Tentera Thailand Boikot Lazada

BANGKOK – Tentera Diraja Thailand melarang unitnya memesan produk melalui platform dalam talian Lazada selain turut menyekat penyedia perkhidmatan itu menghantar produk yang dipesan kepada pihak tentera, menurut Agensi Berita Thailand (TNA).

Timbalan jurucakap tentera, Kol Sirichan Ngathong berkata, langkah itu diambil selepas Lazada didakwa mengeluarkan iklan yang menyinggung institusi (diraja) dan turut memberi kesan kepada rakyat Thailand. Beliau berkata, tindakan itu bagi melindungi institusi diraja dan menolak perbuatan tidak wajar yang cuba memecahbelahkan masyarakat Thailand.

“Boikot itu berkuat kuasa serta-merta pada Isnin,” kata Sirichan.

Menurut laporan media, rakyat yang setia kepada raja mengadu tentang video TikTok yang mempromosikan jualan Lazada pada 5 Mei.

Lazada yang berpangkalan di Singapura adalah satu daripada dalam talian terbesar di Asia Tenggara.

– Bernama

Previous ArticleNext Article

Continental Akan Tutup Kilang Tayar Di Alor Setar Menjelang Akhir 2025


KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — Continental akan menutup operasi pembuatan tayarnya di kilang Alor Setar menjelang akhir 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata bahawa keputusan untuk menutup kilang berkenaan dibuat selepas kajian semula perniagaan yang menyeluruh untuk melindungi daya saing dan prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia-Pasifik (APAC).

“Bagi menyesuaikan diri dengan permintaan pelanggan yang berubah-ubah, syarikat menyasarkan untuk mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan jejak pembuatannya,” kata syarikat itu.

Continental berkata walaupun operasi pembuatan tayarnya ditutup, Malaysia akan terus menjadi pasaran utama bagi syarikat itu di rantau APAC.

“Syarikat menegaskan semula komitmennya kepada pelanggan dan rakan kongsi di Malaysia, dengan menekankan bahawa hubungan jangka panjang dan kepercayaan terus menjadi teras perniagaannya di negara ini,” katanya.

Kilangnya Alor Setar memulakan operasi pada 20 Disember, 1979 dan menjadi anak syarikat milik penuh Continental pada Mei 2012. Kemudahan itu kini menggaji 950 pekerja.

Sehubungan itu, pekerja yang terjejas akan menerima sokongan, termasuk kaunseling kerjaya dan bantuan dalam meneroka peluang pekerjaan sama ada di dalam atau di luar Continental, kata syarikat itu.

Langkah menutup kilang tayar itu menyebabkan Continental, yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan untuk penggantian dan peralatan asli, memiliki satu kemudahan pembuatan di Malaysia yang terletak di Petaling Jaya, selain kemudahan-kemudahan lain di China (Hefei), Thailand (Rayong), India (Modipuram) dan Sri Lanka (Kalutara).

–BERNAMA