Sub Topik
Pada tahun 2014, Xiaomi telah memintas Samsung sebagai pemegang pasaran telefon pintar terbesar di China. Pada tahun 2018 pula, Xiaomi telah memintas Samsung di India dan kini Xiaomi telah mengalahkan Samsung seterusnya menjadi pengeluar telefon pintar terbesar di Eropah buat pertama kalinya.
Sumber : Counterpoint
Menariknya, Xiaomi mula dilancarkan pada April 2010 dan boleh dikatakan sangat baru dalam industri nak dibandingkan dengan jenama-jenama yang sudah bertapak lebih lama. Jadi, apakah keunikan yang ada pada Xiaomi sehingga boleh kalahkan jenama gergasi ni?
Mari kita rungkaikan.
1. Bermula Dengan Digital
Meskipun Xiaomi bukanlah yang terawal di dalam industri, namun syarikat itu wujud dalam persekitaran di mana internet dan pendigitalan sudah menjadi satu keperluan.
Pemilik bersama Xiaomi, Lei Jun menegaskan bahawa Xiaomi bermula sebagai syarikat e-commerce. Sebab itu beliau kurang gemar jika dibandingkan dengan Apple. Perbandingan yang lebih dekat bagi beliau adalah Amazon.
Hal ini disokong dengan data bahawa laman web Xiaomi merupakan e-commerce business to consumer (B2C) ketiga terbesar di China, selepas Tmall dan JD. Disebabkan memang sudah bermula sebagai e-commerce, Xiaomi juga menggunakan strategi penjualan terhad.
Kebiasaannya Xiaomi menjual perantinya secara besar-besaran dalam masa yang terhad iaitu 50,000 ke 100,000 unit di China dan kuantiti lebih kecil untuk negara lain.
Secara tak langsung, ini menjadi kelebihan yang terbesar dalam memastikan perbelanjaan kos yang efektif seperti tidak memerlukan kedai jualan yang banyak. Selain itu, jika nak dibandingkan jumlah pekerja Xiaomi dengan pekerja Samsung adalah jauh lebih rendah dan sekali lagi kos dapat dijimatkan disini.
Maka, tidak hairanlah Xiaomi mampu keluarkan model yang lebih murah dengan kualiti yang setanding dengan model jenama besar.
2. Sub-Jenama
Meskipun telefon pintar keluaran China kebiasaannya sinonim dengan segmen pasaran yang murah dan sederhana, namun Xiaomi mempunyai strategi yang tersendiri untuk kaut kesemua segmen pasaran.
Hal ini kita boleh lihat jenama yang dikeluarkan oleh Xiaomi iaitu Redmi (segmen rendah), Poco (segmen pertengahan) dan Mi Note (segmen atasan).
Berbeza dengan Samsung, agak sukar untuk sasarkan segmen lebih rendah yang biasanya lebih besar saiz pasarannya. Ini kerana mungkin pada awal lagi segmen yang disasarkan adalah pertengahan dan keatas.
3. Ekosistem Xiaomi
Sumber : techinasia.com
Seterusnya seperti mana kebanyakan jenama lain yang mula mengeluarkan produk selain telefon pintar, Xiaomi juga ada keluaran produk yang melengkapkan ekosistemnya tersendiri. Bezanya dengan Samsung, kita boleh lihat pengeluaran Xiaomi lebih rancak dan lebih banyak pilihan.
Memiliki pelbagai produk selain produk utama iaitu telefon pintar akan menghadapi cabaran hilang fokus dan mewujudkan kekeliruan identiti. Namun perkara ini telah diatasi secara proaktif sejak awal lagi.
Sementara Xiaomi fokus untuk hasilkan produk utamanya iaitu telefon pintar, TV pintar dan router pintar, Xiaomi telah melabur dalam syarikat yang menghasilkan produk-produk yang mampu melengkapkan ekosistemnya. Dengan ini, tiada isu percampuran pengurusan operasi atau hilang fokus.
Kesimpulannya, sejarah telah membuktikan bahawa anda tak perlu jadi yang terawal untuk jadi yang terbaik. Ambil iktibar daripada orang lain dan buat penambahbaikan.