Sub Topik
Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan bahawa Produk Ar-Rahnu Berasaskan Gabungan Kontrak Qard, Rahn, Wadi`Ah Dan Ujrah Adalah Tidak Patuh Syariah.
Mesti ramai yang nak tahu apakah puncanya ia boleh jadi tak patuh syariah kan? Dan apakah pula solusinya?
Jom kita sama-sama dengarkan pandangan Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah yang merupakan pemilik laman Facebook Muamalat.my.
Gabungan Beberapa Kontrak Menjadikannya Tak Patuh Syariah
Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-194 bertarikh 25 Jun 2019 dan mesyuarat ke-195 bertarikh 31 Julai 2019 telah memutuskan bahawa struktur semasa produk ar-rahnu yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam (IKI) berasaskan gabungan kontrak qard (pinjaman), rahn (cagaran), wadi`ah (simpanan) dan ujrah (upah simpan) tidak memenuhi keperluan Syariah.
—————
📌 Isu ini telah lama dibincangkan secara akademik sebenarnya, bukan perkara baru.
📌 Kebanyakan Al-Rahn di Malaysia menggunakan kontrak Pinjam Tanpa Faedah (Qard) dan Upah Simpan (Ujrah).
📌 Upah tanpa faedah itu pada asalnya adalah harus.
📌 Namun apabila upah itu digabungkan dengan akad ijarah (upah) simpan, maka ia terdedah kepada wujudnya elemen pinjaman yang menjana manfaat (qard jarra naf’an) ataupun pinjaman yang digabungkan dengan urusan jual beli (salaf wa bay’.)
📌 Qard Jarra Naf’an ialah pinjaman yang diletakkan syarat yang memberi manfaat kepada pemberi pinjam. Contohnya Ali meminjamkan wang RM10k dan mensyaratkan kawannya belanja makan. Maka hukum belanja makan itu dianggap riba. Ini adalah prinsip “mana-mana pinjaman yang menghasilkan manfaat yang disyaratkan adalah riba”.
📌 Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW melarang keras pinjaman yang digabungkan dengan jual beli (Salaf Wa Bay’). Contohnya Ali meminjamkan wang kepada Abu RM1000 tanpa faedah, tapi Ali mensyaratkan Abu mesti membeli jam tangan dengannya dengan harga RM199 bayaran secara ansuran. Ini dilarang oleh Nabi SAW kerana ia membawa kepada riba. Pinjaman tanpa faedah tidak salah, jual beli pen berharga RM199 itu pun harus jika kedua-duanya berasingan, tapi jika Ali kata “nak pinjam boleh, tapi kena beli produk kami RM199”, maka ini dilarang.
📌 Apa yang berlaku di al-Rahn ialah pinjam tanpa faedah, tapi dengan syarat kena bayar kami upah simpan. Bahkan ada tempat al-Rahn ada al-Rahn yang menyediakan perkhidmatan upah simpan dengan dua harga, satu simpan saja, lebih rendah upahnya, satu lagi lebih tinggi upahnya bila penyimpan itu pinjam.
📌 Apa masalah sebenarnya? Pinjam tanpa faedah harus, upah simpan (ujrah) harus. Masalah sebenarnya ialah gabungan dengan meletakkan syarat untuk pinjam wajib simpan dengan bayaran yang ada elemen keuntungan. Ini yang membawa kepada elemen riba.
Apakah Solusinya?
Walaupun keputusan Syariah ini lebih menjurus kepada pajak gadai al-Rahn di bank-bank, namun hukum Syariah sewajarnya terpakai untuk semua pusat al-Rahn oleh institusi lain juga oleh koperasi lain.
📌 Pusat pajak gadai al-Rahn beralih kepada murabahah komoditi berasaskan tawarruq. Sekarang ini banyak platform lain yang menyediakan perkhidmatan jual beli murabahah dengan kos yang rendah.
📌 Pusat pajak gadai Al-Rahn wajar melantik penasihat Syariah dan pegawai Syariah untuk tujuan pemantauan. Kebanyakan koperasi yang buat al-Rahn selama ini tidak dipantau oleh penasihat Syariah pun, walaupun garis panduan koperasi jelas mensyaratkan perlu ada penasihat Syariah.
Bagaimana Dengan Sebelum Ini?
📌 Apa yang dilakukan sebelum ini adalah berasaskan ijtihad dan penemuan baru ini juga adalah ijtihad.
📌 Maka jika ada kesilapan dalam ijtihad lama, semoga Allah memaafkan kita semua kerana itu solusi yang ada ketika itu alternatif kepada pajak gadai konvensional.
📌 Dengan jelasnya keputusan baru ini, tindakan drastik perlu dilakukan. Isu ini bukan baharu di kalangan penyedia al-Rahn sebenarnya dan mereka sewajarnya bersedia untuk perubahan.
Kepada masyarakat awam, sudah sampai masanya masyarakat memilih pusat Al-Rahn yang jelas ada penasihat Syariah, memandangkan banyak koperasi yang buat al-Rahn selama ini sengaja mengabaikan polisi koperasi lantaran tiada enforcement dilakukan.
Semoga Allah mengampunkan kita semua dan melakukan perkara yang lebih baik.
Kredit: Muamalat.my
Disediakan oleh:
Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah
JSP – Jabatan Syariah dan Pengurusan, Academy of Islamic Studies University of Malaya