Amazon Dan Alibaba, Apakah Perbezaan Dan Persamaan Mereka?

Tidak dinafikan, perniagaan online sekarang merupakan pilihan orang ramai ketika tersebarnya virus Covid-19 yang menyerang dunia. Sebelum ini, perniagaan e-commerce merupakan pilihan orang ramai kerana barangan yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding dengan harga pasaran.

Kini, e-commerce menjadi pilihan ramai kerana kekangan akibat Covid-19 ini.

Menyebut tentang perniagaan e-commerce ini, kita tidak boleh menafikan dua pemain utama yang menguasai perniagaan e-commerce dunia iaitu Amazon dan Alibaba. Kedua-dua syarikat ini telah menguasai hampir keseluruhan pasaran e-commerce dunia pada hari ini.

Walaupun syarikat ini di dalam bidang yang sama, jika kita meneliti dengan terperinci, sebenarnya kedua model perniagaan yang dilakukan oleh dua syarikat ini sangat berbeza.

Mari kita lihat bagaimana persamaan dan perbezaan  di antara model perniagaan kedua syarikat ini dijalankan dan bagaimana syarikat ini berjaya dengan model perniagaan yang dipilih mereka. Pertama, mari kita lihat bagaimana model perniagaan yang dilakukan oleh Amazon.

Syarikat ini menggunakan model perniagaan yang mana penjual perlu menjual produk mereka melalui platform Amazon dan penghantaran produk tersebut adalah melalui Amazon.

Amazon yang memfokuskan kepada penghantaran yang cukup efektif bagi memberi kepuasan semaksimum mungkin kepada pelanggan mereka. Model perniagaan ini menjadikan Amazon memerlukan gudang untuk menyimpan barangan mereka sebelum sampai kepada pelanggan mereka.

Amazon mengawal logistik dan menjadikan penghantaran barangan jualan mereka begitu pantas berbanding dengan pesaingnya yang lain.

Berbeza dengan Alibaba yang tidak mempunyai gudang kerana Alibaba hanya menyediakan platform yang menghubungkan antara penjual dan juga pembeli tanpa melibatkan sebarang urusan logistik.

Apa yang menjadikan Alibaba begitu unik adalah, ramai peniaga kecil menggunakan platform yang dibangunkan oleh Alibaba untuk memasarkan produk mereka. Alibaba hanya menjadi orang tengah di dalam urusan jual beli tersebut.

Alibaba menpunyai dua platform yang mana mensasarkan kepada golongan pelanggan yang berbeza. Platform pertama yang diperkenalkan oleh Alibaba adalah Taobao.

Pada asalnya, platform ini diwujudkan untuk bersaing dengan e-Bay pada awal melinium yang mana cuba menguasai pasaran China ketika itu. Selain Taobao, Alibaba juga mempunyai satu lagi platform yang dikhususkan untuk jenama terkenal untuk berniaga di dalam ekosistem mereka yang diberi nama Tmall.

Banyak jenama terkenal yang menggunakan Tmall seperti Nike, Hugo Boss, Zara dan sebagainya.

Selain perbezaan itu, mari kita lihat apakah persamaan yang dimiliki oleh dua gergasi syarikat ini. Syarikat ini mempunyai satu persamaan di dalam e-commerce yang mana mereka mengawal data pelanggan.

Data ini tadi akan digunakan untuk melihat corak pembelian dari pelanggan.

Dari segi data pelanggan, Amazon lebih terkedepan dalam mengumpul data pelanggan kerana mengawal proses customer service. Pihak penjual hanya menjual produk mereka melalui Amazon sahaja.

Alibaba pula tidak memegang data pelanggan mereka secara terperinci kerana urusan customer service ini adalah diantara penjual dan pelanggan sahaja tetapi secara umum Alibaba akan mengambil maklumat  produk yang mana menjadi pilihan para pelanggan mereka.

Iklan akan disediakan kepada peniaga yang ingin membuat kedai online mereka lebih terkedepan berbanding dengan peniaga yang lain.

Persamaan lain adalah keduanya melabur dalam sektor teknologi – Alibaba Cloud dan Amazon Web Services.

Kini, kedua-duanya giat melakukan pelaburan untuk menambah penguasaan dalam dunia e-commerce. Amazon yang telah mencapai taraf trilion dollar company manakala Alibaba hanya separuh daripada Amazon dari segi market capitalization.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.