Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada US$107.5 Bilion Setakat 15 Nov

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$107.5 bilion (US$1=RM4.57) pada 15 Nov 2022 berbanding US$105.2 bilion pada 31 Okt 2022.

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.2 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata bank pusat dalam kenyataan hari ini.

Katanya komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$95.8 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$5.5 bilion), emas  (US$2.1 bilion) dan aset-aset lain (US$2.8 bilion).

Aset tersebut terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM498.75 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.36 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.64 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM59.36 bilion).

Menurut BNM, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM160.82 bilion), mata wang dalam edaran (RM158.58 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM195.75 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM5.33 bilion), deposit lain (RM35.77 bilion), kertas Bank Negara (RM9.15 bilion), peruntukan SDR (RM28.70 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.05 bilion).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA