Pavilion REIT Cadang Beli Pavilion Bukit Jalil Bernilai RM2.2 Bilion

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) telah bercadang untuk membeli Pavilion Bukit Jalil Mall (PBJ) daripada Regal Path Sdn Bhd dengan pertimbangan belian sebanyak RM2.2 bilion.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya Regal Path akan menjual satu blok pusat beli-belah runcit lima tingkat dengan dua aras tempat letak kereta bawah tanah yang terletak di Bukit Jalil City, Kuala Lumpur berserta aset dan hak berkaitan.

Pavilion REIT akan turut membeli harta alih tambahan bagi operasi PBJ Mall termasuk komputer riba, bugi dan platform kerja mengangkat mudah alih (pembelian sampingan).

“Pertimbangan belian bagi pembelian sampingan itu akan berpandukan kepada jumlah nilai buku bersih aset berkenaan pada tarikh ia selesai. Pada tarikh praktik terkini, jumlah nilai buku bersih aset-aset ini dianggarkan kira-kira RM3.4 juta,” katanya.

Regal Path ialah syarikat usaha sama anak syarikat milik penuh Malton, Khuan Choo Realty Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Qatar Investment Authority, Q PBJ Sdn Bhd, dan Tan Sri Desmond Lim menerusi syarikat persendiriannya, Jelang Tegas Sdn Bhd.

Malton berkata penjualan itu dijangka tidak menyebabkan syarikat itu muncul sebagai syarikat PN17 seperti yang ditakrifkan di bawah Keperluan Penyenaraian.

Penjualan itu adalah sejajar dengan strategi Malton yang sentiasa menilai portfolio pelaburannya dan memburu peluang untuk membuka dan merealisasikan nilai pelaburannya untuk kebaikan para pemegang saham.

Susulan pembelian itu, Pavilion REIT turut berhasrat melaksanakan cadangan penempatan saham unit baharu untuk meraih sehingga RM1.27 bilion pada harga terbitan yang akan ditentukan kelak menerusi proses penetapan harga.

Katanya cadangan penempatan saham itu dijangka dilaksanakan menerusi dua tranche bagi penyelesaian pertimbangan belian PBJ iaitu Tranche 1 yang menyasarkan untuk mengumpul hasil sebanyak RM720 juta untuk digunakan sebagai sebahagian daripada bayaran tarikh siap berjumlah RM650 juta dan perbelanjaan (RM70 juta).

“Penempatan Tranche 2 pula menetapkan sasaran untuk mengumpul sehingga RM550 juta untuk bayaran membaiki kerosakan (RM50 juta), bayaran hak milik strata (RM100 juta) dan bayaran baki akhir (RM400 juta),” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pavilion-reit-cadang-beli-pavilion-bukit-jalil-bernilai-rm2-2-bilion/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menurun Selepas Kenaikan Harga Baru-Baru Ini

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO masih berada dalam keadaan menaik meskipun menguncup MYR49 semalam untuk ditutup pada paras MYR4,579. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,630. Selepas berayun antara MYR4,640 dan MYR4,573, ia menutup dagangan pada paras MYR4,579. Walaupun berhadapan dengan tekanan jualan yang sederhana pada paras MYR4,600, FCPO masih ditutup di atas kedua-dua garisan SMA 50 dan 200 hari. Keadaan pasaran menunjukkan mereka yang menantikan kenaikan harga masih mempunyai kelebihan.

Sementara itu, garisan SMA 50 hari sekarang bergerak ke atas, yang menandakan trend menaik masih kukuh. Selepas fasa pengukuhan, komoditi ini mungkin akan menyambung semula pergerakan menaik menuju ke arah paras MYR4,800. Sebagai makluman, semasa keadaan pasaran menaik, paras rintangan cenderung menjadi lemah. Selagi FCPO terus berada di atas paras sokongan MYR4,410, kami akan terus berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal kini berada pada MYR4,400 dan diikuti oleh paras MYR4,250. Paras rintangan terdekat sebaliknya ialah MYR4,800 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,925.