I-Biaya Untuk Mudahkan Pembiayaan Perumahan Bagi B40 dan M40

PETALING JAYA — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kewangan (MOF) melancarkan inisiatif i-Biaya pada Khamis, dalam usaha kerajaan untuk memudahkan pembiayaan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah M40 dan B40.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata selari dengan matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah, inisiatif i-Biaya merupakan satu langkah integrasi untuk menyatukan semua inisiatif di bawah satu bumbung.

“KPKT melaksanakan inisiatif ini berpaksikan ketersediaan rumah mampu milik di lokasi-lokasi strategik, kemampuan pembeli di mana KPKT menerima nasihat daripada pelbagai pemegang taruh termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) serta (meneliti) kemudahan pembiayaan untuk B40 dan M40,” katanya pada majlis pelancaran i-Biaya di sini.

Tiga inisiatif yang ditawarkan di bawah i-Biaya ialah penambahbaikan kepada skim sedia ada iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan yang ditawarkan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Bhd dengan peruntukan RM3 bilion; Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Bhd (Cagamas) dan Skim PR1MA ‘Rent-to-Own’ oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA RTO).

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MOF komited untuk terus menyokong dengan membuka akses kepada pembiayaan terutama bagi golongan B40 dan M40 yang menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan dalam usaha mereka memiliki rumah sendiri.

“Bagi SRP, ia dijangka memberi manfaat kepada 25,000 pemohon dalam kalangan B40 dan M40, dengan anggaran nilai pembiayaan sebanyak RM5.9 bilion.

“Antara faktor penyumbang kepada sasaran ini ialah komitmen kerajaan melalui insiatif Jamin Kerja yang menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan, dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata menerusi fokus kepada peluang pekerjaan serta peningkatan kemahiran dalam kalangan B40 dan M40 termasuk golongan belia, peningkatan pendapatan yang diperolehi akan membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai skim pemilikan kediaman melalui i-Biaya.

Skim pembiayaan SRP akan membuka peluang pembiayaan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM10,000 ke bawah untuk kediaman bernilai sehingga RM500,000.

Selain itu, peluasan jaminan Skim Jaminan Kredit Perumahan juga akan membolehkan mereka yang tidak mempunyai penyata gaji atau dokumen sewajarnya terutama mereka yang terlibat dalam ekonomi gig, memohon pembiayaan perumahan.

Selain itu, skim PR1MA RTO pula akan membolehkan mereka yang berminat untuk menyewa dan kemudiannya membeli mengikut harga yang telah ditetapkan pada tahun keenam, melalui pembiayaan oleh Maybank. — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.