Follow 5 Akaun Instagram Ini Untuk Kandungan Terbaik Tentang Kewangan

Perkembangan teknologi internet zaman sekarang membolehkan hampir sesiapa sahaja mengakses maklumat di hujung jari. Kemunculan media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Twitter dan pelbagai lagi platform telah membuatkan manusia dapat berhubung merentas dunia dalam sekelip mata.

Pencipta kandungan yang bermanfaat juga tidak melepaskan peluang untuk menggunakan platform-platform ini untuk menyebarkan maklumat yang berguna, seperti tips melancong, berkongsi resipi, kata-kata motivasi, lawak jenaka dan sebagainya.

Kali ini, penulis hendak berkongsi dengan anda beberapa akaun Instagram di Malaysia yang aktif berkongsi tips kewangan. Manalah tahu, sambil-sambil scroll feed tu, dapat juga belajar ilmu kewangan secara tidak langsung. Akaun-akaun ini dipilih berdasarkan keaktifan, jumlah followers, serta kepelbagaian jenis kandungan.

Jom kita layan!

1. Dr. Azizul Azli Ahmad

Sesiapa sahaja yang aktif bergiat dalam pelaburan hartanah mesti kenal individu ini. Beliau yang dimaksudkan tak lain dan tak bukan, Dr Azizul Azli Ahmad.

Kalau nak tahu, Dr Azizul merupakan seorang seorang pensyarah kanan di Jabatan Seni Bina Dalaman, Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur yang memiliki PhD dalam bidang Seni Bina Dalaman. Tidak diragui lagi bahawa beliau merupakan pakar yang bertauliah dalam bidang hartanah.

Selain hartanah, Dr Azizul juga memberikan tips-tips kewangan yang menarik.

Beliau aktif di Facebook di mana Dr Azizul mempunyai hampir 200,000 followers. Beliau juga aktif di Instagram dengan followers hampir mencecah 13,000 dan lebih dari 1,000 post.

Pautan: https://www.instagram.com/azizulazliahmad/

2. Amanah Saham Nasional Berhad

Yang ini pasti semua orang kenal. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) merupakan anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menguruskan salah satu unit amanah paling popular dalam kalangan bumiputera iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Selain fungsi utama sebagai pengurus dana rakyat Malaysia, ASNB juga giat menimbulkan kesedaran awam tentang kepentingan pengurusan kewangan.

Di laman Instagram mereka terdapat pelbagai kandungan tentang kewangan seperti tips berbelanja dan menyimpan wang, penganjuran karnival, pertandingan dan macam-macam lagi aktiviti menarik!

Setakat ini, Instagram ASNB mempunyai followers lebih daripada 11,000 orang dan mempunyai lebih daripada 1,000 post.

Pautan: https://www.instagram.com/asnbinsta/

3. Afyan Mat Rawi

Seperti Dr Azizul, Tuan Afyan Mat Rawi merupakan seorang yang amat aktif di media sosial dalam bidang berkaitan kewangan peribadi, seperti pengurusan kewangan dan takaful. Beliau menguruskan beberapa Facebook page berkaitan kewangan, akaun Twitter dan juga aktif menulis di blog beliau.

Selain di Facebook dan Twitter, mungkin ramai belum tahu bahawa beliau juga sangat aktif di Instagram dengan followers berjumlah lebih daripada 5,000 orang dengan hampir 1,000 post.

Pautan: https://www.instagram.com/afyan.ifp/

4. Dividend Magic

Laman Instagram yang dikendalikan oleh individu yang bernama Leigh ini, bagaikan sebuah diari yang mengumpulkan status terkini tentang kewangan dan pelaburannya.

Leigh berhajat untuk mencapai status ‘financial independence’ pada umur 35 tahun dengan strategi berjimat-cermat, menyimpan wang dan juga ‘dividend investing’; iaitu melabur dalam saham yang memberikan dividen yang tinggi dan stabil.

Tak hairanlah portfolio beliau mempunyai yield setinggi 4.92%.

Leigh juga merupakan seorang Certified Financial Planner (CFP), membuatkan beliau seorang yang bertauliah dalam pengurusan kewangan.

Laman Instagram beliau kini mempunyai followers seramai lebih 4,000 orang dan hampir 200 post. Beliau juga aktif mengendalikan laman Facebook serta blog Dividend Magic.

Pautan: https://www.instagram.com/dividendmagic/

5. Suraya Zainudin

Suraya merupakan seorang aktivis kewangan yang amat popular di kalangan rakyat Malaysia melalui penulisannya di blog Ringgit Oh Ringgit. Penulis sendiri sudah banyak kali mengunjungi blog beliau untuk mencari tips serta panduan dalam kewangan dan pelaburan.

Beliau juga aktif berkongsi info di laman Facebook Ringgit Oh Ringgit dan Instagram.

Suraya mempunyai  lebih daripada 2000 followers setakat ini, dengan hampir 300 post.

Macam-macam kandungan yang beliau sampaikan, contohnya seperti rekomendasi buku, seminar, produk pelaburan terbaru; dan tak lupa juga tips-tips kewangan yang menarik.

Pautan: https://www.instagram.com/surayaror/

Akaun mana lagi yang anda rasa kami patut hebahkan? Kalau ada yang kami terlepas, jemput kongsikan dengan kami!

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari