
Kredit Gambar: CNBC
Bagi mereka yang minat dalam dunia bisnes, pasti pernah dengar tentang siri realiti televisyen Shark Tank ini. Apa yang menariknya dalam rancangan ini, kita dapat lihat bagaimana caranya untuk mendapatkan pelabur untuk melabur ke dalam syarikat kita.
Kita diberi peluang untuk bercerita tentang produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan dan sekiranya berjaya, kita akan dapat pelabur yang akan memberikan kita modal.
Nak tahu 10 pelajaran berguna dalam program Shark Tank ini?
1. Jangan Terburu-buru
Bagi setiap usahawan, mereka pasti mendambakan untuk mengembangkan syarikat mereka ke tahap yang lebih besar. Tetapi jika kita masih baru lagi dalam industri, tidak perlulah terburu-buru.
Kukuhkan dahulu cashflow perniagaan. Ini bagi mengelakkan kita terpaksa berhutang keliling pinggang untuk menanggung kos operasi yang semakin meningkat.
2. Buat Homework

Kita nak minta pelabur untuk mengeluarkan wang mereka bagi membangunkan syarikat kita? Bila bercakap pasal duit, pastilah mereka ingin tahu adakah mereka akan mendapat pulangan yang menguntungkan atau tidak.
Jadi kita perlulah membuat persediaan secukupnya. Jangan bila mereka tanya berapa keuntungan yang kita bakal perolehi dalam tempoh 6 bulan atau setahun akan datang, kita tergagap-gagap pula nanti.
3. Cash is King
Dalam bidang perniagaan, wang tunai adalah segala-galanya. Pelabur tak mahu melabur di dalam syarikat yang dibebani hutang.
Jadi, kita perlulah memastikan aliran tunai berada di dalam keadaan yang baik. Pastikan aliran tunai yang masuk lebih banyak berbanding aliran tunai yang keluar dan cuba kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.
4. Belajar Untuk Berunding

Cuba untuk dapatkan win-win situation bagi kedua-dua pihak. Pelabur mahukan keuntungan, dan kita pula tentu mahukan suara majoriti bagi memudahkan kita untuk membuat keputusan yang berkaitan dengan syarikat.
Sekiranya kita tidak pandai dalam membuat rundingan, kita mungkin akan menyesal di kemudian hari.
5. Percaya Kepada Naluri
Jika kita percaya kepada apa yang sedang anda usahakan, jangan pernah takut untuk mengambil risiko. Mungkin produk yang kita tawarkan itu baru di dalam pasaran.
Tetapi sekiranya kita memang yakin bahawa ia akan menjadi hit di pasaran, jangan ragu-ragu dan buatlah yang terbaik.
6. Tunjukkan Keistimewaan Produk

Para pelabur tentunya mahukan keuntungan yang berlipat kali ganda dalam perniagaan. Jadi kita mesti yakinkan mereka bahawa produk kita mempunyai pasaran yang besar dan menguntungkan.
Apakah perbezaan dan keistimewaan produk kita berbanding produk lain?
7. Jangan Jadi ‘Wantrepreneur’
Sekiranya produk atau perkhidmatan kita adalah satu ‘kemahuan’, tunjukkan kepada mereka bahawa ianya mampu menjadi satu ‘keperluan’.
Kita sendiri tahu, bahawa produk yang bersifat ‘keperluan’ mempunyai pasaran yang lebih besar berbanding produk yang bersifat ‘kemahuan’.
8. Kisah Unik

Kita boleh ceritakan mengenai keunikan bagaimana kita mendapat idea untuk melakukan bisnes tersebut dan bagaimana ia dapat membantu orang lain di luar sana. Tetapi pastikan kisah kita itu mempunyai kaitan dengan produk yang kita ingin jual.
9. Realistik
Walaupun anda sangat yakin dengan produk anda, anda perlulah realistik dan jujur dalam membentangkan idea anda. Jangan kerana terlalu inginkan pelaburan, anda menipu pula dalam meletakkan anggaran keuntungan kepada bakal pelabur.
10. Tunjukkan Semangat Tinggi

Terakhir sekali, apa yang diberikan perhatian oleh bakal pelabur sebelum bersetuju menjadi rakan kongsi adalah keghairahan kita dalam merealisasikan idea perniagaan tersebut.
Dari situ mereka dapat memastikan bahawa kita dapat menjalankan bisnes ini dengan sepenuh hati dan bukan sekadar mengisi masa lapang.
Sumber Rujukan: Business.com