TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA

Previous Article

Inflasi Malaysia Meningkat 1.5 Peratus Pada September 2025 – DOSM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Inflasi Malaysia meningkat 1.5 peratus pada September 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.2 berbanding 133.2 pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2025 hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.8 peratus berbanding Ogos 2025 (4.0 peratus).

“Ini diikuti oleh makanan dan minuman pada 2.1 peratus (Ogos 2025: 2.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 1.5 peratus (Ogos 2025: 1.2 peratus); kesihatan 1.3 peratus (Ogos 2025: 1.1 peratus) dan pengangkutan 0.7 peratus (Ogos 2025: 0.2 peratus)

“Selain itu, restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.3 peratus (Ogos 2025: 3.5 peratus) dan minuman alkohol & tembakau 0.3 peratus (Ogos 2025: 0.4 peratus) mencatatkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata sebanyak 59.9 peratus item (343 daripada 573) mencatat kenaikan harga.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 333 item atau 97.1 peratus mencatat peningkatan yang kurang atau sama dengan 10 peratus manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada September 2025.

“Baki sebanyak 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan manakala 49 item kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2025 ialah RM3.19 seliter berbanding RM3.15 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.28).

“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.91 seliter berbanding RM2.90 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.04) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.

Menyentuh inflasi di peringkat negeri, sebanyak lima negeri mencatat peningkatan melebihi paras nasional (1.5 peratus) iaitu Johor (2.0 peratus), Negeri Sembilan (1.9 peratus), Melaka (1.8 peratus), Selangor (1.8 peratus) dan Terengganu (1.7 peratus).

“Baki sebanyak 11 negeri meningkat di bawah paras inflasi nasional dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.5 peratus pada September 2025.

“Berbanding negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.4 peratus), Indonesia (2.7 peratus) dan Republik Korea (2.1 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata kadar berkenaan adalah lebih tinggi berbanding Thailand (-0.7 peratus) dan China (-0.3 peratus).
BERNAMA