Isu Riba Di Sebalik Pembelian Emas

Dalam Islam, kita perlu peka dengan dengan punca pendapatan kita dan ke mana ianya dibelanjakan. Malah dalam sebarang transaksi jual beli pun, sebarang unsur riba perlu dielakkan.

Persoalannya, apa yang anda faham tentang riba dan apakah yang menimbulkan isu riba dalam pembelian emas?

Elakkan Yang Konvensional

Hari ini kita dapat mengelakkan riba dalam hutang piutang dengan menghentikan semua urusan dengan institusi kewangan konvensional.

Namun itu belum cukup untuk meninggalkan riba sepenuhnya kerana riba wujud dalam kontrak jual beli menerusi urusniaga pertukaran barang tertentu.

Riba ini diterangkan melalui hadis-hadis, di antaranya hadis dari Ubadah bin Samit RA berikut:

Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam (ditukarkan) sesama jenis, pada kadar yang sama, secara tunai (spot), sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran tunai.

Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad

Hadis ini memberitahu kita ada 6 jenis barang ribawi iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam.

Maka, pertukaran barang yang sama jenis perlu berlaku secara tunai dan sama nilai. Contohnya, emas 10 gram mesti ditukarkan dengan emas 10 gram juga. Gandum 10 kg mesti ditukarkan dengan gandum 10 kg juga.

‘Illah Bagi Emas dan Perak

Dari hadis ini juga ulama menerusi kaedah qiyas telah menyatakan ‘illah, bagi emas dan perak adalah matawang manakala 4 jenis barang yang lain pula ‘illahnya adalah makanan ruji.

Qiyas merupakan kaedah mengeluarkan hukum selepas sumber al-Quran, hadis, dan kata sepakat para ulama (ijma’). Kaedah ini memerlukan ulama mencari sebab atau ‘illah kenapa sesuatu perkara itu haram berdasarkan sumber al-Quran dan hadis.

Berdasarkan kaedah ini apa-apa perkara baru yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis yang dikenalpasti mempunyai sebab yang sama dengan hukum asal yang disebut dalam salah satu dari dua sumber tersebut, maka hukum asal itu terpakai untuk perkara baru itu tadi.

Ini bermaksud menggunakan analogi dari hukum asal diaplikasikan dalam situasi yang baru. Kita ambil contoh qiyas dalam pengharaman arak. Ulama menyatakan sebab arak itu haram adalah kerana arak memabukkan. Maka, apa-apa minuman yang memabukkan adalah haram.

Maka air tuak misalnya menjadi haram sekiranya air tuak itu memabukkan walaupun ia tidak dinamakan sebagai arak.

Seterusnya jual beli dan pertukaran barang ribawi yang berbeza jenis walaupun illahnya sama perlu berlaku secara tunai tetapi tiada syarat nilai juga mesti sama. Maka penjualan 10kg gandum dapat berlaku dengan 11kg barli dengan syarat mesti berlaku secara tunai.

Fokus Perbincangan Kita adalah Emas, Perak dan Matawang

This image has an empty alt attribute; its file name is holy-quran-ramadan-holy-month-700x467.jpg

Dalam hadis yang lain pula, dari Abu Sai’d al-Khudri RA menyatakan:

Jangan kamu menjual emas dengan emas melainkan sama berat dan jangan dijual secara hutang melainkan mesti berlaku secara tunai.

Hadis Riwayat Bukhari

Maka walaupun emas dan perak mempunyai ‘illah yang sama iaitu matawang tetapi emas dan perak dua barang ribawi yang berlainan jenis. Maka 10g emas dapat ditukarkan dengan 25g perak asalkan urusniaga ini berlaku secara tunai.

Inilah prinsip dan hukum asal dalam urusniaga barang ribawi.

Barang ribawi yang berlainan jenis dan berbeza ‘illahnya maka kita bebas berurusniaga mengikut cara yang kita mahu

Berbeza nilai mahupun berjual beli secara hutang. Seperti 5g emas ditukarkan dengan 50kg gandum. Barang ribawi yang berlainan jenis tetapi ‘illahnya sama maka kita perlu berurusniaga secara tunai sahaja dan perbezaan nilai adalah dibenarkan.

Seperti 25g perak ditukarkan dengan 1g emas ataupun 10kg gandum ditukarkan dengan 5kg kurma. Barang ribawi yang sama dan sama ‘illahnya maka kita perlu berurusniaga secara tunai dan sama nilai.

