Bolehkah Bersedekah Menggunakan Hasil Daripada Trading Forex Online?

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya hukum jika saya berniat untuk bersedekah menggunakan sumber daripada Trading Forex Online. Sebagaimana kita maklum, hukum Trading Forex adalah haram dan saya telah meninggalkan kerja ini sekian lama setelah hukumnya telah diwartakan di Malaysia.

Namun, saya berfikiran bahawa adalah suatu kerugian jika kebolehan saya untuk memperoleh sumber kewangan daripada Forex Trading yang agak banyak tidak dimanfaatkan kepada fakir miskin di sekitar kawasan kediaman dan negeri saya. Jadi terlebih dahulu saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak Tuan berkenaan hukum untuk niat saya ini.

Berdasarkan kepada IRSYAD FATWA SIRI KE-675: HUKUM TRADING FOREX UNTUK TUJUAN BERSEDEKAH yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

Ringkasan Jawapan

Hukum menjalankan trading forex untuk tujuan bersedekah adalah haram. Hal ini kerana kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memang betul-betul mendesak sehingga tiada cara melainkan perlu melakukan perkara yang haram. 

Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat. Dalam masa yang sama masih ada wasilah halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), dan lain-lain.

Huraian Jawapan

Pertamanya, Perdagangan Matawang (FOREX) mempunyai pelbagai gambaran dan bentuk. Tulisan ini memfokuskan pada bentuk Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platfom elektronik yang sudah difatwakan haram dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98.

Kenyataanya seperti berikut:

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara”.[1]

Seterusnya, bagi mencapai suatu tujuan yang baik hendaklah diperoleh melalui jalan yang dibenarkan Syarak semampu yang mungkin. Slogan “Niat menghalalkan cara” tidak boleh difahami secara mutlak untuk setiap keadaan. Sebaliknya slogan tersebut hanya terpakai jika memenuhi dua syarat utama:

Pertama: Hendaklah niat atau objektif yang ingin dicapai diiktiraf oleh Syarak. Contohnya,  niat menyelamatkan diri daripada kebinasaan dan kematian.[2]

Kedua: Sekiranya bagi mencapai objektif yang diiktiraf Syarak tersebut mengkehendaki seseorang perlu menempuhi wasilah yang haram, hendaklah dia memastikan bahawa mudarat wasilah haram tersebut lebih rendah kesannya berbanding objektif yang ingin dicapaibukanlah setara apatah lagi lebih teruk. Contohnya, seseorang makan khinzir di saat dirinya hampir mati sedangkan makanan halal lain masih ada.[3]

(Rujuk: Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, m/s 195)

Sehubungan dengan itu, sekiranya dua syarat di atas tidak dipenuhi seperti kesan mudarat wasilah haram lebih besar berbanding objektif yang ingin dicapai, maka wasilah tersebut haram digunakan bersandarkan kepada kaedah Fiqh menyebut:

الضرر لا يزال بمثله أو بأعظم منه

Maksudnya“Suatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan mudarat lain yang sama tahap atau lebih teruk daripadanya”.

Tambahan pula, agama mengajarkan suatu kaedah yang penting apabila berhadapan dengan situasi yang mempunyai elemen manfaat dan mudarat. Kaedah tersebut:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: “Menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan”.

Oleh itu, sekiranya bertembung di antara memperoleh manfaat atau menghindarkan mudarat dan kerosakan, maka yang lebih utama adalah menghindarkan diri daripada segala jenis kemudaratan termasuklah maksiat dan dosa apatah lagi sekiranya manfaat yang ingin diperolehi tersebut tidak mencapai tahap penting dan darurat.

(Rujuk: al-Asybah wa al-Nazhair, m/s 78)

Banyak sekali nas yang menegaskan tentang tuntutan meninggalkan segala yang dilarang oleh syarak, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عن شيءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وإذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya“Apabila aku melarangmu membuat sesuatu perkara maka jauhilah (kesemuanya). Apabila aku memerintahmu lakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah semampu yang kalian boleh buat”.

Riwayat al-Bukhari (2788)

Bertitik tolak daripada kaedah ini, tujuan bersedekah merupakan suatu tindakan yang baik dan sangat mulia. Namun, sekiranya sumber kewangan sedekah tersebut diperoleh daripada cara yang haram seperti FOREX, maka dalam hal ini Syarak melarangnya.

