Industri Berbillion Ringgit: Jenama Pampers Hilang Di Punggung, Tetapi Kekal Di Hati

Saat penulisan artikel ini dimulakan, penulis baru saja seminggu menyambut dan mengurus kelahiran anak pertama.

Si ibu setiap hari penat menyusukan, jadi penulis ambil tanggungjawab menjadi penukar pampers. Sambil-sambil tukar Pampers tiba-tiba muncul persoalan dalam minda penulis.

Apa Dah Jadi Dengan Jenama Pampers?

Kebanyakan orang Malaysia masih sebut lampin pakai buang dengan panggilan pampers. Malah kata kunci ‘pampers’ paling kerap digunakan di laman beli belah online untuk carian ‘diapers’.

Di antara contoh jenama yang kuat dikaitkan dengan sesuatu barangan ialah Maggi bagi mi segera dan Tupperware untuk bekas penyimpan makanan.

Di Malaysia, Maggi dan Tupperware masih mudah dijumpai di mana-mana. Tetapi mana perginya Pampers?

Carian di pasaraya-pasaraya besar atau kecil, tidak langsung menjumpai jenama Pampers. Nak kata dipasarkan dengan nama lain tak juga. Jenama-jenama yang dijumpai tidak ada yang dipunyai Procter & Gamble, iaitu pemilik jenama Pampers.

Sumber: Tesco Online Groceries (Malaysia)

Tinjauan ke laman web Pampers menemukan garis masa dengan perkembangan terakhir dicatat pada era 90an dan selepasnya terus fast forward ke ‘Today’. Lompong 30 tahun yang pada penulis boleh menimbulkan banyak tanda tanya.

Sumber: Pampers.com

Mungkinkah Pampers adalah ‘Nokia’ dalam dunia lampin pakai buang?

Tidaklah begitu.

Hakikatnya, Pampers masih gah sebagai jenama lampin pakai buang nombor 1 dengan jualan tertinggi di pasaran global dan satu-satunya jenama lampin yang tersenarai di dalam Forbes 100 World’s Most Valuable Brands.

Harganya yang agak tinggi berbanding jenama lain di pasaran Malaysia, mungkin penyebab ia tidak lagi menjadi pilihan warga tempatan. Sebenarnya P&G ada juga mengeluarkan lampin pakai buang versi ekonomi dengan jenama ‘Luvs’, tetapi ia tidak juga dipasarkan di Malaysia.

Terkini, dilihat Pampers cuba membuat kemunculan semula di Malaysia melalui kerjasama eksklusif dengan sebuah laman beli-belah atas talian.

Second-Mover Advantage

Sumber: Wikipedia

Pampers bukanlah jenama yang mencipta lampin pakai buang. Ia adalah hasil inovasi pada era 1950an, kerana seorang lelaki bernama Victor Mills tidak berpuas hati dengan produk sedia ada. Pampers boleh dianggap sebagai second-mover, yang bertahan dan terus menguasai pasaran antarabangsa sehingga ke hari ini.

Kemudiannya, trend penggunaan lampin pakai buang yang dikomersialkan telah membuka pula jalan kepada puluhan jenama lain di seluruh dunia.

Sementara Pampers memposisikan produknya sebagai jenama ‘pioneer’ dan ‘premium’, di Malaysia khususnya; jenama lain kebanyakannya dipasarkan sebagai alternatif yang lebih mesra poket pengguna.

Jenama-jenama dari Malaysia juga ada beberapa contoh ‘Second-Mover’ atau ‘Later Entrant’ yang menarik untuk diperhatikan.

Kemunculan AirAsia telah menjadi permulaan kejatuhan Malaysia Airlines.

Perodua gah menguasai jalan raya di Malaysia dengan identiti kereta nasional yang dipelopori Proton.

Produk tenusu Farm Fresh yang baru setahun jagung, begitu pantas berkembang menyaingi jenama-jenama terkemuka antarabangsa.

Selesai tukar Pampers..eh lampin, penulis mula browse online untuk mencari kerusi keselamatan kanak-kanak pula. Notis wajib menggunakan Child Restraint System (CRS) mulai 1 Januari 2020 telah pun dikeluarkan.

Mungkin penulis yang belum terjumpa, tapi nampaknya rata-rata CRS yang memenuhi piawaian keselamatan antrabangsa adalah produk import dengan harga purata sehingga 4 angka.

Pasaran Produk Bayi Dan Kanak-Kanak Di Malaysia Bernilai Lebih RM1 Bilion Setahun

Pasaran lampin pakai buang mungkin sudah agak tepu, sampai pasaraya besar telah pun mengeluarkan jenama sendiri yang mengakibatkan Pampers terpinggir. Begitu juga dengan kebanyakan barangan lain dalam segmen berkenaan.

Tetapi pasaran CRS di Malaysia nampaknya masih ada ruang untuk pemain-pemain alternatif. Mungkin ini ‘the next big thing’ untuk usahawan-usahawan tempatan sekalian?

Sumber: Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS)

Ditulis oleh Izzudeen Razali. Penulis merupakan seorang penganalisis di sebuah firma pengurusan aset dan dana di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.