1g emas ditukarkan dengan 1g emas. 1kg kurma ditukarkan dengan 1kg kurma.

Bagaimana Dengan Isu Kualiti?

Timbul persoalan kalau 1 gram emas 99.9 ditukarkan dengan 2 gram emas 91.6 atau 1 kilogram gandum gred A ditukarkan dengan 2 kilogram gandum gred B? Adakah dua barang yang berbeza kualiti pun mesti sama nilai pertukarannya?

Situasi ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW sebagai panduan kita bersama.

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, satu hari Bilal RA membawakan Nabi SAW 1 sa’ (timbangan kurma) kurma yang berkualiti dan baginda pun bertanya sumber kurma tersebut. Bilal pun menjawab, “Saya ada 2 sa’ kurma yang berkualiti rendah dan saya tukar dengan 1 sa’ kurma berkualiti ini.”

Lantas baginda pun berkata, “Tidak! Ini adalah riba, jangan buat begitu. Kamu sepatutnya menjual dulu 2 sa’ kurma berkualiti rendah dan hasil jualannya barulah digunakan untuk membeli kurma yang berkualiti tinggi.” – (Hadis Riwayat Muslim & Ahmad)

Ada satu lagi hadis lain yang direkodkan dalam Shahih Bukhari, Muslim dan Nasai’ yang membawa prinsip yang sama. Maka kita perlu faham bahawa barang ribawi yang sama jenis walaupun berbeza daripada sudut kualiti, maka hukumnya tetap sama jika mahu membuat pertukaran sesama jenis.

Inilah prinsip asas dan hukum asal riba jual beli yang kita mesti tahu dan amalkan.

Sumber Rujukan: Majalah Niaga

Tambahan : Ada orang suka simpan emas sendiri di rumah sebab nak lebih yakin bila dapat terus emas yang dibeli. Tapi ramai juga tak berani simpan di rumah, jadi lebih sesuai simpan dalam akaun (patuh syariah). Kos untuk mula menyimpan emas pun dah murah sangat sekarang. Mula dengan RM5 pun boleh! Baca lagi JOM BELI EMAS UNTUK MASA DEPAN YANG LEBIH TERJAMIN

Previous ArticleNext Article

Malaysia Cadang Perluas Pengiktirafan Sijil Halal JAKIM Ke Lebih Banyak Negara — Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Malaysia bercadang untuk memperluaskan pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke lebih banyak negara menerusi kerjasama diplomasi Halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini di peringkat global terdapat 88 buah negara yang telah mengiktiraf sijil Halal JAKIM.

Beliau berkata terdapat juga cadangan daripada beberapa negara-negara untuk menempatkan kilang mereka di Malaysia bagi memperoleh sijil Halal JAKIM dan kemudiannya mengeksport produk mereka ke seluruh dunia.

“Ini akan memberikan lebih keuntungan kepada Malaysia dari segi penambahan nilai eksport, peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi daripada syarikat terbabit.

“Terdapat negara-negara yang masih mahukan sijil (Halal) JAKIM, jadi kita menjemput syarikat-syarikat itu untuk membuat pelaburan di Malaysia,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata semasa kunjungan beliau ke China baru-baru ini hasil daripada perbincangan meja bulat dengan syarikat-syarikat terdapat permintaan untuk menggunakan logo (Halal) JAKIM sebagai lambang untuk pasaran antarabangsa kerana ia diterima dan dipercayai di seluruh dunia.

“Jadi, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) perlu berkerjasama dengan JAKIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) supaya syarikat-syarikat itu diberikan kemudahan untuk melabur di sini dan mengambil pekerja tempatan menjadi ahli profesional serta teknikal bagi pengeluaran produk berkenaan.

“Saya juga telah mengkoordinasikan dengan kerajaan negeri supaya menyediakan tanah untuk dibeli atau disewa bagi pembinaan kilang,” katanya.

WHBC 2024 yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 adalah untuk memupuk dialog dan kerjasama yang akan memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi Halal yang semakin berkembang.  

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata persidangan itu bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam industri Halal dan mempercepatkan kerjasama yang memberi impak dalam kalangan pemegang kepentingan Halal.

“Kami menjangkakan pertukaran idea dan strategi yang dinamik dengan lebih 500 tetamu terhormat, termasuk duta, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, persatuan perdagangan dan wakil akademik,” katanya dalam ucapan beliau pada WHBC.

— BERNAMA