Alasan larangan ini juga berpandukan hujah bahawa kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memaksa dan mendesak sehingga tiada cara atau wasilah melainkan melakukan perkara yang haram.  Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat dan dalam masa yang sama masih ada cara halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), wakaf, membuka tabung sedekah dan lain-lain.

Akhir kata, semoga kita semua diberikan taufik dan petunjuk oleh Allah SWT agar segala cita-cita murni yang ingin dicapai melalui jalan yang diredai-Nya. Wallahu a’lam.

[1] Rujuk Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik

[2] Rujuk Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-26: Kaedah Dalam Mencapai Sesuatu Matlamat

Baca juga Ada Duit Atau Harta Daripada Sumber Yang Haram? Ini Dia Cara Pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah

Previous ArticleNext Article

Jangan Biar Hutang Jadi Beban Akhirat

Isu kegagalan membayar semula pinjaman pendidikan atau perniagaan kian menjadi perhatian dalam masyarakat. Statistik semasa menunjukkan trend yang membimbangkan, khususnya melibatkan agensi peminjam utama seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Hal ini bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan institusi berkenaan, malah turut mencerminkan tahap tanggungjawab peminjam dalam melunaskan amanah yang telah diberikan.

Sebagai contoh, data menunjukkan bahawa sebanyak RM32.29 bilion daripada RM71.3 bilion pinjaman PTPTN berada dalam kategori “sepatutnya dibayar balik”, melibatkan seramai 2,716,110 peminjam. [1] Sementara itu, sebanyak 97,866 orang, iaitu 49% daripada 197,348 peminjam aktif MARA, telah disenarai hitam kerana gagal membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan. [2] Bahkan mana-mana institusi kerajaan atau swasta yang menawarkan pinjaman juga mengalami masalah pembayaran semula hutang daripada peminjam.

Perbahasan Syarak Berkenaan Isu Bayaran Semula Hutang

Dalam ajaran Islam, melunaskan hutang merupakan suatu kewajipan yang sangat dititikberatkan. Tanggungjawab ini disokong oleh banyak dalil daripada al-Quran dan sunnah Nabi SAW, yang menegaskan betapa seriusnya urusan hutang dalam kehidupan seorang Muslim.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ 

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah SWT telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Kemudian, hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.”

Surah al-Baqarah (282)

Ayat ini secara zahirnya menunjukkan larangan menangguhkan pembayaran dalam semua bentuk hutang.[3] Oleh itu, setiap umat Islam perlu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan hutang. Hal ini kerana, Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya kembali, maka Allah SWT akan membantunya melunaskan hutang itu. Tetapi sesiapa yang mengambil harta tersebut dengan niat untuk tidak membayarnya, maka Allah akan membinasakannya.”

Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menunjukkan bahawa niat seseorang dalam berhutang memainkan peranan besar di sisi Allah SWT. Sekiranya niatnya jujur untuk membayar, maka pertolongan Allah akan menyertainya. Namun, jika tujuannya adalah untuk menipu dan menganiaya si peminjam, maka akibatnya amat buruk bukan hanya di dunia bahkan juga di akhirat.

Dalam sebuah lagi hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh seorang mukmin akan tergantung (tertahan daripada dihisab) disebabkan hutangnya, sehinggalah hutang tersebut dilangsaikan bagi pihaknya.”

Riwayat al-Tirmizi

Hadis ini menggambarkan betapa hutang boleh memberi kesan kepada nasib seseorang di alam akhirat. Meskipun seseorang itu soleh, amalannya boleh tertangguh daripada dihisab kerana masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan. Bahkan Imam al-‘Iraqi menyebutkan urusan roh itu tertangguh sehinggalah diselesaikan hutangnya.[4]

Lebih daripada itu, Islam juga mengecam keras perbuatan melengahkan pembayaran hutang, terutamanya bagi mereka yang sebenarnya berkemampuan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: “Menangguhkan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah satu bentuk kezaliman.”

Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menunjukkan bahawa sikap melambat-lambatkan pembayaran hutang tergolong dalam perbuatan zalim. Menariknya, ungkapan dalam hadis tersebut disampaikan secara umum sebagai satu bentuk penegasan yang tegas bagi menimbulkan rasa gerun, sekaligus mendorong orang ramai agar menjauhi amalan menangguhkan bayaran hutang tanpa alasan yang sah.[5] Ini bermakna, apabila seseorang yang berkemampuan sengaja tidak membayar hutangnya, ia dianggap telah berlaku zalim terhadap si pemberi hutang. Islam amat menekankan prinsip keadilan dalam semua urusan, termasuk dalam urusan kewangan dan muamalat.

