Alibaba Cloud Perkenal Penyelesaian Termaju kepada Perusahaan Malaysia untuk Percepat Transformasi Digital

KUALA LUMPUR, Malaysia, 1 Ogos 2019 /PRNewswire/ — Alibaba Cloud, tulang belakang kecerdasan data untuk Alibaba Group, hari ini memperkenalkan penyelesaian termaju kepada perusahaan Malaysia bagi mempercepatkan transformasi digital mereka di sidang kemuncak awan pertama yang diadakan oleh syarikat tersebut di Kuala Lumpur, Malaysia. Sidang kemuncak berkenaan berjaya menarik penyertaan eksekutif-eksekutif yang mewakili 100 syarikat terbaik di Malaysia, pemimpin-pemimpin industri dan pakar-pakar teknologi untuk membincangkan tentang teknologi dan penyelesaian yang dibawakan oleh Alibaba Cloud. Di sidang kemuncak berkenaan, Alibaba Cloud turut menandatangani MOU dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk menggunakan Data Raya dan AI bagi mempercepatkan rangkuman kewangan.

Alibaba Cloud menandatangani MOU dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk menggunakan Data Raya dan AI bagi mempercepatkan rangkuman kewangan

Selina Yuan, Presiden Alibaba Cloud Intelligence International berkata, “Sejak penubuhan pusat data tempatan pertama kami di Malaysia, Alibaba Cloud telah membuka jalan untuk menyokong perniagaan tempatan bagi mempercepatkan transformasi digital mereka. Sebagai penyedia awan No.1 di Asia Pasifik, kami ingin terus mempromosikan keterangkuman melalui teknologi, agar pelanggan dapat mengalami sistem awan yang bertaraf dunia dari segi keandalan, sekuriti, kecekapan dan kesalinghubungan.”

Di sidang kemuncak tersebut, Alibaba Cloud turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad, salah sebuah bank yang terkemuka di Malaysia, dalam usaha mereka untuk mendayakan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kewangan menggunakan teknologi dan menangani cabaran sekuriti dan pematuhan yang biasanya terdapat dalam industri perbankan.

Abdul Razak Mohamed Ismail, Ketua Pegawai Teknologi Bank Muamalat Malaysia Berhad berkata, “Kolaborasi berkenaan membawakan peluang sempurna untuk kami menggunakan analitik prediktif yang dikuasakan oleh data raya dan teknologi AI untuk memahami dengan lebih baik segmentasi serta keutamaan pelanggan kami. Ia bukan sahaja membolehkan kami untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami, tetapi juga membantu kami menawarkan perkhidmatan kewangan buatan khas yang sesuai dengan aspirasi pertumbuhan mereka.”

Alibaba Cloud mempunyai lebih daripada 70 akreditasi sekuriti dan pematuhan di seluruh dunia. Set komprehensif pensijilan pematuhan membolehkan pelanggan kewangan tempatan serta banyak industri dikawal selia yang lain menginovasi dalam infrastruktur awan dan mempercepatkan kaedah transformasi digital mereka.

Selain infrastruktur awan dan teknologi dipacu AI, Alibaba Cloud akan turut berkongsi amalan terbaik yang terkumpul sejak dua dekad lalu daripada ekosistem Alibaba. Ini akan memperkasa lagi rakan-rakan niaga Malaysia untuk mengubah cara mereka memasarkan, menjual, mengendalikan dan mencapai kejayaan dalam era digital.

Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC berkata, “Teknologi berperanan sebagai pendorong berkuasa untuk mengangkat masyarakat dan meningkatkan taraf hidup. Menggunakan teknologi untuk memastikan akses mudah kepada perkhidmatan kewangan yang berpatutan dan berkesan adalah penting bagi mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat dan mencapai rangkuman kewangan. Kami berharap agar lebih banyak syarikat dalam ekosistem tersebut mengguna pakai teknologi yang bukan sahaja meningkatkan keberkesanan perniagaan mereka, tetapi turut memainkan peranan dalam melakukan kebaikan untuk masyarakat.

Sidang kemuncak berkenaan dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat termasuk Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Cooperation (MDEC); Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad; Muzzaffar Othman, Ketua Pegawai Teknologi Permodalan Nasional Berhad (PNB); Calvin Chee, Naib Presiden Enterprise Application Development & Integration (IT), Genting Malaysia; Syahrunizam Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Touch N’ GO; Patrick Khoo, Ketua Pegawai Maklumat Averis Sdn Bhd, RGE Group; Kanags Surendran, Ketua Transformasi Perjalanan Pelanggan untuk CIMB; dan Selina Yuan, Naib Presiden Alibaba Group, Presiden Alibaba Cloud Intelligence International. Sesi-sesi meliputi pandangan praktikal dan kisah kejayaan untuk memperkasa perusahaan dan PKS mempercepatkan transformasi perniagaan mereka.

Alibaba Cloud mempunyai salah satu rangkaian infrastruktur yang terbesar di rantau Asia Pasifik, mempunyai operasi dalam 56 zon ketersediaan merentas 19 wilayah di seluruh dunia termasuk Hong Kong, Singapura, Australia, Malaysia, Indonesia, India dan Jepun dalam pasaran Asia Pasifik. Ia juga merupakan satu-satunya penyedia awan global yang mempunyai pusat-pusat data tempatan di Malaysia serta turut melancarkan ‘Anti-DDos Scrubbing Center’ berasaskan awan yang pertama di Malaysia pada tahun 2018 bagi menawarkan perkhidmatan di rantau ini.

Latar Belakang Alibaba Cloud

Ditubuhkan pada tahun 2009, Alibaba Cloud (www.alibabacloud.com), tulang belakang kecerdasan data untuk Alibaba Group, merupakan antara tiga penyedia IaaS terkemuka di dunia, menurut Gartner. Ia juga merupakan penyedia terbesar bagi perkhidmatan awan awam di China, menurut IDC. Alibaba Cloud menyediakan suit komprehensif perkhidmatan pengkomputeran awan kepada perniagaan-perniagaan di seluruh dunia, termasuk peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan dalam pasaran Alibaba Group, syarikat baharu, perbadanan dan perkhidmatan awam. Alibaba Cloud ialah Rakan Kongsi Perkhidmatan Awan rasmi bagi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Sumber: Alibaba Cloud

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.