Perbandingan Emas Putih, Emas Kuning Dan Rose Gold

Trend hype sekarang, orang suka beli emas. Tapi, emas yang macam mana?

Emas ini ada macam-macam jenis dan bentuk. Kita ada emas jongkong, syiling atau yang popular di kalangan perempuan, emas barang kemas.

Kalau tengok di kedai emas, boleh tengok barang kemas cantik-cantik tak kira emas kuning, emas putih atau rose gold. Pening apabila nak pilih.

Mari kita bandingkan tiga jenis emas yang popular di Malaysia ni. Lepas dah tahu, senang nak decide mahu beli yang mana nanti, betul tak?

Emas Putih

Emas putih ini, kandungan emasnya kurang. Ada yang kandungan emas 75% dan dikenali sebagai emas putih 750. Ada 37.5% emas dan dipanggil emas putih 375 atau nama lainnya suasa. Sebabnya, ada logam lain yang dicampurkan dengan emas ni, maka nilai emas pun turut susut.

Peminat emas putih ramai di kalangan orang muda yang mungkin tidak gemar warna emas keemasan itu jika nak dipakai. Mungkin sebab itu mereka pilih emas putih walaupun mereka tahu almost tidak ada value di pasaran jika nak jual balik.

Tak banyak kedai yang mahu beli emas putih dan jika beli pun harganya jauh lebih murah. Sebab kandungan emas pun tak tinggi mana. Emas putih lebih kepada barang kemas yang ada sentimental value daripada simpanan pelaburan.

Logam yang selalu dicampurkan dengan emas ini ialah nikel, perak atau paladium. Emas putih ni sering digunakan untuk meningkatkan aura berlian dan batu permata lain.

Emas Kuning

Emas kuning paling tinggi karatnya ialah emas 24K atau dipanggil emas 999 atau 99.9. Emas 999 biasanya dalam bentuk gold bar atau syiling. Emas 999 tak sesuai buat barang kemas sebab sifat emas yang sangat lembut.

Emas jenis ini paling mahal dan kalau jual semula, nilai pun lebih tinggi daripada jenis emas lain. Sebab tu pelaburan emas 999 semakin mendapat tempat dalam pasaran. Lebih lebih lagi dah ada serendah 0.1g untuk seseorang memiliki emas. Orang kata affordable price untuk orang baru yang nak mula melabur.

Emas kuning perhiasan yang biasanya kita nampak kat kedai emas tu selalunya emas 916 yang dah dicampur dengan logam lain. Sebab apa dicampur? Supaya perhiasan tahan lama dan lasak.

Sesetengah perempuan memang pakai barang kemas hari-hari. Memang tak tanggal rantai, cincin dan gelang tu. Walau dah pakai lasak sekalipun, nilai jual tetap tinggi berbanding emas putih dan rose gold. Yang penting, nilai kandungan emasnya masih 91.6%.

Rose Gold

Rose gold pula mendapat nama kerana warna kemerah-merahan pada barang kemas. Warna kemerahan tu datang daripada campuran emas dengan logam lain seperti tembaga dan perak.

Peratusan emas dalam rose gold ialah 85.0% dan dikenali sebagai emas 850. Emas jenis ni popular di Kelantan. Warna kemerahan pada emas tu buat barang kemas lebih terang dan tak nampak pucat pada orang yang memakainya.

Rose gold pun ada 835 dan 750. Warna kemerahan barang kemas tu terpulang pada peratusan logam tembaga. Tapi perlu ingat, lagi rendah kandungan emas, harga jual semula akan jauh lebih murah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, anda kena tahu jenis-jenis emas. Lain emas, lain kualitinya, jadi pastinya harga pun berbeza-beza.

Sekarang anda dah tahu logam apa yang dicampurkan dalam jenis-jenis emas ini. Anda dah tahu nilai jual juga bergantung pada peratusan kandungan emas dalam barang kemas.

Boleh juga guna untuk waktu-waktu terdesak atau emergency. Walaupun anda bergaya dengan barang kemas, anda juga secara sedar atau tak, sedang buat pelaburan jangka panjang. Ada duit lebih? Mari beli emas!

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Boleh Cecah RM700 Segram Menjelang Hujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi meningkat kepada RM700 segram menjelang hujung tahun ini didorong ketegangan geopolitik global serta ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Ketika ini, harga komoditi itu diniagakan pada RM582 segram dengan paras tertinggi pernah dicapai ialah sekitar RM675 segram pada awal Januari lalu.

Ahli ekonomi, Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, berkata meskipun terdapat faktor yang boleh menekan harga emas seperti penjualan pegangan oleh sesetengah negara, kesan keseluruhan daripada konflik geopolitik dan kejutan harga minyak dijangka terus menyokong kenaikan logam berharga itu.

“Kalau dilihat kepada keadaan semasa, harga emas memang ada turun naik, tetapi trend jangka panjang masih menaik. Ketegangan geopolitik akan terus menjadi pemacu utama,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog bertajuk ‘Emas dalam persekitaran global yang tidak menentu’ anjuran Habib Jewels Sdn Bhd di sini, hari ini.

Dialog itu dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib.

Mengulas lanjut, Dr Ahamed Kameel yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Penyelidikan) Universiti Sultan Azlan Shah, berkata harga emas sebelum ini hampir mencecah paras RM700 segram pada Januari lalu sebelum susut semula ke sekitar RM600, namun paras itu dijangka diuji sekali lagi dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kenaikan harga emas sejak awal 2000 menunjukkan trajektori yang konsisten, sekali gus menepis kebimbangan berlakunya gelembung harga dalam masa terdekat.

“Sejak 2001, harga emas menunjukkan trend menaik yang berterusan. Jadi walaupun sekarang nampak tinggi, saya masih melihat ruang untuk ia meningkat lagi,” katanya.

Sementara itu, Meer Habib berkata, keyakinan pengguna terhadap pembelian emas dilihat terus kukuh meskipun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk konflik melibatkan Iran, dengan trend pembelian menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh semasa.

Katanya, situasi itu berlaku walaupun harga emas mengalami sedikit penurunan dalam jangka pendek, susulan faktor luaran seperti keperluan negara tertentu menggunakan rizab untuk menampung kos tenaga, khususnya minyak.

“Penurunan harga emas ketika ini tidak menjejaskan sentimen pengguna, malah dilihat sebagai perkembangan positif yang mendorong lebih ramai pelanggan kembali membeli emas.

“Keyakinan pelanggan sebenarnya meningkat. Walaupun harga emas turun sedikit, ia berlaku atas sebab yang baik, antaranya kerana negara menggunakan rizab emas untuk keperluan penting seperti tenaga.

“Ini membuka peluang kepada pengguna yang sebelum ini merasakan mereka terlepas peluang apabila harga terlalu tinggi,” katanya.

Menurut Meer Habib, perkembangan itu menyebabkan peningkatan pembelian emas dalam kalangan pengguna, terutama ketika harga menunjukkan pelarasan sementara.

Dalam masa sama, beliau berkata perubahan tingkah laku pembelian turut ketara apabila semakin ramai lelaki mula membeli emas sebagai instrumen pelaburan, berbanding sebelum ini yang lebih didominasi golongan wanita untuk tujuan perhiasan.

“Jika dahulu pembelian jongkong emas hanya sekitar lima hingga 10 peratus, kini ia meningkat sehingga kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan jualan,” katanya.

Beliau berkata, trend itu mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap emas sebagai aset pelaburan jangka panjang, selain faktor ketidaktentuan ekonomi global yang terus menyokong permintaan terhadap aset selamat .

Pada masa sama, katanya pembelian barang kemas juga kekal kukuh kerana pengguna melihatnya sebagai gabungan nilai estetika dan pelaburan.

“Emas memberi dua manfaat, iaitu sebagai perhiasan dan juga pelaburan. Sebab itu permintaan terhadap barang kemas masih meningkat walaupun harga tinggi,” katanya.

— Berita Harian