SC Keluarkan Garis Panduan Untuk Mengukuhkan Pengurusan  Risiko Teknologi Entiti Pasaran Modal 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan  Risiko Teknologi, yang bertujuan untuk menggalakkan amalan pengurusan risiko  teknologi yang mantap dan kukuh dalam kalangan entiti pasaran modal. 

Garis Panduan ini juga menetapkan jangkaan SC ke atas entiti pasaran modal dalam menguruskan risiko teknologi mereka. 

Dalam menyediakan Garis Panduan tersebut, SC telah mengambil kira maklum balas  yang diterima daripada Kertas Perundingan Awam mengenai Rangka Kerja  Pengawalseliaan Cadangan Pengurusan Risiko Teknologi, yang diterbitkan tahun  lepas. 

Antara keperluan yang ditetapkan dalam Garis Panduan termasuk penubuhan dan  pelaksanaan rangka kerja risiko teknologi yang berkesan, pengurusan projek  teknologi, pengurusan penyedia perkhidmatan teknologi dan pengurusan keselamatan  siber oleh entiti pasaran modal. 

Garis Panduan ini akan digunapakai untuk semua entiti pasaran modal yang  dilesenkan, didaftarkan, diluluskan, diiktiraf atau dibenarkan oleh SC. 

Bagi memberi masa yang mencukupi untuk entiti pasaran modal menyesuaikan diri  dan memenuhi keperluan Garis Panduan ini, ia dijangka berkuat kuasa pada suku  ketiga tahun 2024. 

SC akan mengadakan penglibatan dengan entiti pasaran modal yang berkaitan untuk memberi bimbingan, jika perlu, mengenai keperluan Garis Panduan. Sebarang  pertanyaan mengenai Garis Panduan baharu ini boleh dikemukakan kepada  [email protected]

Garis Panduan Pengurusan Risiko Teknologi kini boleh didapati di laman web SC di  https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/cyber-risk-and-technology-risk.  

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA 

Previous ArticleNext Article

UOB Malaysia perkenal nama baharu stesen LRT Bandaraya – UOB

Kuala Lumpur, Malaysia, 3 Oktober 2025 – UOB Malaysia hari ini mengumumkan penjenamaan semula Stesen LRT Bandaraya kepada Stesen LRT Bandaraya – UOB, sekali gus mengukuhkan komitmen Bank untuk membangunkan Kuala Lumpur menjadi lebih hijau dan terhubung. Inisiatif penjenamaan stesen ini menunjukkan wawasan UOB yang progresif dalam menggabungkan  kemampanan dengan mobiliti bandar, sambil meningkatkan keterhubungan harian untuk penduduk bandar yang semakin meningkat.

Dengan lebih satu juta penumpang melalui Stesen LRT Bandaraya – UOB setiap minggu, stesen ini merupakan hab pertukaran penting yang menyediakan akses mudah ke salah satu daerah komersial paling sibuk di Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran bersempena penjenamaan semula stesen telah dirasmikan oleh YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan. Turut hadir di majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UOB; Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia; Encik Amir Hamdan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad; Encik Syed Redza Algadrie, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE); dan Encik Nor Azmi Mohd Yusof, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd.

YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, berkata, “Saya ucapkan tahniah kepada UOB Malaysia atas sokongan mereka terhadap program Hak Penjenamaan Stesen. Penjenamaan semula stesen ini adalah bukti bahawa kerjasama awam-swasta yang erat dapat membuahkan hasil positif bagi rakyat, selain memaksimumkan sumber dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan. Penglibatan Bank secara proaktif juga menunjukkan semangat pemilikan dan komitmen teguh dalam meningkatkan landskap pengangkutan awam Kuala Lumpur.”

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Penjenamaan Stesen LRT Bandaraya – UOB bukan sahaja bersifat simbolik, ia melambangkan akar umbi kami di kawasan ini, di mana Menara UOB Kuala Lumpur telah bertapak sejak 1984. Dengan ibu pejabat baharu kami, UOB Plaza 1 KL, hanya beberapa langkah dari stesen, inisiatif ini membolehkan kami memperdalam keterlibatan masyarakat, menyumbang kepada pengalaman bandar raya, selain membantu memajukan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan bandar serta menggalakkan kemampanan.”

Encik Syed Redza Algadrie, Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE, berkata, “Kami berbesar hati dengan penyertaan UOB Malaysia sebagai rakan kongsi dalam inisiatif Hak Penjenamaan Stesen kami. Melangkaui inisiatif penamaan, penjenamaan stesen adalah pemangkin untuk pewujudan tempat dan juga menjadi kebanggaan masyarakat, di mana hab transit diubah menjadi mercu tanda yang menyerlahkan identiti bandar. Dengan kehadiran UOB Malaysia di Stesen LRT Bandaraya – UOB, kami dapat meningkatkan pengalaman komuter, membuka kunci nilai aset transit kami, dan juga membantu menjadikan Kuala Lumpur lebih bertenaga dan terhubung.”

Stesen LRT Bandaraya – UOB yang dinamakan semula ini menghubungkan kedua-dua Laluan LRT Ampang (Ampang – Sentul Timur) dan Sri Petaling (Sri Petaling – Sentul Timur) dan berintegrasi dengan Laluan LRT Kelana Jaya melalui stesen Masjid Jamek. Ia juga berkhidmat sebagai stesen pertukaran ke Stesen Komuter KTM Bank Negara, menghubungkan penumpang harian ke kedua-dua Laluan KTM Rawang – Seremban dan Sentul – Pelabuhan Klang. Stesen ini juga berdekatan dengan beberapa mercu tanda Kuala Lumpur termasuk Bank Negara Malaysia, Bangunan KWSP, Kompleks Pertama, Menara DBKL, Menara MARA, dan SOGO KL.