Dompet Saudagar B2B Boost Bantu Pendigitalan PMKS

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Dompet saudagar perniagaan ke perniagaan (B2B) di bawah Boost, cabang teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau Axiata mempunyai kapasiti untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pendigitalan operasi perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata syarikat itu mempunyai sejarah panjang dalam menyokong PMKS di Malaysia dan berbangga menjadi yang pertama membawa dompet saudagar ke pasaran. 

“Sebagai sebuah syarikat digital, Boost berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membantu perniagaan seperti ini.

“Kami mempunyai jejak yang panjang dalam menyokong PMKS. Fokus awal kami adalah peniaga kecil, yang mana kaedah utama penerimaan pembayaran adalah wang tunai. Perkara pertama yang kami lakukan ialah membantu mereka memasuki era pendigitalan dan tanpa tunai dengan kod QR Boost DuitNow pada 2017,” katanya kepada Bernama.

Boost kemudian berusaha menawarkan penyelesaian pinjaman, menyediakan pembiayaan kepada PMKS dan telah mengagihkan pinjaman bernilai hampir RM2 bilion setakat ini. 

Beliau juga berkata Boost sedang dalam proses bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mendigitalkan peniaga, menawarkan mereka kedai dan kaedah untuk penggunaan secara digital. 

“Semasa era pandemik COVID-19, kebanyakan perniagaan terpaksa menyesuaikan diri dan beralih kepada digital tetapi menghadapi banyak cabaran dalam perlaksanaan kerana ramai PMKS tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.

“Daripada apa yang mereka beritahu, kami perlu menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi membantu PMKS mendigitalkan perniagaan mereka. Peniaga memerlukan titik permulaan, yang kami rasa terkait dengan dompet pengguna, dan kemudian membina kes penggunaan di sekelilingnya untuk peniaga mendapat manfaat.

“Pengguna kami telah mempunyai dompet sejak sekian lama, dan kami berbangga menjadi yang pertama membawa dompet saudagar ke pasaran untuk membantu pemilik perusahaan mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” katanya. 

Memandangkan landskap digital terus berkembang, Sheyantha berkata Boost sentiasa merancang untuk mengikuti perkembangan ini dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada penggunanya.

“Kami sentiasa cuba berada di barisan hadapan dalam penerokaan perkara baharu disebabkan kehendak serta keperluan perniagaan dan pengguna akan sentiasa seiring dengan pengembangan teknologi.

“Kami sentiasa mengambil pendekatan aktif untuk mencari kesesuaian pasaran produk yang betul dan mengenal pasti teknologi apa yang akan membantu setiap segmen pasaran menangani cabaran mereka,” katanya lagi.

Memandangkan Boost telah berkembang menjadi perbankan digital di Malaysia, syarikat itu akan membawa sempadan baharu dalam inovasi serta membawa perkhidmatan terkini kepada segmen pasaran PMKS yang kurang mendapat perkhidmatan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Biz Eric Chong berkata dompet saudagar Boost dibina khusus bagi membantu PMKS mengakses pembayaran digital dan menyelaraskan operasi perniagaan mereka.

“Dengan dompet saudagar ini, proses perniagaan menjadi lebih cekap kerana PMKS telah memudahkan akses kepada perkara-perkara seperti pembayaran bil dan pembekal terus dari dompet itu sendiri. Mereka juga boleh membeli barangan selain opsyen untuk mengeluarkan wang mereka. 

“Dengan ciri Penyelesaian Segera, peniaga tidak perlu lagi pergi ke bank untuk mengeluarkan tunai, malah mereka kini mempunyai wang tunai yang mudah didapati setiap kali ada transaksi atau keperluan pembayaran,” katanya. 

Chong berkata dompet peniaga itu menawarkan saiz dompet yang agak besar untuk PMKS.

“Bagi peniaga yang mendaftar dengan kad pengenalan, mereka mempunyai had sebanyak RM30,000, manakala peniaga yang mendaftar menggunakan lesen perniagaan akan mempunyai had sehingga RM500,000. 

“Ini bertujuan memastikan peniaga mempunyai wang tunai yang mencukupi untuk menguruskan semua bayaran perniagaan pada setiap masa,” katanya. 

