Bolehkah Bersedekah Menggunakan Hasil Daripada Trading Forex Online?

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya hukum jika saya berniat untuk bersedekah menggunakan sumber daripada Trading Forex Online. Sebagaimana kita maklum, hukum Trading Forex adalah haram dan saya telah meninggalkan kerja ini sekian lama setelah hukumnya telah diwartakan di Malaysia.

Namun, saya berfikiran bahawa adalah suatu kerugian jika kebolehan saya untuk memperoleh sumber kewangan daripada Forex Trading yang agak banyak tidak dimanfaatkan kepada fakir miskin di sekitar kawasan kediaman dan negeri saya. Jadi terlebih dahulu saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak Tuan berkenaan hukum untuk niat saya ini.

Berdasarkan kepada IRSYAD FATWA SIRI KE-675: HUKUM TRADING FOREX UNTUK TUJUAN BERSEDEKAH yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

Ringkasan Jawapan

Hukum menjalankan trading forex untuk tujuan bersedekah adalah haram. Hal ini kerana kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memang betul-betul mendesak sehingga tiada cara melainkan perlu melakukan perkara yang haram. 

Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat. Dalam masa yang sama masih ada wasilah halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), dan lain-lain.

Huraian Jawapan

Pertamanya, Perdagangan Matawang (FOREX) mempunyai pelbagai gambaran dan bentuk. Tulisan ini memfokuskan pada bentuk Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platfom elektronik yang sudah difatwakan haram dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98.

Kenyataanya seperti berikut:

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara”.[1]

Seterusnya, bagi mencapai suatu tujuan yang baik hendaklah diperoleh melalui jalan yang dibenarkan Syarak semampu yang mungkin. Slogan “Niat menghalalkan cara” tidak boleh difahami secara mutlak untuk setiap keadaan. Sebaliknya slogan tersebut hanya terpakai jika memenuhi dua syarat utama:

Pertama: Hendaklah niat atau objektif yang ingin dicapai diiktiraf oleh Syarak. Contohnya,  niat menyelamatkan diri daripada kebinasaan dan kematian.[2]

Kedua: Sekiranya bagi mencapai objektif yang diiktiraf Syarak tersebut mengkehendaki seseorang perlu menempuhi wasilah yang haram, hendaklah dia memastikan bahawa mudarat wasilah haram tersebut lebih rendah kesannya berbanding objektif yang ingin dicapaibukanlah setara apatah lagi lebih teruk. Contohnya, seseorang makan khinzir di saat dirinya hampir mati sedangkan makanan halal lain masih ada.[3]

(Rujuk: Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, m/s 195)

Sehubungan dengan itu, sekiranya dua syarat di atas tidak dipenuhi seperti kesan mudarat wasilah haram lebih besar berbanding objektif yang ingin dicapai, maka wasilah tersebut haram digunakan bersandarkan kepada kaedah Fiqh menyebut:

الضرر لا يزال بمثله أو بأعظم منه

Maksudnya“Suatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan mudarat lain yang sama tahap atau lebih teruk daripadanya”.

Tambahan pula, agama mengajarkan suatu kaedah yang penting apabila berhadapan dengan situasi yang mempunyai elemen manfaat dan mudarat. Kaedah tersebut:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: “Menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan”.

Oleh itu, sekiranya bertembung di antara memperoleh manfaat atau menghindarkan mudarat dan kerosakan, maka yang lebih utama adalah menghindarkan diri daripada segala jenis kemudaratan termasuklah maksiat dan dosa apatah lagi sekiranya manfaat yang ingin diperolehi tersebut tidak mencapai tahap penting dan darurat.

(Rujuk: al-Asybah wa al-Nazhair, m/s 78)

Banyak sekali nas yang menegaskan tentang tuntutan meninggalkan segala yang dilarang oleh syarak, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عن شيءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وإذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya“Apabila aku melarangmu membuat sesuatu perkara maka jauhilah (kesemuanya). Apabila aku memerintahmu lakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah semampu yang kalian boleh buat”.

Riwayat al-Bukhari (2788)

Bertitik tolak daripada kaedah ini, tujuan bersedekah merupakan suatu tindakan yang baik dan sangat mulia. Namun, sekiranya sumber kewangan sedekah tersebut diperoleh daripada cara yang haram seperti FOREX, maka dalam hal ini Syarak melarangnya.

Alasan larangan ini juga berpandukan hujah bahawa kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memaksa dan mendesak sehingga tiada cara atau wasilah melainkan melakukan perkara yang haram.  Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat dan dalam masa yang sama masih ada cara halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), wakaf, membuka tabung sedekah dan lain-lain.

Akhir kata, semoga kita semua diberikan taufik dan petunjuk oleh Allah SWT agar segala cita-cita murni yang ingin dicapai melalui jalan yang diredai-Nya. Wallahu a’lam.

[1] Rujuk Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik

[2] Rujuk Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-26: Kaedah Dalam Mencapai Sesuatu Matlamat

Baca juga Ada Duit Atau Harta Daripada Sumber Yang Haram? Ini Dia Cara Pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah

Previous ArticleNext Article

Persatuan Emas Malaysia Tubuh Lembaga Penasihat Syariah


KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) — Persatuan Emas Malaysia (MGA) baru-baru ini melantik Lembaga Penasihat Syariah (LPS) pertamanya.

Pelantikan LPS merupakan satu langkah penting dan ke hadapan dalam menyediakan tadbir urus syariah, menegakkan piawaian etika selain memupuk keyakinan yang lebih tinggi dalam industri emas Malaysia.

Lembaga yang baru dilantik ini akan berfungsi sebagai badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar yang memberikan kepimpinan syariah kepada MGA, ahlinya serta keseluruhan industri emas dalam hal-hal berkaitan tadbir urus syariah bagi industri secara keseluruhan.

“Inisiatif ini menyerlahkan komitmen MGA untuk mewujudkan garis panduan yang jelas bagi perdagangan dan pelaburan emas serta logam berharga lain yang mematuhi syariah,” kata MGA dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presidennya Datuk Louis Ng berkata penubuhan LPS menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam perdagangan logam berharga yang mematuhi syariah.

“Sebagai satu inisiatif strategik, ia memperkukuh peranan negara sebagai hab utama bagi kewangan Islam dan perdagangan emas patuh syariah.

“Selain itu, dengan memperkenalkan pemantauan syariah secara institusi dalam industri ini, MGA menetapkan piawaian baharu untuk pematuhan serta membina keyakinan yang lebih kukuh dalam kalangan pelabur dan pengguna, khususnya dalam komuniti Islam global,” katanya.

Antara ahli pengasas LPS MGA ialah Datuk Prof Dr Mohamad Akram Laldin sebagai pengerusi lembaga manakala Khairun Najmi Saripudin dan Zikri Shairy merupakan ahli lembaga.

Mohamad Akram kini merupakan seorang profesor di Universiti INCEIF dan seorang tokoh terkemuka dalam bidang syariah untuk kewangan Islam.

Dalam pada itu, Khairun Najmi pula merupakan seorang penasihat berpengalaman dengan kepakaran kukuh dalam pembangunan kawal selia syariah selain kewangan Islam manakala Zikry merupakan seorang pengamal dalam perbankan dan kewangan Islam yang mempunyai pengalaman langsung dalam pengurusan risiko syariah serta nasihat syariah.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi sekretariat MGA di [email protected] atau layari www.mga.my.

— BERNAMA

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee