Perbendaharaan AS Gugurkan Malaysia Daripada Senarai Pemantauan Rakan Dagang


KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Malaysia digugurkan daripada senarai pemantauan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi rakan dagang utama dengan amalan mata wang dan dasar makroekonomi yang memerlukan perhatian rapi negara itu.

Menurut Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Perbendaharaan AS dalam laporan bertajuk “Report to Congress – Macroeconomics and Foreign Exchange Policies of Major Trading Partners of the United States” bagi November 2024, Malaysia memenuhi satu kriteria dalam laporan terakhir (pada Jun) dan laporan bagi November.

“Apabila sesebuah rakan dagang utama mencapai dua daripada tiga kriteria dalam Akta Kemudahan Perdagangan dan Penguatkuasaan Perdagangan 2015 (Akta 2015), rakan dagang berkenaan akan dimasukkan dalam senarai pemantauan.

“Sehubungan itu, Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai pemantauan dalam laporan ini,” menurut laporan berkenaan.

Akta 2015 memerlukan Perbendaharaan AS menyediakan laporan pada setiap enam bulan mengenai dasar makroekonomi dan kadar pertukaran mata wang asing rakan dagang utama negara itu.

Akta berkenaan turut mewajibkan Perbendaharaan AS melakukan analisis yang lebih terperinci mengenai dasar makroekonomi dan kadar pertukaran bagi setiap rakan dagang utama yang memenuhi tiga kriteria itu.

Tiga kriteria berkenaan adalah lebihan dagangan dua hala dengan AS sekurang-kurangnya US$15 bilion (US$1= RM4.48); lebihan akaun semasa material sekurang-kurangnya 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); dan intervensi berterusan di sebelah pihak dalam pasaran mata wang asing sekurang-kurangnya lapan bulan dalam tempoh setahun dengan pembelian bersih sekurang-kurangnya 2.0 peratus daripada KDNK ekonomi dalam masa12 bulan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian