Sebab Utama Kenapa China Masih Lagi Tidak Dapat Menghasilkan Mikrocip Berteknologi Tinggi

Teknologi pembuatan mikrocip pada masa kini merupakan salah satu industri yang sangat penting dalam kehidupan era moden ini. Mikrocip pada hari ini merupakan salah satu nadi yang mengerakkan mana-mana peralatan yang kita guna pada hari ini. Mikrocip berfungsi sebagai otak kepada peralatan yang memudahkan urusan kita seharian. Antara teknologi yang sangat bergantung kepada mikrocip adalah telefon pintar, komputer serta peralatan elektronik di rumah seperti peti sejuk, penyaman udara dan juga mesin basuh.

Ketika ini, Amerika Syarikat merupakan negara pengeluar mikrocip dunia. Hampir semua teknologi pembuatan mikrocip dipelopori oleh Amerika Syarikat dan China pula mengekori dari belakang negara itu dalam menghasilkan mikrocip untuk kegunaan dunia. China yang kini semakin mendominasi pasaran dunia teknologi mikrocip telah memberi kegusaran yang sangat besar kepada Amerika Syarikat.

Kredit Gambar: Asia Times

Amerika Syarikat sedaya upaya untuk menghalang negara tersebut dari berjaya menghasilkan teknologi mikrocip bagi mengekang kemaraan negara itu di persada dunia teknologi. Disebabkan perkara tersebut, Amerika Syarikat telah mengarahkan sebuah syarikat yang paling penting dalam membekalkan peralatan kilang menghasilkan mikrocip di dunia supaya syarikat tersebut tidak menjual teknologi mereka kepada China.

Satu-Satunya Syarikat Yang Memonopoli Pembekalan Peralatan Pembuatan Mikrocip

Syarikat yang dimaksudkan adalah sebuah syarikat dari Belanda yang dikenali sebagai ASML. Syarikat ini merupakan satu-satunya syarikat di dunia yang membekalkan peralatan teknologi untuk mana-mana syarikat di dunia yang menghasilkan mikrocip. Syarikat ini juga syarikat pertama di dunia pada ketika ini yang berjaya menghasilkan teknologi EUV Lithography. Teknologi ini buat masa ini  merupakan satu-satunya teknologi yang boleh menghasilkan mikrocip yang bersaiz 5 nanometer.

Tiada syarikat lain di dalam dunia mampu untuk menghasilkan teknologi tersebut pada ketika ini. Semua syarikat yang menghasilkan mikrocip seperti Intel, AMD, TSMC, Samsung dan Qualcomm bergantung kepada teknologi yang dihasilkan oleh ASML dalam mengeluarkan mikrocip mereka.

Kredit Gambar: Ked Global

Disebabkan perkara tersebut, Amerika Syarikat pada tahun 2019 dibawah pentadbiran Donald Trump telah membuat perjanjian dengan ASML supaya tidak menjual peralatan EUV Lithography ini kepada China bagi menghalang negara tersebut menghasilkan mikrocip berteknologi tinggi. Kesan daripada peristiwa tersebut, China masih belum mampu untuk menghasilkan mikrocip pada skala 14 nano meter ke bawah.

Mesin EUV Lithography Sangat Sukar Untuk Dihasilkan

China yang kini hanya mampu mereka bentuk cip mereka sendiri dengan baik tetapi mereka tidak mampu menghasilkan cip tersebut pada skala industri disebabkan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Kita juga tertanya-tanya kenapa ASML sangat patuh kepada Amerika Syarikat dalam perjanijian tersebut sedangkan pasaran mikrocip di China adalah 15% jumlah pasaran dunia. Jika ASML menjual kepada China teknologi tersebut, mereka akan mendapat keuntungan besar.

Salah satu faktor yang sangat penting kenapa ASML patuh kepada gesaan Amerika Syarikat adalah disebabkan terdapat komponen utama yang khusus yang perlu ada dalam alatan EUV Lithography yang dihasilkan oleh mereka. Komponen tersebut perlu diimport sepenuhnya dari Amerika Syarikat. Disebabkan perkara tersebut, ASML perlu patuh dengan gesaan Amerika Syarikat sekiranya mereka ingin beroperasi tanpa sekatan dari negara tersebut.

China yang terpaksa akur dengan polisi yang dikenakan terhadap Amerika Syarikat terhadap negaranya bertindak balas dengan menghasilkan mesin EUV Lithography mereka sendiri. Buat masa ini mereka hanya berjaya menghasilkan mesin DUV Lithography yang mana jenis ini merupakan mesin Lithography jenis generasi yang lama. Teknologi DUV Lithography ini hanya mampu menghasilkan cip pada skala saiz 28 nano meter yang mana mikrocip jenis ini sudah tidak relevan digunakan dalam peralatan moden pada ketika ini.

Disebabkan berjaya menghasilkan DUV Lithography, syarikat ASML mula menjual teknologi DUV Lithography kepada China untuk merebut sedikit pasaran disana. China pada ketika ini sedang berusaha untuk membangunkan teknologi EUV Lithography mereka sendiri tanpa bergantung kepada teknologi luar. Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang mencabar. Mengikut sesi pandang CEO ASML, jika syarikat China diberi schematic diagram untuk menghasilkan EUV Lithography, mereka tidak mampu untuk menghasilkan teknologi tersebut buat masa kini kerana ia memerlukan banyak rangkaian syarikat dari barat untuk bahagian-bahagian tertentu dalam mesin tersebut.

Walaubagaimanapun, CEO itu percaya bahawa China mampu menghasilkan teknologi EUV Lithography sendiri kerana hukum fizik di Eropah masih sama dengan hukum fizik di China. Cuma mereka memerlukan paling lambat 10 tahun akan datang dalam menghasilkan mesin EUV lithography mereka sendiri.

Sumber Rujukan:

Newsthink

Previous ArticleNext Article

Harga Minyak Tertinggi Dalam Dua Minggu Selepas Trump Ancam Lancar Satu Lagi Siri Serangan Ke Atas Iran

BEIJING: Harga minyak meningkat hari ini selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu terhadap Iran, sekali gus menjejaskan harapan untuk menamatkan perang Iran serta pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak global sebelum perang.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 78 sen, atau satu peratus, kepada AS$78.80 setong setakat jam 0054 GMT.

Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 74 sen, atau 1.01 peratus, kepada AS$74.26 setong.

Kedua-dua penanda aras minyak mentah, Brent dan WTI, melonjak lebih AS$1 dalam dagangan selepas penutupan pasaran pada Rabu susulan tentera AS memulakan serangan baharu ke atas Iran.

Sebelum itu, kedua-dua penanda aras berkenaan ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua minggu selepas Presiden AS, Donald Trump, mengancam untuk melancarkan satu lagi siri serangan terhadap Iran seawal malam Rabu.

Tentera AS memaklumkan bahawa serangan terbaharu itu bertujuan memastikan laluan di Selat Hormuz kekal terbuka kepada trafik perkapalan, hanya beberapa jam selepas Donald Trump mengisytiharkan bahawa perjanjian sementara untuk menamatkan perang telah ‘berakhir’.

Penganalisis IG, Tony Sycamore, dalam satu nota berkata bahawa peningkatan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz sejak beberapa minggu lalu dijangka terhenti buat sementara waktu, berikutan pemilik kapal dijangka mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.

AS berkata, serangan terbaharu itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan pada Selasa ke atas tiga kapal tangki minyak yang sedang melalui Selat Hormuz.

Serangan AS itu turut menggegarkan beberapa bandar di pesisir selatan Iran dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Iran pula memaklumkan pada Rabu bahawa ia telah menyerang pangkalan tentera AS di Bahrain dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan terdahulu AS ke atas infrastruktur negara itu.

Sumber industri insurans semalam berkata bahawa beberapa syarikat penanggung insurans risiko peperangan telah menasihatkan syarikat perkapalan supaya menghentikan sementara pelayaran melalui Selat Hormuz, manakala syarikat lain sedang mengkaji semula syarat polisi mereka susulan serangan baharu Iran terhadap kapal-kapal di kawasan berkenaan.

-Reuters