Bahana Politik Punca Saham Syarikat Super Ring Naik?

Apabila teringat video yang membuatkan keropok Super Ring viral beberapa bulan lepas membuatkan kita geli hati melihat gelagat seorang wanita yang membuat bantahan di perkarangan Dataran Merdeka sekitar bulan Mac yang lalu.

Ketika itu bantahan ditujukan kepada kerajaan baru selepas Tun Dr. Mahathir melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri ketujuh. Semuanya tampak serius pada mulanya sehinggalah beberapa bait-bait lucu dikeluarkan oleh wanita tersebut di hadapan khalayak ramai sehingga mengaitkan snek popular kegemaran rakyat Malaysia iaitu keropok ‘Super Ring’.

“Orang cakap orang Malaysia ni diam diri, tak kesah kalau politik tukar, tak kesah! duduk boleh makan keropok Super Ring dengar berita, hey aku tak macam tulah! aku marah!”

Demikianlah bait-bait wanita itu yang mengundang viral di media sosial sehingga tidak dijangka populariti keropok Super Ring semakin meningkat saban hari.

Dalam tempoh beberapa bulan lamanya ia dijadikan sebagai bahan jenaka sehinggalah ia terus dipopularkan oleh mantan perdana menteri ke-enam Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan jenaka yang ditudingkan kepada pihak pembangkang selepas kerajaan baru tertubuh pada bulan Mac yang lalu.

Ironinya sejak bulan Mac 2020 juga saham syarikat pengeluar produk ini membuat kenaikan yang meyakinkan hingga mencapai paras tertinggi dua tahun lepas.

Pergerakan Harga OFIH Sejak Mac 2020. Sumber: Tradingview

Jadi, siapakah syarikat pengeluar Super-Ring?

Syarikat tersebut adalah Oriental Food Industries Holdings Berhad (OFIH). Syarikat ini beroperasi dalam tiga segmen perniagaan iaitu: Pembuatan dan pemasaran makanan berasaskan snek; pembangungan hartanah, dan syarikat pemegang pelaburan.

Subsidiari di bawah syarikat ini termasuklah Oriental Food Industries Sdn Bhd., OFI Properties Sdn Bhd. dan Oriental Food Marketing (M) Sdn Bhd. Salah satu anak syarikatnya Oriental Food Industries Sdn. Bhd menjalankan perniagaan dalam pembuatan dan pemasaran makanan berasaskan snek yang mana terbahagi kepada empat kategori iaitu snek, wafer, snek potato dan produk bakeri.

Antara produknya yang popular adalah di bawah jenama Rota, Super Ring, Jacker dan Oriental. Kilang pengeluaran produk-produk ini pula terletak di Air Keroh Industrial Estate, Melaka.

Pergerakan Saham OFIH Sejak Mac 2020

Walaupun pada awal bulan Mac itu terdapat penurunan oleh saham OFIH daripada sekitar RM0.675 kepada paras terendah bulan tersebut RM0.45, tetapi sejak dari itu ia merekodkan kenaikan dua bulan berturut-turut pada April dan Mei.

Kenaikan OFIH berterusan sehingga mencecah paras tertinggi yang pernah dicapai dua tahun lalu di sekitar harga RM0.81 sesaham pada 11 Jun 2020.

Setakat pada hari ini (30 Julai 2020) saham OFIH berlegar di sekitar harga RM0.73 dengan modal pasaran keseluruhan berjumlah RM175.2 juta.

Boleh beli ke saham ni? Beli memang boleh, tetapi dah ada akaun CDS belum? Yakin ke harga saham tu boleh naik lagi?

Baca lagi Cara Buka Akaun CDS

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pergerakan Penumpang Melebihi Paras 7 Juta Pada Mei, Tertinggi Dalam Tempoh Dua Tahun – MAHB

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Prestasi trafik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk keseluruhan rangkaian lapangan terbangnya mendapat tarikan pada Mei 2022, mencatatkan pergerakan penumpang tertinggi setakat ini melepasi paras tujuh juta buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan trafik tertinggi pada tahun ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia adalah menggalakkan, mencecah jumlah satu juta pada Mei 2022, hanya dalam tempoh sebulan selepas pembukaan semula sempadan.

“Lanmei Airlines, syarikat penerbangan berjadual baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mula beroperasi pada 28 Mei, dengan kekerapan sekali seminggu dan merancang untuk meningkat kepada tujuh kali seminggu.

“IndiGo Airlines, Jin Air, Thai Smile Airways, Royal Brunei dan Philippine AirAsia telah beroperasi semula pada Mei.

“Sementara itu, AirAsia, Himalaya Airlines, Indonesia AirAsia, Jetstar Asia, Oman Air, Saudi Arabian Airlines, Scoot Airlines, Thai AirAsia, Thai Airways, US Bangla, Vietjet dan Vietnam Airlines turut meningkatkan kekerapan, menyumbang kepada tambahan 209 kekerapan mingguan pada Mei,” katanya. 

Bagi pergerakan penumpang domestik, pengurus lapangan terbang itu berkata ia adalah sama menggalakkan, mencecah lebih tiga juta penumpang atau 91 peratus daripada paras sebelum COVID.

“Pertumbuhan itu didorong oleh sambutan Aidilfitri pada awal Mei dan sambutan musim menuai Sabah dan Sarawak pada akhir bulan.

“Momentum trafik pada Mei turut berterusan hingga Jun dengan peningkatan 11 peratus dalam purata pergerakan penumpang harian kepada 163,000,” katanya.

Sementara itu, MAHB berkata pergerakan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul juga terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh trafik percutian, laluan syarikat penerbangan dan peningkatan kapasiti.

“Pergerakan penumpang antarabangsa mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini pada 2022, mencatatkan 1.2 juta penumpang.

“Anadolujet dan Pegasus memulakan perkhidmatan baharu ke Milan-Bergamo dan Helsinki dengan penerbangan harian dan empat kali seminggu, masing-masing pada 16 dan 26 Mei,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/pergerakan-penumpang-melebihi-paras-7-juta-pada-mei-tertinggi-dalam-tempoh-dua-tahun-mahb/