JLand Buka Lembaran Baharu Dengan Meluaskan Portfolio Hartanah

JOHOR BAHRU, 22 OGOS 2022 – Johor Land Berhad (JLand), cabang pembangunan hartanah dan anak syarikat milik penuh JLand Group (JLG) yang merupakan perniagaan Hartanah dan Infrastruktur Johor Corporation, telah mengumumkan rancangan peluasan fasa seterusnya sempena pelancaran identiti jenamanya yang baharu. Logo dan tawaran jenama baharu, “Enhancing Wellbeing, Enriching Community” (Mempertingkatkan Kesejahteraan, Memperkaya Masyarakat) jelas menandakan langkah seterusnya dalam usaha mencapai pertumbuhan strategik portfolio menerusi pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian untuk menguasai jangkauan pasaran yang lebih luas, dan juga memenuhi permintaan yang dijangkakan bagi hartanah berasaskan ciri-ciri demografi yang dinamik. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru.

YBhg Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi JLand berkata, “Sepanjang lima dekad lepas, JLand merupakan perintis dalam mengubah landskap hartanah Johor. Hari ini, kami memiliki peluang terbaik untuk terus mempertingkatkan tahap dengan membangunkan projek pembinaan yang inovatif dan lestari, menetapkan piawai yang akan memberi manfaat kepada generasi hari ini dan akan datang.”

“Melangkah ke hadapan, kita mesti inovatif; ia bukan satu pilihan. Adalah penting bahawa kita mesti cepat dan bersungguh-sungguh menerima dan menggunakan teknologi hartanah (‘proptech’) dalam operasi kita. Untuk memastikan bukan sahaja kemampanan JLand bagi tahun-tahun akan datang, saya menggesa kalian untuk membayangkan semula Johor Land yang baharu dan kalis masa hadapan. Kita ingin memastikan JCorp melalui Johor Land dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri di samping mengekalkan semangat keusahawanan yang telah memacu kejayaan Johor Land,” beliau menambah.

Encik Mohd Yusof bin Ahmad, Pengarah Eksekutif JLand berkata, “Sambil kami merangka wawasan masa depan, identiti dan tawaran jenama baharu JLand, iaitu “Mempertingkatkan Kesejahteraan, Memperkaya Masyarakat” memperlihatkan komitmen kami untuk mengikuti perkembangan semasa dan mempelopori inovasi yang benar-benar bermakna; di samping meluaskan tawaran, capaian dan impak kami bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan, rakan niaga, masyarakat dan pihak berkepentingan lain.

“Bagi membuka lembaran baharu, kami akan mengguna pakai strategi pembangunan bersasar dalam fasa perkembangan seterusnya untuk melaksanakan projek-projek pembangunan, dan juga mempelbagaikan portfolio aset ke dalam bidang hartanah kediaman, komersial dan perindustrian. Menerusi kerjasama strategik dengan rakan-rakan korporat dan komuniti, JLand diberi kepercayaan untuk menyusun, melaksanakan dan membekalkan penyelesaian inovatif yang bermakna berlandaskan teknologi digital yang terbaik, sambil menyepadukan kelestarian dalam seluruh rantaian nilai. Konsep pembangunan ini bakal menjadi model pertumbuhan lestari pada masa hadapan dalam usaha kami membina ekosistem yang terhubung dan sesuai dihuni bagi masyarakat, penduduk dan perusahaan, sejajar dengan misi teras kami, iaitu Menambah Baik Kehidupan Masyarakat, memanfaatkan Penyelesaian Inovatif, dan memperkasakan Gaya Hidup Lestari,” tambah Encik Mohd Yusof.

Salah satu mercu penting dalam evolusi jenama JLand ialah perkembangannya ke dalam portfolio dan pasaran strategik. Memanfaatkan pertumbuhan sektor hartanah perindustrian, JLand akan menerajui pembangunan Lembah Teknologi Sedenak, terutamanya dengan pelancaran fasa perintis Discovery City seluas 325 ekar pada 2023. Lembah Teknologi Sedenak ialah sebuah pembangunan bersepadu seluas 7,290 ekar yang berpacukan teknologi digital dan berpegang kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dalam usaha mewujudkan industri, masyarakat dan ekosistem yang serba maju.

JLand juga melancarkan rancangan strategik bagi beberapa projek pembangunan utama di negeri ini. Bandar Tiram bakal menempatkan pembangunan Tebing@Bandar Tiram seluas 28 ekar menjelang awal 2023, dengan matlamat mencontohi kejayaan dan unsur berinspirasi alam, mesra perusahaan dan bertumpukan masyarakat Bandar Dato’ Onn yang terdahulu.

Tambahan lagi, Bandar Dato’ Onn juga bakal melaksanakan perancangan semula pelan induk untuk menyokong kedudukannya sebagai destinasi kesejahteraan bagi semua gaya dan kitaran hidup, dengan pembangunan baharu bagi Green Landed Residences pada 2024. JLand juga akan melaksanakan inisiatif untuk meniup nafas baharu bagi Arena Larkin, sebuah hab perbandaran generasi akan datang seluas 235 ekar di daerah Larkin. Salah satu pembangunannya ialah fasa perintis Central Park, yang merupakan hab komersial dan runcit di Arena Larkin menjelang 2024.

Previous ArticleNext Article

Prestasi REIT Patuh Syariah di Bursa Malaysia pada Tahun 2025

REIT atau Real Estate Investment Trust ialah cara mudah untuk melabur dalam hartanah tanpa perlu membeli bangunan sebenar.

