Tiada Krisis “Situasi Lehman” Dalam Keadaan Kemelut Perbankan AS, Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Tiada “situasi Lehman” dijangkakan berlaku pada 2023 berikutan kejatuhan tiga bank utama di Amerika Syarikat (AS) antaranya Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank, menurut seorang penganalisis.

“Situasi Lehman” merujuk kepada Lehman Brothers, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan global yang muflis pada 15 Sept 2008 yang kini disifatkan sebagai peristiwa kritis sehingga mencetuskan krisis kewangan global 2008. 

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, bank-bank berkenaan mempunyai kedudukan mudah tunai yang lebih baik berbanding pada 2008 dan bank Asia hanya mengalami pendedahan minimum terhadap bank wilayah AS berikutan hanya menjalankan urus niaga dengan bank Wall Street.

“Oleh itu, kesan dari segi risiko adalah minimum,” katanya kepada Bernama sambil menjelaskan Credit Suisse bukan lagi menjadi kelompok utama perbankan Eropah, dan berikutan itu ia tidak menjadi kebimbangan utama.

Credit Suisse terbabit dalam pergolakan yang tercetus akibat kejatuhan pemberi pinjaman AS, SVB dan Signature Bank sepanjang minggu lepas sekali gus mengurangkan keyakinan pelabur di seluruh dunia.

Innes berkata keadaan boleh menjadi sebaliknya jika krisis itu turut melibatkan bank-bank Eropah lain.

“Bagaimanapun, isunya adalah kejutan pertumbuhan bank-bank wilayah AS yang merupakan peminjam besar kepada Main Street USA; sekiranya mereka menghentikan pemberian pinjaman kerana kekurangan simpanan bank, ini  boleh mencetuskan kemelesetan secara besar-besaran. 

“Seperti 2008, kita mungkin mengalami kemelesetan yang disebabkan oleh bank. Bagaimanapun, impak buruknya mungkin terhad dengan pihak bank-bank pusat kemungkinan besar melakukan perubahan atau pengurangan.

“Bagaimanapun ketidaktentuan boleh berlaku bagi tempoh lebih lama apabila melibatkan faktor manusia kerana tiada siapapun dapat menentukan kesan ketara akibat masalah sesebuah bank,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata komuniti pelaburan bimbang pasaran dapat mengesan bermulanya krisis kewangan global 2008 untuk kembali melanda.

“Bagaimanapun, kami sedia maklum terhadap satu perbezaan, 2008 adalah episod yang mana amalan kredit dilonggarkan berikutan gadai janji disekuritikan dan didagangkan walaupun dengan kualitinya. Oleh kerana kualiti sekuriti bersandarkan gadai janji ini mencurigakan, nilainya dapat menurun kepada sifar,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata bon kerajaan AS pula akan kembali kepada harga asal selepas kematangan, justeru menyebabkan sebarang kerugian yang berlaku adalah sementara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama