Bermula Sebagai Seorang Suri Rumah, Kini Pemilik Empayar Telekung Terkemuka Siti Khadijah

Jenama telekung Siti Khadijah (SK) sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan tagline ‘Lambang Cinta Abadi’, jenama ini sudah berjaya menembusi pasaran Indonesia yang memang terkenal dengan penghasilan telekung-telekung yang cantik dan juga berkualiti. Tentunya tidak mudah untuk mencipta kejayaan seperti sekarang. Pelbagai cabaran serta dugaan yang telah terpaksa dihadapi sepanjang menjalankan perniagaan ini.

Bagi pemilik dan pengasas Butik Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd, Puan Hajah Pazdilah Enda Sulaiman, beliau tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang usahawan apatah lagi untuk menghasilkan telekung eksklusif. Tetapi semuanya berubah apabila beliau merasakan sukar untuk mendapatkan telekung yang selesa dan memenuhi citarasanya.

Jadi dengan sedikit asas jahitan yang dimiliki, beliau telah menggaji seorang pekerja untuk sama-sama membantunya dalam menghasilkan jenama tudung SK. Sebelum memulakan perniagaan ini, beliau tekun melakukan kajian, pembangunan dan juga inovasi supaya rekaan yang dihasilkan nanti bersesuaian dengan trend fesyen ketika itu.

Benarlah kata orang, untuk berjaya kita perlu mengorbankan banyak masa. Bayangkan, beliau terpaksa bersengkang mata sehingga pukul 3 pagi bagi menyiapkan jahitannya! Dugaannya tidak terhenti di situ. Beliau juga mengalami masa-masa sukar apabila 200 pasang telekung yang dijahit tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan. Ini kerana harga telekung rekaannya dirasakan terlalu mahal.

Tetapi wanita hebat ini tidak berputus apa. Beliau melakukan aktiviti promosi dan pemasaran dipelbagai medium seperti akhbar, majalah, laman web dan sebagainya. Usaha ini membuahkan hasil apabila jenama SK semakin dikenali dan diminati oleh golongan Muslimah yang mementingkan keselesaan dan rekaannya bukan sahaja cantik, tetapi eksklusif.

Mungkin ada yang menyangka cabarannya terhenti apabila jenama ini semakin terkenal. Tetapi realitinya, apabila jenama ini mula mendapat tempat di hati pengguna, masalah lain pula timbul. Jenama ini mula mendapat masalah dari segi hak cipta pula apabila ada pihak lain yang cuba meniru rekaan SK sehingga mereka terpaksa mengambil tindakan mahkamah. Penat lelah yang dicurah selama ini tidak terbuang begitu sahaja apabila mereka memenangi kes ini.

Kesabaran serta ketekunan Puan Padzilah telah membuatkan jenama SK menjadi telekung yang bukan sahaja mendapat tempat dihati pengguna di Malaysia, tetapi juga pengguna lain di rantau ini. Kini beliau mampu tersenyum dengan empayar perniagaan yang dimilikinya. Kisah beliau boleh dijadikan inspirasi bagi suri rumah di luar sana yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Sumber Rujukan:

  1. http://sitikhadijah.com.my/2018/06/29/kenali-pengasas-telekung-siti-khadijah/
  2. https://www.thevocket.com/19-mutiara-yang-saya-kutip-dari-pertemuan-dengan-pengasas-telekung-siti-khadijah/
  3. http://www.agendadaily.com/CATATAN-ODAH/saya-layan-dengan-senyum-pengasas-telekung-siti-khadijah.html
  4. http://www.sinarharian.com.my/rencana/telekung-siti-khadijah-ke-persada-dunia-1.318907

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.