Inflasi Malaysia Diunjur Cecah Purata Antara 2.0 Hingga 3.5 Peratus Pada 2025

Duit inflasi

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Inflasi Malaysia diunjurkan mencecah purata antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2025, dengan mengambil kira langkah dasar domestik yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api RON95 dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut diambil kira.

“Risiko kenaikan unjuran itu kekal bergantung kepada sejauh mana kesan daripada langkah dasar domestik seterusnya yang mempengaruhi harga secara lebih meluas.

“Risiko yang berlarutan daripada perkembangan luaran juga boleh meningkatkan harga komoditi global atau mengganggu keadaan bekalan global,” katanya semasa sidang media bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2024 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata dari sudut negatif, inflasi domestik yang lebih rendah boleh berlaku akibat pertumbuhan global yang lebih lembap berbanding jangkaan, yang boleh mempengaruhi harga komoditi global dan keadaan ekonomi domestik melalui permintaan luaran yang lemah.

Bagi suku ketiga 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9 peratus.

“Walaupun ada beberapa item yang mengalami inflasi lebih tinggi, seperti diesel (20.1 peratus) dan insurans kenderaan (0.8 peratus) namun, ini telah diimbangi oleh penyederhanaan yang lebih menyeluruh bagi inflasi makanan dan minuman (1.6 peratus) sepanjang suku itu,” katanya.

Abdul Rasheed berkata inflasi asas yang stabil sepanjang suku itu menunjukkan kesan yang terhad kepada harga yang lebih luas susulan rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun.

Keadaan itu didorong oleh penguatkuasaan berkesan serta langkah mitigasi untuk meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan, katanya.

Langkah menerusi Belanjawan 2025 iaitu pelaksanaan gaji minimum adalah tindakan yang positif untuk pertumbuhan ekonomi kerana akan menyokong penggunaan swasta.

“Dari segi inflasi, kita yakin kesanya akan agak terhad. Kita mendapati peningkatan gaji minimum yang dilaksanakan sebelum ini, kesannya ke atas inflasi adalah agak kecil,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Rendah Dijangka Dorong OPR Kekal Pada 2.75 Peratus Pada 2026 – HLIB

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026, disokong oleh kadar inflasi yang rendah pada 2025 dan pertumbuhan ekonomi yang stabil.

Berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata inflasi tahun penuh bagi 2025 adalah pada 1.4 peratus, menurun daripada 1.8 peratus pada 2024, menunjukkan trend disinflasi pascapandemik kekal utuh.

Melangkah ke tahun 2026, HLIB menjangka IHP, pengukur utama inflasi di Malaysia, akan naik sedikit kepada 1.7 peratus, didorong oleh kesan asas yang rendah, pelarasan dasar pada peringkat domestik dan inflasi berkaitan komunikasi.

“Bagaimanapun, aliran peningkatan tersebut dijangka bersifat sederhana berikutan harga RON95 yang lebih rendah, persekitaran komoditi global yang baik dan ringgit yang mengukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut DOSM, inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 1.4 peratus pada November 2025, melebihi anggaran konsensus median sebanyak 1.4 peratus.

“Peningkatan itu didorong oleh inflasi yang lebih tinggi untuk minuman beralkohol dan tembakau, perumahan, utiliti dan bahan api lain, maklumat dan komunikasi serta penjagaan diri,” katanya.

Sementara itu, katanya inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 2.2 peratus pada bulan sebelumnya.
— BERNAMA