Penarafan Bank Malaysia Kekal Kukuh Meskipun Krisis Perbankan Di AS – RAM Ratings

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) tidak melihat sebarang impak penarafan terhadap bank Malaysia daripada krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) akibat daripada kegagalan Silicon Valley Bank (SVB) dan dua lagi bank lebih kecil lain di negara itu pada minggu lepas.

Agensi penarafan itu berkata di Malaysia, asas kredit bank kekal teguh dan berdaya tahan disokong oleh pengawalseliaan yang kukuh untuk berdepan dengan peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global. 

“Berbanding dengan SVB, kami melihat perbezaan asas dalam perniagaan dan profil lembaran imbangan bank perdagangan di Malaysia. 

“Bank perdagangan domestik biasanya terlibat dalam lebih banyak aktiviti berian pinjaman berbanding bergantung kepada pelaburan bon yang terdedah kepada kemeruapan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RAM Ratings berkata, perkadaran aset sistem perbankan domestik yang dilabur dalam sekuriti bon adalah kurang daripada 25 peratus manakala sebaliknya 50 peratus daripada asas aset SVB berada dalam sekuriti tersebut yang membawa kepada kerugian tidak direalisasi sangat besar di tengah-tengah kenaikan kadar faedah yang tinggi di AS.

Selain itu, kurang 40 peratus (purata) pegangan bon dalam lapan bank utama Malaysia diklasifikasikan sebagai dipegang hingga matang (HTM), manakala selebihnya bagi perakaunan nilai saksama.

‘Ini bermakna kerugian nilai saksama bagi sekuriti bon telahpun sebahagian besarnya dicerminkan dalam kedudukan modal bank.

“Sebaliknya, SVB mengklasifikasikan hampir 80 peratus sekuriti bon sebagai HTM (hanya kira-kira 20 peratus bagi perakaunan nilai saksama) menunjukkan bahawa kerugian tidak direalisasi masih belum  dicerminkan dalam ekuitinya. 

“Bon HTM dibawa pada kos terlunas dalam lembaran imbangan memandangkan hasrat untuk memegang sekuriti ini hingga matang, jadi kerugian penilaian saksama tidak direkod dalam modal,” katanya. 

RAM Ratings berkata kerugian nilai saksama dalam bank Malaysia juga agak kecil, berikutan kenaikan kadar yang sederhana oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan strategi berhemat pegangan bon jangka pendek oleh bank sejak kebelakangan ini. 

Nisbah modal tier-1 ekuiti biasa industri perbankan domestik kekal kukuh pada 14.9 peratus pada akhir 2022 daripada 15.5 peratus pada 2021.

“Kerugian penilaian seterusnya, sekiranya berlaku, dijangka tidak teruk memandangkan pendekatan berhati-hati bank pusat dalam menaikkan kadar,” kata agensi itu sambil menambah bank di Malaysia kebanyakannya dibiayai oleh deposit pelanggan dengan butiran yang tinggi. 

Profil mudah tunai bank-bank juga kukuh dengan aset cair berbanding nisbah deposit kira-kira 20 peratus dan pinjaman bersih berbanding nisbah deposit pada 88 peratus. 

Menurut BNM, bank domestik tidak mempunyai pendedahan langsung kepada ketiga-tiga bank AS tersebut.

“Penyeliaan berhemat bank pusat dan rekod prestasi yang baik – yang terbukti membantu dalam krisis kewangan sebelumnya – dijangka memastikan kestabilan kewangan berterusan sistem bank Malaysia,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.