Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia Diunjur Tumbuh 5% Tahun Ini – BMI

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Aspek perbelanjaan isi rumah Malaysia dijangka tumbuh sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun pada 2023 dan terus mengukuh menjelang 2024, kata BMI yang juga sebuah syarikat Fitch Solutions.

Prestasi tersebut didorong oleh pemulihan ekonomi yang dipacu oleh pertumbuhan perbelanjaan sebenar pengguna yang lebih kukuh.

Dalam laporan penyelidikannya hari ini, BMI berkata usaha meredakan tekanan inflasi dan pengurangan pengangguran secara sihat akan turut menjadi asas bagi unjuran perbelanjaan pengguna yang lebih stabil.

“(Namun), risiko kepada prospek ini adalah ia meningkatkan inflasi daripada jangkaan awal serta membawa kelemahan ekonomi lebih ketara yang memberi kesan terhadap kuasa beli isi rumah,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan sebenar isi rumah bagi tempoh pasca 2024 akan tumbuh 5.0 peratus tahun ke tahun pada tahun ini kepada RM910 bilion berdasarkan harga 2010.

Malah, kata BMI, tahap keyakinan pengguna juga secara amnya stabil yang memaparkan persepsi pengguna lebih positif walaupun terdapat tekanan inflasi bagi komoditi tertentu seperti makanan dan bahan api yang memberi kesan kepada isu rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Menyentuh prestasi ringgit, BMI menjangkakan mata wang tempatan itu akan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat, daripada 4.50 tahun ini kepada 4.40 pada 2024.

“Malaysia akan terus bergantung kepada import dalam menampung permintaan tempatan yang memberi kesan lebih besar kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna apabila import lebih murah.

“Kami yakin persekitaran sedemikian akan menjadikan perbelanjaan pengguna bagi separuh kedua 2023 dan awal 2024 kekal stabil,” katanya.

Dalam pada itu, BMI juga mengunjurkan bahawa tekanan inflasi kekal tinggi di kebanyakan pasaran lain dengan kadar perubahan harga yang biarpun lemah namun kekal tinggi daripada sasaran bank-bank pusat.

“Jika dibandingkan dengan pasaran lain, inflasi di Malaysia agak terkawal iaitu mencecah kemuncak 4.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022 manakala data terkini bagi Mei 2023 di paras 2.8 peratus tahun ke tahun — angka terendah sejak Mei 2022 walaupun ini lebih tinggi daripada kebiasaan isi rumah Malaysia. 

“Pihak kami mengunjurkan aliran inflasi ini akan lebih menurun pada separuh kedua 2023 dengan mengakhiri tahun itu pada tahap 2.5 peratus serta mencecah purata 2.3 peratus pasca 2024,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.