Chong juga menyebut bagaimana dompet saudagar telah membolehkan PMKS akses lebih mudah kepada pinjaman Boost. 

“PMKS boleh memohon pinjaman kami secara terus melalui aplikasi Boost Biz dan dikreditkan terus ke dalam dompet saudagar mereka. Proses permohonan hanya mengambil masa lima minit dengan saiz pinjaman antara RM1,000 hingga RM100,000,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelancaran Kempen #SamaSamaWebull: Membuka Akses Mudah kepada Dagangan & Ganjaran Mewah

KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER 2025Webull Malaysia, anak syarikat Webull Corporation (NASDAQ: BULL), pemilik platform dagangan Webull, dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran kempen terbarunya – #SamaSamaWebull! Sama ada anda seorang pelabur berpengalaman atau baru berjinak-jinak dalam dunia pelaburan, Webull bersedia untuk menjadikan pengalaman melabur lebih pintar, mudah, dan menguntungkan. Dengan menawarkan sifar yuran platform dan 0% komisen bagi saham tempatan, Webull komited untuk menjadikan pasaran global lebih mudah diakses dan kos efektif untuk rakyat Malaysia.

Peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM80,000 hanya dengan memuat turun aplikasi Webull dari App Store atau Google Play. Sertai kempen #SamaSamaWebull dengan menyelesaikan beberapa tugasan mudah: mulakan dengan mendaftar akaun, kemudian muat naik gambar anda bersama Webull di laman web kempen. Tambahkan lagi peluang penyertaan anda dengan membuka akaun Webull, membuat deposit RM500 atau RM2,000. Setiap tugasan yang  diselesaikan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah, lebih banyak tugasan diselesaikan, semakin tinggi peluang anda untuk menang.

Antara hadiah menarik yang ditawarkan termasuk sepasang jam tangan Tudor, penginapan mewah di Park Hyatt Kuala Lumpur, iPhone 17 , dan banyak lagi. Inilah masanya yang terbaik untuk anda memulakan perjalanan dagangan anda dan berpeluang menang besar bersama Webull.

Bagi menggalakkan penyertaan komuniti dalam kempen ini, Webull Malaysia turut mengadakan aktiviti luar talian di stesen MRT terpilih di seluruh Lembah Klang dari 18 Ogos hingga 14 November. Orang ramai boleh menemui pasukan Webull di TRX (16 Ogos – 16 Sept), Bukit Bintang (18 Sept – 17 Okt), dan Pasar Seni (19 Okt – 14 Nov) untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan aplikasi Webull. Daftar di lokasi dan nikmati PIN Tambah Nilai TnG RM5 untuk tambang perjalanan anda.

#SamaSamaWebull bukan sekadar kempen, ia adalah pengalaman interaktif yang menyeronokkan untuk membantu rakyat Malaysia mengenali dunia dagangan dengan lebih mudah, sambil berpeluang menikmati ganjaran hebat. Kami berbesar hati kerana dapat membawa platform kami terus kepada komuniti, memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memenangi pelbagai hadiah sambil mengetahui betapa mudahnya untuk memulakan dagangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth Chan.

“Sebagai sebahagian daripada promosi istimewa yang berlangsung hingga Disember 2025, pengguna boleh menikmati 0% komisen untuk saham Malaysia serta ganjaran sehingga RM400, tertakluk kepada terma dan syarat,” jelas beliau lagi.

Webull Malaysia ialah broker digital dikawal selia sepenuhnya yang menawarkan akses lancar kepada pasaran global, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Hong Kong dan saham A-China,  semuanya tanpa yuran platform. Platform ini turut menawarkan pilihan perbankan patuh Syariah, memberikan pelabur fleksibiliti untuk memilih antara saluran konvensional atau Islamik, dengan deposit masa nyata untuk pengalaman dagangan yang lancar.

Dengan menjadikan kesederhanaan, ketelusan, dan keselamatan sebagai teras utamanya, Webull mentakrifkan semula cara rakyat Malaysia mengakses pasaran global, menjadikan pelaburan bukan sahaja lebih mudah, tetapi benar-benar boleh diakses oleh semua.

Baca lagi Tutorial Buka Akaun Trading Dengan Webull, Beli Saham Bursa Malaysia, AS & Derivatif