 200 sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan sektor terpilih, serta mengkaji lebih 250 memorandum dan 12,000 cadangan, kata kementerian itu.

Bantuan Keluarga Malaysia

Kementerian Kewangan berkata, Bajet 2023 juga penting untuk berkongsi dengan rakyat tentang pelbagai langkah yang telah dirancang oleh kerajaan untuk membantu mereka menghadapi cabaran jangka pendek.

Antaranya termasuklah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), inisiatif pengurangan cukai dan rancangan pembangunan jangka panjang untuk menambah baik infrastruktur asas dalam dan luar bandar, pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Dengan pembentangan Bajet 2023, kerajaan boleh terus melaksanakannya pada Januari 2023 sebaik sahaja kerajaand ibentuk selepas PRU-15,” katanya.

Perancangan sektor perniagaan, pelaburan

Selain itu, pembentangan Bajet 2023 juga penting sebagai rujukan dasar kepada sektor perniagaan dan pelaburan untuk merancang langkah seterusnya berdasarkan kandungan Bajet 2023, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara.

Sebagai contohnya, langkah-langkah program Semarak Niaga bernilai RM45 billion yang menyokong perkembangan perniagaan, merangkumi kemudahan pembiayaan, pelbagai insentif cukai untuk menggalakkan industri strategik, serta pengurusan kewangan dan kedudukan fiskal kerajaan penting sebagai panduan untuk membolehkan sektor perniagaan dan pelaburan merencana pelan perniagaan masing-masing, kata kementerian itu.

Bajet pada Oktober 1999

Dari segi rujukan pengalaman lalu, pada Oktober 1999, Bajet 2000 telah dibentangkan dan Parlimen telah dibubarkan sebelum ia diluluskan.

Walaupun Bajet 2000 terpaksa dibentangkan semula pada Februari 2000, belanjawan yang sama telah dibentang dan diluluskan Parlimen, kata Kementerian Kewangan. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pembentangan-bajet-2023-penting-untuk-keyakinan-pelabur-rujukan-dasar-kementerian-kewangan/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama