SC Keluarkan Senarai Semak AGM CG untuk Tingkat Aktivisme Pemegang Saham

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Senarai Semak Tadbir Urus Korporat Mesyuarat Agung Tahunan untuk Pemegang Saham (Annual General Meeting Corporate Governance List for Shareholders atau Senarai Semak AGM CG) untuk menggalakkan perbincangan yang bermakna antara para pemegang saham dan lembaga pengarah ketika mesyuarat agung tahunan (AGM). Senarai Semak AGM CG dibangunkan dengan kerjasama Majlis Pelabur Institusi Malaysia dan Badan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti.

Mesyuarat agung merupakan platform penting bagi pengarah dan pengurusan kanan untuk mengadakan pembabitan bersama para pemegang saham dalam memudahcarakan pemahaman terhadap perniagaan, tadbir urus dan prestasi syarikat. Oleh itu, Hasil yang Diinginkan daripada Amalan 12 Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia adalah bahawa para pemegang saham berupaya mengambil bahagian, mengadakan pembabitan bersama lembaga dan pengurusan kanan dengan berkesan dan membuat keputusan mengundi yang bermaklumat ketika menghadiri Mesyuarat Agung.

“Pemegang saham memainkan peranan penting dalam memacu tingkah laku korporat yang bertanggungjawab dan AGM merupakan salah satu platform di mana mereka boleh membangkitkan isu-isu penting untuk perbincangan atau mencari penjelasan daripada lembaga dan pengurusan. Senarai Semak AGM CG bertujuan membimbing pemegang saham mengenai isu-isu penting yang perlu mereka pertimbangkan atau utarakan ketika AGM sebelum mereka menjalankan hak mengundi mereka,” menurut Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Ini terutamanya berkaitan dengan resolusi yang biasanya dibentangkan di AGM seperti pelantikan para pengarah, kelulusan yuran pengarah dan pelantikan juruaudit. Ia juga mengingatkan para pemegang saham untuk membincangkan bersama lembaga pengarah dalam isu kritikal lain termasuk langkah-langkah kelestarian dan pencegahan rasuah.

Walaupun Senarai Semak AGM CG dibangunkan untuk para pemegang saham, pihak berkepentingan lain seperti pengguna dan bakal pelabur adalah digalakkan untuk menggunakan senarai semak untuk memahami dan menilai prestasi, dasar dan amalan syarikat.

Penerbitan senarai semak AGM CG merupakan salah satu penyampaian di bawah Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC (2017-2020) SC. Ia boleh dimuat turun di laman sesawang SC di sini.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Umum Pengarah Baharu Pasaran Modal Islam

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini mengumumkan pelantikan Azizan Abdul Aziz (“Azizan”) sebagai Pengarah Pasaran Modal Islam (ICM), berkuat kuasa 1 Mei 2026.

Azizan akan memegang peranan baharu ini selain jawatan semasanya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bursa Malaysia. Pelantikan ini mencerminkan fokus berterusan Bursa Malaysia dalam memperkukuh penawaran pasaran modal Islamnya seiring dengan keutamaan strategik yang lebih luas.

Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, berkata, “Pelantikan Azizan memperkukuh fokus kepimpinan Bursa Malaysia terhadap Pasaran Modal Islam pada waktu pertumbuhan pasaran yang berterusan dan penyertaan antarabangsa yang semakin berkembang. Pengalaman, kepakaran kewangan dan pemahaman institusi beliau meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memberikan hala tuju strategik bagi keutamaan pasaran Islam kami, di samping terus memastikan pengurusan kewangan yang kukuh sebagai CFO.”

Pasaran modal Islam Malaysia kekal sebagai tonggak utama pasaran modal domestik, berkembang daripada RM2.2 trilion pada 2020 kepada RM2.7 trilion menjelang akhir 2025, dengan ekuiti patuh Syariah dan sukuk masing-masing menyumbang RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion. Mencerminkan kedalaman pelaburan Syariah di peringkat tempatan, syarikat patuh Syariah merangkumi lebih daripada 80% syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia.

Dalam kapasiti beliau sebagai Pengarah ICM, Azizan akan menyediakan pengawasan dan hala tuju strategik bagi keutamaan berkaitan pasaran modal Islam Bursa Malaysia, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkepentingan dalaman dan peserta pasaran untuk menyokong pembangunan berterusan ekosistem ICM. Sebagai CFO, beliau akan terus menyelia fungsi kewangan keseluruhan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat serta penganggaran bajet.

Azizan membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, perakaunan, kewangan korporat dan nasihat. Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan berkhidmat sebagai CFO Kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Berhad. Beliau juga merupakan Rakan Kongsi Penggabungan dan Pengambilalihan di Deloitte Southeast Asia Ltd., serta pernah memegang jawatan kanan di KPMG Financial Services Advisory di United Kingdom dan Malaysia, antara lain. Beliau memiliki ijazah dalam Perakaunan & Kewangan dari University of Plymouth, UK, dan merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) serta felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).