Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PKNP dan Perak Corp diperintahkan untuk membayar sebanyak RM3.56 juta
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Mahkamah Tinggi hari ini mendapati bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah berjaya membuktikan tuntutan terhadap saman sivil dagangan orang dalam yang difailkan pada 2021 ke atas Dato’ Aminuddin Bin Md Desa, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perak Corporation Bhd (PCB).
Hakim Mahkamah Tinggi Wan Muhammad Amin bin Wan Yahya memerintahkan Dato’ Aminuddin membayar sebanyak RM2.46 juta kepada SC, iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada pelanggaran dagangan orang dalam.
Dato’ Aminuddin juga dikehendaki membayar kepada SC penalti sivil sebanyak RM1 juta dan kos sebanyak RM100,000.
Dato’ Aminuddin melanggar seksyen 188(2)(a) dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dengan memperoleh 1,412,700 saham PCB antara Oktober 2013 dan Januari 2014 semasa dalam pemilikan maklumat dalaman. Maklumat dalaman tersebut adalah mengenai cadangan penswastaan PCB oleh PKNP.
Di samping itu, Mahkamah Tinggi melarang Dato’ Aminuddin daripada dilantik sebagai ketua pengarah eksekutif atau pengarah atau terlibat dalam pengurusan syarikat tersenarai awam (PLC) dan/atau anak syarikat PLC, selama lima tahun bermula dari keputusan mahkamah pada 13 Februari 2024.
Beliau juga dihalang daripada melakukan sebarang aktiviti dagangan dalam mana mana sekuriti di Bursa Malaysia selama lima tahun bermula daripada tarikh penghakiman mahkamah pada 13 Februari 2024.
Dagangan orang dalam adalah salah laku yang serius dalam pasaran modal. Penguatkuasaan berterusan oleh SC menggariskan komitmennya untuk menangani salah laku dalam menyalahgunakan integriti pasaran modal.
PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.
Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama. Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.
Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata, “Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.
Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”
Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.
Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.
The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.
Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.