Di Bursa Malaysia hanya beberapa REIT yang disahkan patuh syariah dan fokus artikel ini ialah meninjau prestasi mereka sepanjang tahun 2025, termasuk latar belakang asas, pergerakan harga serta aspek dividen.

REIT Patuh Syariah?

Sehingga artikel ini ditulis, 5 REIT yang disenaraikan di Bursa Malaysia ini berstatus patuh syariah :

  1. AXREIT (Axis REIT)
  2. ALAQAR (Al-’Aqar Healthcare REIT)
  3. KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT)
  4. ALSREIT (Al-Salam REIT)
  5. AMEREIT (AME REIT)

Sejarah ringkas:

  • Axis REIT ialah REIT pertama di Malaysia yang mempunyai portfolio hartanah yang terdiri terutamanya daripada pejabat dan industri (industrial/logistik), disenarai pada 3 Ogos 2005.
  • Al-’Aqar ialah REIT penjagaan kesihatan Islamik pertama di Asia seperti Hospital KPJ, disenarai pada 10 Ogos 2006.
  • KLCC REIT tertumpu pada hartanah komersial premium seperti Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas dan Menara ExxonMobil, disenarai di pasaran Bursa Malaysia pada 9 Mei 2013.
  • Al-Salam REIT banyak aset runcit dan F&B, contohnya restoran dan premis perniagaan yang mula disenarai di Bursa Malaysia pada 29 September 2015.
  • AME REIT pula memberi fokus kepada industri dan logistik, seperti kilang dan gudang.

Beberapa shopping mall popular di Malaysia berada di bawah REIT berbeza:

  • Mid Valley Megamall & The Gardens Mall → IGB REIT
  • Pavilion Kuala Lumpur → Pavilion REIT
  • Sunway Pyramid → Sunway REIT

Dari segi volum dan nilai dagangan: 2025 menunjukkan peningkatan yang baik. Sebagai contoh, bulan Jun 2025: nilai dagangan adalah sebanyak RM 1.317 billion manakala bukan Julai 2025 sebanyak RM 1.178 billion.

REITHarga terkiniAnggaran perubahan
AXREIT~ RM2.14 (Okt 2025)+24%
ALAQAR~ RM1.28 (Okt 2025)–5.8%
KLCC REIT~ RM8.70 (Okt 2025)+7.6%
ALSREIT~ RM0.46 (Okt 2025)+24%
AME REIT~ RM1.60 (Okt 2025)+13%

Kenaikan harga bukanlah pengukur utama bagi REIT kerana majoriti pelabur melabur dalam REIT kerana ingin mendapatkan dividen. Setiap REIT di atas juga semuanya mengagihkan dividen kepada para pelabur. 

Dividen bagi tahun kewangan 2025 sehingga artikel ini ditulis:

  • AXREIT = 2.50 + 2.65 + 2.65 = 7.80 sen.
  • KLCC REIT = 7.38 + 7.24 = 14.62 sen.
  • AME REIT = 1.96 + 2.16 = 4.12 sen.
  • ALSREIT = 0.51 + 0.47 = 0.98 sen. (setakat ini)
  • ALAQAR = 1.74 + 1.73 = 3.47 sen. (setakat ini)

Kiraan Jika Melabur RM10,000 Dalam AXREIT

Jumlah unit dibeli:

RM10,000 ÷ RM2.14 = ≈ 4,673 unit

Jumlah dividen diterima:

4,673 unit × RM0.078 = ≈ RM364.50

Ringkasnya:

  • Pelaburan RM10,000 dalam AXIS REIT bagi tahun 2025 dijangka beri pulangan tunai sekitar RM360–RM370 setakat ini.
  • Jika AXIS REIT tambah satu lagi agihan pada hujung tahun (contohnya total dividen naik ke 10 sen), jumlah dividen boleh meningkat ke sekitar RM467.

Cara Melabur Dalam REIT di Bursa Malaysia

1️⃣ Buka Akaun CDS & Trading

  • Sama seperti beli saham biasa.
  • Boleh guna platform seperti M+ Online, CGS iTrade, Maybank Trade, RHB Invest, Kenanga One Trade dan lain-lain.

2️⃣ Pilih REIT Yang Sesuai

Fokus pada:

  • Jenis aset – komersial, industri, kesihatan, runcit
  • Sejarah dividen
  • Occupancy rate

3️⃣ Beli Di Bursa Malaysia

  • Minimum pelaburan adalah 1 lot = 100 unit.
  • Kalau harga AXREIT RM2.14, 1 lot ≈ RM214 sahaja.
  • Jadi REIT sangat mampu milik berbanding jika beli rumah sebenar.

Risiko Utama

  • Jika kadar faedah (OPR) naik, harga REIT boleh jatuh. REIT biasanya pinjam duit bank untuk beli atau naik taraf bangunan. Bila kadar pinjaman naik, kos kewangan (interest expense) meningkat. Contoh: Axis REIT ada pinjaman RM1 bilion. Kalau kadar faedah naik 0.5%, kos tambahan dalam RM5 juta setahun. Keuntungan bersih REIT akan berkurang → dividen juga boleh menurun.
  • Nilai hartanah dan kadar sewa boleh terjejas jika ekonomi perlahan.
  • Tak semua REIT sama kukuh, pelabur perlu semak laporan tahunan.

Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.