
Kuala Lumpur, 21 Julai 2022 – Principal Asset Management Berhad (“Principal”) baru-baru ini telah melancarkan Principal Islamic Global Technology Fund (“Dana”) kepada pelabur yang ingin merebut peluang pelaburan patuh syariah dalam sektor teknologi global. Dana ini bertujuan untuk meraih pulangan modal menerusi satu skim pelaburan kolektif Islamik yang melabur terutamanya dalam portfolio yang terpelbagai syarikat berkaitan teknologi.
Menurut Munirah Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif, dan Country Head, Principal Malaysia, “Kebergantungan terhadap teknologi kini berapa pada tahap paling tinggi dan agenda transformasi digital masih diteruskan walaupun tekanan pandemik semakin berkurangan. Transformasi digital ini juga diramalkan akan melangkaui jumlah USD 10 trillion dalam tempoh 5 tahun. Sektor teknologi terus membuktikan daya tarikannya melalui saham pertumbuhan dan berkualiti.”
“Bidang-bidang seperti kecerdasan buatan (AI), data raya dan kesalinghubungan turut menyaksikan kemajuan yang amat pesat sejak beberapa tahun ini. Firma teknologi juga semakin menjadi tulang belakang ekonomi dunia dan sebagai salah satu pengurus aset syariah terbesar di dunia dan peneraju dalam pasaran, kami terus berusaha untuk memberi nilai tambah kepada pelabur dan membawa agenda keterangkuman kami untuk memberi akses pelaburan kepada semua,” tambahnya lagi.
Sebagai Dana patuh syariah, Principal Islamic Global Technology Fund memanfaatkan potensi pertumbuhan yang kukuh dalam bidang kewangan Islam dengan permintaan untuk penyelesaian pelaburan inovatif yang semakin rancak. Dalam memastikan piawaian tertinggi dalam kepatuhan syariah, penapisan menyeluruh dan perlaksanaan mekanisme pengecualian strategik disediakan untuk mengurangkan risiko portfolio secara keseluruhan dan mengoptimumkan pulangan. Pelabur yang inginkan peningkatan modal jangka masa sederhana hingga panjang menerusi pelaburan ekuiti, akan dapat memanfaatkan kemajuan sektor teknologi di seluruh dunia.
Direka sebagai dana pertumbuhan Islamik, Dana ini akan melabur ke dalam Franklin Shariah Technology Fund (“Dana Sasaran”); satu dana yang ditubuhkan pada 24 Februari 2022 di bawah kumpulan Dana Syariah Franklin Templeton. Untuk mencapai objektifnya, Dana ini akan melaburkan sekurang-kurangnya 85% daripada Nilai Aset Bersih (NAB) dalam Dana Sasaran.
Dana ini juga mempunyai struktur kelas-pelbagai dengan tiga kelas saham; Kelas USD, Kelas MYR dan Kelas MYR-Hedged dengan harga tawaran awal USD 1.0000, MYR 1.0000 and MYR 1.0000 seunit.
Untuk informasi lanjut berkenaan Dana Principal Islamic Global Technology, sila layari www.principal.com.my atau hubungi 603-7723 7260.










