PM Anwar, PM Lee Saksi Detik Bersejarah RTS Link “Disambungkan” Antara Malaysia, Singapura

JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) secara simboliknya “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura.

Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut antara Johor Bahru dan Singapura.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemimpin tertinggi tersebut bertemu di tapak projek berkenaan, sekali gus menguatkan komitmen kedua-dua negara terhadap projek bernilai berbilion ringgit itu.

Semasa majlis berkenaan, Anwar dan Lee turut menandatangani plak yang secara simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut yang kini sudah mencapai tahap kemajuan 65 peratus setakat 31 Dis lepas, seperti yang dijadualkan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

 Projek tersebut dijangka membuka lembaran baharu perhubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dibincangkan. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OPR Dijangka Kekal 2.75 Peratus Pada 2026 Susulan Kekuatan Permintaan Domestik – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Ketahanan permintaan domestik serta tekanan inflasi yang masih terkawal dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 2.75 peratus sepanjang 2026, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana, namun gangguan berterusan di sekitar Selat Hormuz masih berpotensi menimbulkan risiko kenaikan inflasi menerusi peningkatan kos bahan api import, baja dan logistik

“Penstabilan dasar monetari dijangka terus menjadi objektif utama, manakala ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat serta kedudukan ringgit yang agak kukuh memberi ruang yang mencukupi kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah semasa,” katanya.

Bagi unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit pada akhir tahun, Kenanga IB mengekalkan sasaran pada RM3.95 berbanding dolar AS, yang didorong bukan semata-mata oleh bilangan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, sebaliknya oleh jangkaan kelemahan struktur mata wang dolar AS yang lebih meluas.

Unjuran itu turut disokong oleh kepelbagaian rizab antarabangsa, pengagihan semula portfolio pelaburan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemampanan fiskal AS.

Bank pelaburan itu berkata asas ekonomi domestik kekal menyokong, dengan deposit mata wang asing mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM305.8 bilion pada April, sekali gus mencerminkan potensi besar penukaran kepada ringgit dalam tempoh jangka panjang.

“Bagaimanapun, risiko kini dilihat lebih seimbang. Meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat boleh menyebabkan harga minyak, jangkaan inflasi dan permintaan terhadap dolar AS kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kami berpandangan perkembangan politik domestik semakin menjadi faktor penting yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.

— BERNAMA