AirAsia Antara Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Paling Selamat Di Dunia Bagi 2024

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — AirlineRatings.com mengumumkan AirAsia Aviation Group, termasuk syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X dan Thai AirAsia X sebagai antara syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat di dunia bagi 2024.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata keselamatan adalah keutamaan setiap jenama dan reputasi syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata pihaknya sangat berbesar hati kerana sekali lagi diiktiraf sebagai antara syarikat penerbangan tambang rendah terbaik bagi integriti operasi.

“Kami terus melabur untuk memastikan sistem pengurusan keselamatan menjadi keutamaan termasuk pensijilan Audit Keselamatan Operasi Antarabangsa (IOSA) oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi seluruh kumpulan syarikat penerbangan ini, sebagai penanda aras global untuk mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi pada setiap masa,” katanya.

AirlineRatings.com, satu-satunya agensi penarafan produk dan keselamatan syarikat penerbangan di dunia, telah mengumumkan 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat bagi 2024 berdasarkan 385 syarikat penerbangan yang telah dipantau.

Antara faktor yang menentukan 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat termasuk rekod insiden, usia pesawat, hasil audit yang dijalankan oleh badan pentadbir penerbangan iaitu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), serta senarai larangan Kesatuan Eropah.

Ketua Pengarang AirlineRatings.com, Geoffrey Thomas berkata AirAsia Aviation Group termasuk AirAsia X dan Thai AirAsia X mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang dan terus melepasi semua audit keselamatan utama selama bertahun-tahun.

Dedikasi dan tumpuan syarikat mereka terhadap aspek keselamatan sememangnya harus dipuji, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian