Ferdinand Marcos, Diktator Filipina Yang Dijatuhkan Dengan Kuasa Rakyat

Hubungan yang baik di antara parti pemerintah dan rakyat menjadikan faktor utama sesebuah kerajaan dapat bertahan dalam tempoh yang lama. Jika hubungan ini dapat bertahan, kerajaan dapat memerintah dengan baik tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

Kebanyakan kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat ini adalah kerajaan dari negara yang mengamalkan sistem demokrasi pilihan raya. Ini kerana suara rakyat akan dibawa oleh parti pemerintah yang berjaya memenangi kuasa melalui pilihan raya.

Walaupun begitu, tidak semua negara demokrasi di dunia ini mengamalkan sistem suara rakyat malah ada sebahagian kecil mereka menjadi diktator yang bertopengkan demokrasi. Kebanyakan diktator versi demokrasi ini adalah dari negara yang membangun dan contoh paling dekat dengan kita adalah Filipina.

Kredit Gambar: Youtube

Filipina merupakan sebuah negara demokrasi yang menggunakan pilihan raya untuk melantik presiden. Walaupun begitu, negara ini pernah diperintah oleh diktator yang bernama Ferdinand Marcos. Beliau merupakan tokoh yang penting dalam sejarah penubuhan Filipina era moden.

Beliau dilahirkan pada tahun 1917 dan bapanya merupakan seorang peguam dan juga ahli politik. Disebabkan itu, tidak hairan Ferdinand Marcos berkecimpung dalam dunia politik sejak usianya masih muda lagi.

Ferdinand Marcos Dan Dunia Politik

Ketika perang dunia berlaku, Filipina merupakan negara yang terlibat dengan peperangan tersebut. Amerika Syarikat pada ketika itu menjadikan Filipina sebagai sekutu mereka untuk membendung kemaraan Jepun di bahagian Asia Tenggara.

Perjuangan Ferdinand Marcos menentang Jepun telah menjadikannya begitu popular di kalangan rakyat Filipina. Ferdinand Marcos mempunyai pelbagai pingat penghargaan yang diberi kepadanya kerana mempertahankan negara dalam penaklukan Jepun ke atas negara itu semasa perang dunia kedua berlaku.

Setelah perang dunia kedua tamat, beliau sangat aktif dalam dunia politik dan pernah menjadi senator dalam Parlimen kerajaan.

Kredit Gambar: Rappler

Pada pertengahan 1960-an, Ferdinand Marcos bertanding untuk jawatan Presiden dan akhirnya beliau telah berjaya memenangi kerusi Presiden pada tahun 1965. Ketika penggal pemerintahan pertama, beliau begitu lembut dengan rakyat Filipina.

Ramai rakyat Filipina yang suka akan pemerintahan Ferdinand Marcos kerana menjaga kebajikan rakyat dari segenap sudut. Beliau juga turut menjalinkan kerjasama yang erat dengan Amerika Syarikat dan membantu negara tersebut ketika menentang komunis di Vietnam.

Kekejaman Ferdinand Marcos Bermula

Walau bagaimanapun, semuanya berubah apabila penggal pemerintahan yang kedua dimenangi oleh Ferdinand Marcos. Beliau dilihat telah menyalahguna kuasa sebagai seorang Presiden yang sepatutnya mempertahankan rakyat kini dilihat menekan rakyat dengan kuasa yang dimilikinya.

Jenayah semakin bertambah akibat kemiskinan yang berlaku dalam negara tersebut. Kumpulan militan Islam mula melebarkan sayapnya disebabkan tekanan yang diberi oleh Ferdinand Marcos kepada gologan minoriti negara tersebut.

Disebabkan perkara tersebut, Ferdinand Marcos telah meluluskan satu undang-undang yang sangat kontroversi yang dinamakan martial law. Undang-undang ini merupakan undang-undang anti keganasan yang mana pihak kerajaan mempunyai hak untuk menangkap mana-mana individu yang yang dianggap mengancam keselamatan negara tanpa sebarang perbicaraan.

Ferdinand Marcos turut mengambil peluang menggunakan undang-undang ini untuk menangkap mana-mana individu yang mengancam kedudukannya sebagai Presiden Filipina. Dalam tempoh ini juga, Ferdinand Marcos telah mencuri harta rakyat Filipina untuk menambah kekayaan peribadi dan ahli keluarga beliau.

Rasuah berlaku dengan berleluasa pada ketika ini di kala rakyat semakin tertekan dengan kemiskinan hidup. Di antara rasuah yang paling kontroversi yang pernah dilakukan oleh Ferdinand Marcos adalah koleksi beg tangan mewah yang dimiliki oleh isterinya Imelda Marcos.

Beliau dikatakan mempunyai pelbagai jenis koleksi beg tangan mewah dari seluruh dunia. Ferdinand Marcos tidak lagi mementingkan kehidupan rakyat Filipina sebaliknya mementingkan kehidupan peribadi keluarganya. Pada dekad tersebut, rakyat Filipina hidup dalam keadaan ketakutan dengan kuasa yang dimiliki oleh Ferdinand Marcos.

Kredit Gmabar: PhilStar

Digulingkan Dengan Kuasa Rakyat

Akhirnya, rakyat Filipina sudah tidak tahan lagi dengan pemerintahan Ferdinand Marcos yang dilihat semakin hari semakin kejam. Pada tahun 1986, pilihan raya yang berlangsung telah menobatkan Ferdinand Marcos sebagai Presiden.

Ini menimbulkan kemarahan rakyat Filipina yang melihat pilihan raya tersebut sebagai kotor dan penuh dengan penipuan. Akhirnya, berjuta-juta rakyat Filipina turun ke  jalan dan melakukan demonstrasi.

Ada di antara mereka yang dibunuh oleh pihak tentera dalam demonstrasi aman tersebut. Amerika Syarikat yang merupakan sekutu kuat Ferdinand Marcos telah menasihatkan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Akhirnya Marcos akur dengan kehendak rakyat Filipina dan meletak jawatan secara aman. Beliau diberi suaka politik oleh Amerika Syarikat dan menetap di Hawaii. Beliau meninggal pada tahun 1989.

Keperitan hidup rakyat Filipina sangat besar kesannya akibat pemerintahan kuku besi Ferdinand Marcos sehinggakan rakyat negara itu tidak sudi menerima mayat Ferdinand Marcos untuk dikebumikan di Filipina. Sepanjang pemerintahannya, beliau dikatakan mencuri sebanyak USD5 ke USD10 bilion duit rakyat.

Begitulah berakhirnya pemerintahan kejam yang dilakukan oleh Ferdinand Marcos terhadap rakyat mereka sendiri.

Sumber Rujukan: Bloomberg Quicktake

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.