Transnusa Lancar Penerbangan Sulung Ke Kuala Lumpur Pada April

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Syarikat penerbangan perkhidmatan premium yang pertama di Asia Tenggara, PT TransNusa Aviation Mandiri (TransNusa) membuat penampilan sulung ke pasaran antarabangsa menerusi laluan Jakarta-Kuala Lumpur-Jakarta pada 14 April ini. 

Syarikat penerbangan itu akan menyediakan dua penerbangan harian pergi dan balik dari Jakarta ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, dengan harga kompetitif serendah RM299.

TransNusa dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat penerbangan tersebut berusaha untuk mengubah persekitaran industri penerbangan dengan menawarkan produk unik dan dijangka menjadikan laluan itu lebih berdaya saing kerana syarikat tersebut bukan syarikat penerbangan penuh atau tambang rendah, namun, menawarkan produk lebih berkualiti berbanding syarikat penerbangan tambang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Penerbangan, Datuk Bernard Francis berkata penumpang TransNusa akan menikmati produk premium yang setara dengan kemudahan dan perkhidmatan syarikat penerbangan penuh pada harga kompetitif, menjadikannya berbeza berbanding syarikat penerbangan penuh dan tambang rendah lain yang beroperasi di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Satu daripada ciri unik kami adalah ruang letak kaki premium yang disediakan syarikat penerbangan TransNusa,” katanya. 

Menurutnya pesawat A320 TransNusa dilengkapi dengan 168 hingga 174 tempat duduk dan menyediakan ruang letak kaki premium sepanjang 76.2 hingga 78.74 sentimeter, sama seperti syarikat penerbangan penuh.

Selain itu, beliau berkata semua penerbangan TransNusa bagi laluan tersebut beroperasi pada slot waktu utama dan penumpang menikmati bagasi percuma antara 15 kilogram dan 30 kilogram, bergantung kepada tempat duduk yang dipilih.

Beliau berkata makanan dan pertukaran penerbangan tanpa had turut disediakan kepada penumpang yang mahukannya.

“Walaupun TransNusa menawarkan semua perkhidmatan syarikat penerbangan premium ini kepada penumpang, syarikat penerbangan ini menawarkan harga yang rendah dan kompetitif,” katanya.

Ketika ini TransNusa mempunyai dua pangkalan di Indonesia iaitu Bali dan Jakarta yang mengendalikan 10 penerbangan harian di antara Jakarta dan Bali serta tiga penerbangan harian dari Jakarta ke Jogjakarta. 

Syarikat penerbangan berusia 15 tahun itu pada masa ini memiliki dan mengendalikan empat pesawat dan dijangka meningkat kepada enam pesawat dalam tempoh enam bulan akan datang. 

TransNusa menerima semua kelulusan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia daripada pihak berkuasa penerbangan yang berkaitan di Malaysia dan menyasarkan untuk mempunyai dua penerbangan harian ke Malaysia dan dari Malaysia.

Selain itu, syarikat ini sedang mendapatkan kelulusan untuk beroperasi dari Johor Bahru.

Di Indonesia, TransNusa beroperasi sebagai syarikat penerbangan tambang rendah di pasaran domestik yang berdaya saing.

— BERNAMA  

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/