Secara keseluruhannya, ajaran Islam menegaskan bahawa hutang bukan sekadar tanggungjawab duniawi, tetapi juga amanah yang membawa kesan kepada akhirat. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk membayar hutang secepat mungkin, menjaga niat ketika berhutang, serta tidak mengabaikan hak orang lain. Membayar hutang bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosial, malah ia adalah ibadah yang dipandang tinggi di sisi Allah SWT.

Sebagaimana kita bersungguh-sungguh ketika meminjam, begitu jugalah seharusnya kita berusaha dengan tekun untuk membayar semula hutang tersebut, walaupun hanya dalam jumlah yang kecil setiap bulan. Insya-Allah, usaha tersebut dapat memberikan kelegaan kepada pemiutang dan menunjukkan bahawa penghutang benar-benar komited menunaikan tanggungjawabnya.

Solusi Bayaran Hutang Bagi Mereka yang Belum Mampu

Namun, sekiranya peminjam benar-benar berada dalam keadaan belum mampu untuk melunaskan hutang yang dipinjam disebabkan belum berpendapatan, faktor kesihatan dan seumpamanya. Dalam hal ini Islam tetap mengiktiraf realiti tersebut dan menawarkan pendekatan yang adil dan berperikemanusiaan. Syariat Islam tidak menekan golongan yang berhutang dalam kesempitan, sebaliknya menyeru agar mereka diberi tempoh penangguhan atau ruang bernafas sehingga mereka mampu melunaskan hutang tersebut.

Perkara ini bertepatan dengan amalan yang dilakukan oleh pihak institusi pinjaman. Sebagai contoh, antara amalan yang telah dilakukan oleh pihak institusi tersebut ialah:

  • Membuka ruang kepada para peminjam untuk membuat penstrukturan semula nilai bayaran bulanan bagi setiap hutang yang dilakukan.
  • Menyediakan potongan bayaran balik bagi mereka yang mampu membayar secara bayaran penuh (full settlement).
  • Peminjam yang melunaskan bayaran lebih awal tidak akan dikenakan sebarang caj upah sepanjang tempoh 12 bulan tersebut.
  • Memberi pilihan tempoh pembayaran hutang.
  • Peminjam pelajaran boleh membayar menggunakan akaun II KWSP.

Berikut merupakan beberapa solusi bayaran hutang bagi mereka yang belum mampu:

  • Peminjam perlu mempunyai niat bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan hutang.
  • Peminjam boleh berunding dengan pihak institusi pinjaman berkenaan isu pembayaran semula hutang.
  • Bagi peminjam yang berkemampuan boleh melakukan bayaran secara penuh (full settlement) bagi mendapatkan diskaun.
  • Jika diberi tempoh baharu bagi bayaran semula hutang maka peminjam perlu berusaha untuk membayar mengikut kadar yang ditetapkan.
  • Peminjam yang mempunyai pendapatan tetapi mempunyai komitmen yang tinggi maka disarankan untuk menggunakan akaun II KWSP bagi menyelesaikan hutang.

Kesimpulan

Kesedaran dan tanggungjawab dalam melunaskan hutang merupakan satu aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim yang beriman. Hutang bukan sahaja memberi implikasi kepada hubungan sesama manusia, tetapi turut memberi kesan terhadap urusan akhirat, sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan hadis Nabi SAW. Oleh itu, setiap individu yang berhutang hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawabnya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, walaupun secara beransur. Islam juga tidak menafikan kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah peminjam, malah menyediakan garis panduan yang penuh ihsan dengan menggalakkan penangguhan atau penstrukturan semula bayaran bagi mereka yang benar-benar tidak mampu. Inisiatif pihak institusi pinjaman seperti penawaran bayaran fleksibel, potongan, serta penggunaan KWSP turut mencerminkan pendekatan yang mesra peminjam dan selari dengan prinsip keadilan dalam Islam. Justeru, umat Islam hendaklah menjadikan hutang sebagai amanah yang tidak boleh diabaikan, serta berusaha memelihara integriti diri dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Membayar hutang merupakan salah satu asas penting dalam pembinaan insan yang berintegriti dan bertanggungjawab, yang seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang sejahtera dan dicintai. Secara keseluruhannya, usaha untuk melunaskan hutang juga salah satu langkah penting dalam mencapai kestabilan kewangan untuk jangka masa panjang. 

Wallahu a’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan