B20, M50 dan T30: Klasifikasi Baru Pendapatan Rakyat Malaysia

Tahukah anda, sekiranya pendapatan isi rumah anda melebihi RM15,000, anda secara rasminya tergolong dalam kelompok T30?

Satu kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati, klasifikasi pendapatan di Malaysia perlu diperhalusi dan diubah supaya subsidi dan bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasaran sebenar.

Baca : Mereka Berpendapatan Bawah RM2,000 Hanya Ada Balance RM76 Setiap Bulan?

Data yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2016 menunjukkan pendapatan isi rumah golongan B40 adalah RM3,000, M40 adalah RM6,275 dan akhir sekali golongan T20 adalah RM13,148.

B40 mewakili 16.4% daripada pegangan pendapatan dan M40 adalah 37.4% dan T20 adalah 46.2%.

Baca : 10 Idea Menyeronokkan Untuk Menjana Pendapatan Mengikut Personaliti

3 Sebab Kenapa Perlu Klarifikasi Baru Pendapatan Isi Rumah

1. Definisi Tidak Tetap

Pendapatan isi rumah setiap negeri di Malaysia adalah berbeza di antara satu sama lain dan tidak tetap mengikut geografi dan lokasi.

Realitinya, pendapatan isi rumah di negeri tumpuan seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang adalah lebih tinggi kerana wujud aktiviti ekonomi yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, pengkelasan golongan B40 di negeri-negeri ini sewajarnya lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

2. KDNK

Kadar peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi setiap negeri adalah berbeza sungguhpun berada dalam golongan pendapatan isi rumah yang sama.

Sebagai contoh, ambang pendapatan isi rumah di Putrajaya bagi B40 adalah RM6,447 dan terendah di Kelantan adalah RM2,348.

Perbezaan jurang ini adalah 63.6% atau RM4,099!

3. Sasaran Kurang Tepat

Pengedaran subsidi dan bantuan kerajaan berlaku dalam situasi yang songsang kerana golongan yang sepatutnya menerima bantuan tidak mendapat bantuan yang sepatutnya.

Garis panduan pengkelasan pendapatan isi rumah yang baru harus melibatkan golongan yang benar – benar tidak berkemampuan dan layak menerima bantuan dan subsidi kerajaan.

Pengkelasan Baru Pendapatan Isi Rumah Di Malaysia

Khazanah Research Institute (KRI) mencadangkan supaya pengkelasan lama yakni B40, M40 dan T20 digantikan dengan B20, M50 dan T30.

B20

Golongan ini merupakan yang hanya mampu menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal sahaja.

Sebahagian besar golongan ini menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, KTM,   Monorel dan bas henti-henti sebagai pengangkutan utama mereka.

Baca : mySalam, Perlindungan Untuk Golongan B40 Yang Dinanti-nanti

Golongan ini sewajarnya mendapat fokus dan menerima impak dari bantuan dan subsidi kerajaan dalam membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Berdasarkan kajian, golongan B20 membelanjakan pendapatan bulanan mereka untuk makanan, rumah dan pakaian.

Mereka mewakili 20% dari populasi rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah RM1,196 sebulan.

M50

Golongan pertengahan ini merupakan golongan pembayar cukai yang tidak memerlukan sebarang bantuan dan subsidi kerajaan.

Sebaliknya, apa yang mereka perlukan adalah bantuan dalam memperkasa aset dan akses dalam menambah pendapatan mereka.

Baca : Dana RM1 Bilion Untuk Pembeli Rumah Pertama Bermula 1 September

Berdasarkan tinjauan, golongan M40 semasa tidak menunjukkan sebarang ciri-ciri kelas berpendapatan sederhana.

Golongan M50 mewakili 50% daripada populasi rakyat Malaysia dan pendapatan mereka adalah di antara RM1,196 hingga RM3,015 sebulan.

T30

Dengan pendapatan bulanan melebihi RM3,015, golongan T30 mewakili 30% daripada populasi rakyat Malaysia.

Golongan ini dilihat tidak mempunyai kekangan dalam berbelanja ke arah barang aspirasi, hobi dan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Definisi golongan kelas pertengahan sebenar di Malaysia menurut Khazanah Research Institute (KRI) adalah T30.

Baca : 5 Idea Kepada Kerajaan Untuk Tambah ‘Duit Rakyat’

Kajian ini jelas menunjukkan Kerajaan wajar menyemak semula agihan pendapatan isi rumah dengan memperkenalkan kategori yang lebih realistik agar agihan bantuan dan subsidi kerajaan mampu diberikan dengan lebih proaktif.

Buat masa ini, B20 dilihat sebagai golongan yang paling memerlukan bantuan dan subsidi dan M50 memerlukan akses untuk peluang kehidupan yang lebih baik.

Sumber Rujukan:

  1. KRI Institute
  2. The Edge
  3. DOSM

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dapat Hadiah Rumah RM400,000 Sebagai Komisen – Kena Lapor LHDN Ke?

“Kami hadiahkan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada ejen.”

Ayat macam ini memang kedengaran macam hadiah.

Tapi cuba kita ubah sedikit situasinya.

Sebuah syarikat emas menjalankan program insentif. Ejen yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu akan diberikan sebuah banglo bernilai RM400,000.

Contohnya ejen emas, ejen MLM, ejen jualan kereta yang berjaya mencapai sasaran tertentu dan diberikan sebuah banglo sebagai ganjaran.

Persoalannya:

Adakah ini benar-benar hadiah atau sebenarnya komisen/insentif kepada ejen?

Ini penting kerana dari sudut cukai, kita bukan hanya melihat apa nama yang diberikan kepada sesuatu bayaran.

Kalau banglo itu diberikan kerana ejen berjaya menghasilkan jualan, sifat bayaran tersebut perlu dilihat sebagai insentif yang diterima hasil daripada aktiviti ejen.

Dan yang menariknya, CP58 sendiri mengiktiraf bayaran insentif bukan dalam bentuk wang tunai, termasuk rumah.

Komisen tak semestinya dalam bentuk duit

Ramai orang apabila dengar perkataan “komisen”, mereka bayangkan:

Jual RM1 juta → dapat komisen RM50,000.

Tetapi insentif kepada ejen tidak semestinya dibayar dalam bentuk tunai.

Ia boleh diberikan dalam bentuk manfaat atau aset tertentu.

Contohnya:

  • kereta
  • rumah
  • pakej pelancongan
  • perabot
  • komputer
  • atau bentuk insentif bukan tunai yang lain.

Dalam dokumen CP58, HASiL memang menyediakan ruangan khusus untuk “Nilai insentif berbentuk bukan wang tunai”, termasuk kategori “Rumah”.

Jadi, kalau sebuah syarikat memberikan rumah kepada ejen sebagai ganjaran kerana pencapaian jualan, kita tidak boleh sekadar berkata:

“Ini hadiah, bukan pendapatan.”

Kita perlu lihat sebab rumah itu diberikan.

Katakan

Syarikat emas: ABC Gold Sdn Bhd

Ejen: Ali

Syarat program:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta dalam tempoh tertentu akan menerima sebuah banglo bernilai RM400,000.”

Ali berjaya mencapai sasaran tersebut.

Syarikat kemudiannya memberikan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada Ali.

Pada zahirnya, syarikat mungkin menggunakan perkataan:

“Hadiah banglo.”

Tetapi dari perspektif cukai, soalan yang lebih penting ialah:

Mengapa Ali mendapat banglo tersebut?

Kalau jawapannya:

“Sebab Ali berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.”

Maka kita sudah nampak ciri sales incentive yang jauh lebih jelas.

Jadi, bila ejen kena lapor?

Ini juga perkara yang selalu mengelirukan.

Bukan bermaksud ejen hanya perlu fikir tentang cukai apabila dia menjual banglo tersebut.

Persoalan yang perlu dilihat ialah bila ejen memperoleh hak atau manfaat daripada insentif tersebut, berdasarkan terma program dan fakta transaksi.

Contohnya, jika semua syarat telah dipenuhi dan ejen sudah mempunyai hak terhadap banglo tersebut, itulah titik yang perlu dianalisis dari sudut pengiktirafan pendapatan.

Bukan semata-mata tunggu banglo itu dijual.

Dan tarikh S&P, pindah milik atau penyerahan juga perlu dilihat bersama dokumen dan terma sebenar transaksi.

Sebab itu kita tidak boleh menetapkan secara automatik:

“Tarikh S&P = tarikh cukai.”

atau

“Tarikh geran keluar = tarikh cukai.”

Bagaimana pula dengan syarikat?

Kalau syarikat membayar insentif kepada ejen, pengedar atau pengagih, terdapat tanggungjawab di bawah Seksyen 83A ACP 1967 untuk menyediakan penyata bayaran insentif melalui Borang CP58.

HASiL menyatakan bahawa CP58 merangkumi bayaran insentif berbentuk wang tunai dan bukan wang tunai kepada ejen, pengedar atau pengagih. Salinan CP58 perlu diberikan kepada penerima sebelum atau pada 31 Mac tahun berikutnya.

Dan tengok apa yang terdapat dalam CP58.

Di bahagian insentif bukan tunai, terdapat:

(a) Kenderaan
(b) Rumah
(c) Pakej pelancongan/perjalanan
(d) Lain-lain

Maksudnya, kalau kita bercakap tentang banglo yang diberikan kepada ejen sebagai insentif, memang terdapat ruang dalam CP58 untuk melaporkan rumah sebagai insentif bukan tunai.

Bagaimana pula dengan Withholding Tax 2%?

Ini satu lagi perkara yang perlu dibezakan.

Di bawah Seksyen 107D, terdapat potongan cukai 2% bagi bayaran tertentu kepada ejen, pengedar atau pengagih.

Tapi untuk banglo RM400,000 yang diberikan sebagai insentif bukan tunai, 2% tidak dikenakan atas nilai banglo tersebut.

Ejen pula kena buat apa?

Ejen jangan anggap “Syarikat dah bagi CP58, jadi selesai.”

Tidak.

CP58 ialah penyata yang membantu menunjukkan berapa banyak insentif yang telah diterima.

Ejen, pengedar atau pengagih perlu melaporkan bayaran insentif yang diterima dalam e-filing masing-masing.

Untuk banglo, bila ejen sudah memperoleh hak ke atas rumah tersebut, contohnya selepas S&P ditandatangani dan hak menerima banglo itu sudah tidak lagi bersyarat maka nilai insentif tersebut perlu diambil kira dalam tahun taksiran yang berkaitan.

Bagaimana kalau syarikat panggil ia “hadiah”?

Ini bahagian yang paling menarik.

Dalam percukaian, nama yang diberikan kepada transaksi tidak semestinya menentukan sifat sebenar transaksi.

Kalau syarikat kata:

“Kami hadiahkan banglo kepada ejen.”

tetapi dokumen program menyatakan:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta akan mendapat sebuah banglo bernilai RM400,000.”

maka terdapat hubungan yang jelas antara:

prestasi jualan → kelayakan → insentif → banglo.

Ini jauh berbeza daripada seseorang yang membeli emas seperti biasa, menyertai cabutan bertuah dan kebetulan memenangi sebuah banglo.

Dalam kes kedua, kita tidak boleh terus melabelkan banglo tersebut sebagai komisen.

Sifat transaksi bergantung kepada fakta.

Jadi, jangan tengok “hadiah” sahaja

Bayangkan dua situasi.

Situasi 1 – Ejen capai target

“Jualan RM5 juta → dapat banglo RM400,000.”

Ini mempunyai ciri sales incentive/commission.

Situasi 2 – Menang peraduan

“Beli produk, masuk peraduan → terpilih sebagai pemenang → dapat banglo RM400,000.”

Ini adalah situasi yang berbeza dan perlu dianalisis berdasarkan struktur peraduan dan sifat bayaran tersebut.

Bagaimana pula kalau ejen tidak menjual banglo itu?

Tidak penting sama ada ejen:

  • duduk dalam banglo itu,
  • sewakan banglo itu,
  • simpan banglo itu,
  • atau jual banglo itu kemudian.

Isu awalnya ialah apa yang ejen terima sebagai balasan kepada aktiviti yang menghasilkan pendapatan.

Kalau banglo tersebut merupakan incentive kerana prestasi jualan, hakikat bahawa ia berbentuk rumah tidak semestinya mengubah sifat asas bayaran tersebut.

RM400,000 bukan angka kecil

Sebab itu kes seperti ini menarik dari sudut pematuhan.

Katakan syarikat memberikan:

1 banglo = RM400,000

Kalau ia merupakan insentif kepada ejen, kita bukan lagi bercakap tentang:

“Dapat hadiah kecil.”

Kita bercakap tentang manfaat bernilai RM400,000.

Dan nilai tersebut perlu dilihat dalam pengiraan cukai penerima berdasarkan fakta sebenar.

Jangan terus ambil RM400,000 dan darab satu kadar cukai untuk menentukan cukai sebenar, kerana cukai individu bergantung kepada keseluruhan pendapatan, status pemastautin, perbelanjaan/potongan yang dibenarkan dan keadaan pembayar cukai.

Kesimpulannya

Kalau syarikat emas berkata:

“Kami hadiahkan sebuah banglo RM400,000 kepada ejen.”

Jangan berhenti pada perkataan “hadiah”.

Tanya:

Kenapa ejen dapat banglo itu?

Kalau jawapannya:

“Sebab dia berjaya mencapai sasaran jualan.”

maka kita perlu melihatnya sebagai insentif/komisen bukan tunai, bukan semata-mata hadiah biasa.

Dan yang lebih menarik:

CP58 sendiri mempunyai ruangan khusus untuk melaporkan insentif bukan tunai dalam bentuk “Rumah”.

Syarikat perlu menyediakan CP58 kepada ejen mengikut tempoh yang ditetapkan, manakala ejen pula perlu mengambil kira bayaran insentif tersebut dalam e-filingnya.

Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, bukan nasihat cukai atau nasihat profesional. Layanan cukai sebenar bergantung kepada fakta, struktur transaksi dan keadaan setiap pembayar cukai. Sila rujuk LHDN atau penasihat cukai berlesen untuk mendapatkan nasihat berkaitan kes khusus.