Kapten Azrin, Juruterbang Yang Diberhentikan Kerja Kini ‘Terbang’ Semula Dengan Kapten Corner

Kesan dari pandemik COVID-19, ramai pekerja yang kehilangan kerja dan terpaksa mencari kerja lain. Menurut sumber Berita Harian, pada Januari hingga 27 November 2020, seramai 99,696 pekerja telah diberhentikan kerja ekoran syarikat terkesan dengan pandemik yang melanda.

Selain mencari kerja baru, ada juga yang melakukan kerja secara freelance dan berniaga untuk menjana pendapatan. Perkara ini turut terjadi kepada seorang juruterbang iaitu Kapten Azrin Mohamad Zawawi yang telah diberhentikan kerja.

Mari kami kongsikan kisah Kapten Azrin ini, yang kini mengusahakan Kapten Corner.

Permulaan Kapten Corner

30 Oktober 2020 yang lalu, Kapten Azrin Mohamad Zawawi telah diberhentikan kerja daripada Malindo Air ekoran pengecilan operasi syarikat penerbangan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Akibat pandemik dan diberhentikan kerja bukanlah penamat bagi kehidupan beliau tetapi kehidupan yang dimilikinya mesti diteruskan.

Bersandarkan pegangan tersebutlah, beliau memberanikan diri membuka gerai makanan Kapten Corner sebagai mata pencariannya yang baru.

Kapten Corner: Menampilkan Identiti Yang Unik

This image has an empty alt attribute; its file name is Kapten-Azrin-Juruterbang-Yang-Diberhentikan-Kerja-Kini-Terbang-Semula-Dengan-Kapten-Corner1-700x700.jpg
Kredit Gambar: FB Kapten Korner

Dengan mengekalkan identitinya sebagai juruterbang, pemilik gerai Kapten Corner ini memakai pakaian seragam juruterbangnya semasa melayan pelanggan yang datang.

Beliau turut lengkap dengan lencana, pangkat, topi, lencana sayap dan apron merah. Identiti yang dipaparkannya begitu menarik para pengunjung, sehinggakan beliau agak sibuk dalam melayani pelanggannya.

Menu Yang Disediakan Oleh Kapten Corner

Beliau menyediakan hidangan makanan yang sangat sedap seperti Mee Kari Ipoh, Bihun Sup, Laksa Utara dan juga Rojak Buah. Kapten Corner beroperasi dari jam 2 petang sehingga jam 7 malam di Boom Town Cafe, USJ 11, Subang Jaya, Selangor.

Kekuatan Utama Kapten Azrin Dalam Perniagaan Kapten Corner

Kapten Azrin mengatakan bahawa beliau mempunyai kekuatan untuk membuka gerai tersebut kerana terinspirasi dengan ketekunan keluarga mertuanya dalam memiliki perniagaan katering sejak 30 tahun yang lalu.

Tambahan pula, makanan dari Kapten Corner ini disediakan oleh ibu mertuanya dan isterinya dengan bermodalkan sebanyak RM2,000. Kini, ia sangat terkenal kerana keunikannya.

Buang Perasaan Negatif Sejauh Mungkin

Bagi Kapten Azrin, mengubah karier juruterbang menjadi peniaga gerai di tepi jalan bukanlah perkara yang mudah baginya. Lebih-lebih lagi, beliau perlu menghadapi persepsi masyarakat yang meletakkan kerjaya dalam industri penerbangan sebagai sesuatu yang sangat hebat.

Pada mulanya, beliau berasa sangat malu, kecewa dan rendah diri, namun akhirnya beliau membuang perasaan negatif tersebut. Beliau bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang dikecapi sekarang dalam bidang perniagaan.

Kesimpulannya, kesungguhan dan semangat kuat Kapten Azrin perlu dicontohi oleh kita semua. Bagi kekal positif sepertinya, kita harus sentiasa memandang ke hadapan dan membuang segala perasaan yang negatif.

Jangan berputus asa dan ambil peluang yang ada dengan sebaik mungkin.

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.