Peralihan Kepada Tenaga Boleh Baharu Mampu Kurangkan Beban Industri Perhotelan

MELAKA, 30 Jan (Bernama) — Isu kenaikan tarif elektrik yang membebankan pemain industri perhotelan mampu ditangani dengan beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) atau penggunaan tenaga solar.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd Datuk Dr Ir Muhammad Guntor Mansor Tobeng berkata peralihan itu penting memandangkan 388 hotel bertaraf lima dan empat bintang di seluruh negara terkesan dengan kenaikan kos yang tinggi daripada surcaj 20 sen/kwj atau 40 peratus kenaikan akibat pelarasan tarif elektrik.

“Kita menerima maklum balas daripada persatuan dan pengusaha hotel yang mereka berdepan kenaikan kos operasi terutama selepas tarif elektrik diselaraskan baru-baru ini, terutama hotel lima dan empat bintang yang menggunakan kira-kira 1 juta kilowat jam sebulan berbanding hotel bajet dan bertaraf tiga bintang ke bawah.

“Justeru alternatif terbaik buat pengendali industri perhotelan adalah beralih menggunakan tenaga boleh baharu atau memasang panel solar di bumbung hotel,” katanya yang merupakan salah seorang pengendali ladang solar terbesar di Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Hotel Industry Meetup (HIM) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama pengusaha hotel dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di sini hari ini. 

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia Shaharuddin M Saaid dan wakil Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) Rohizam Md Yusoff.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak industri perhotelan turut perlu dibantu dengan penyaluran Geran Audit Tenaga Bersyarat (EACG) melalui Suruhanjaya Tenaga.

Katanya, ini dapat membantu pihak hotel melakukan audit bagi mencari kaedah menguruskan tenaga dengan lebih cekap, yang sekali gus dapat membantu mereka daripada terus menanggung kerugian. 

“Untuk itu saya merayu geran EACG ini disediakan kerajaan untuk digunakan bukan sahaja pengusaha hotel bertaraf lima dan empat bintang tetapi semua hotel secara keseluruhannya termasuk hotel bajet,” katanya.

— BERNAMA

TAG: hotel, industri, tenaga boleh baru, solar, elektrik, EACG, Muhammad Guntor Mansor Tobeng

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.