Kisah Kejayaan Jutawan Takaful, Azizam Saidina Othman

Berniaga di pasar malam sememangnya memerlukan tenaga yang sangat banyak dan kesabaran yang sangat tinggi. Ia merupakan pekerjaan awal kepada Azizam Saidina Othman, iaitu jutawan takaful sebelum menceburi industri takaful. 

Mungkin anda masih belum pernah mendengar nama seorang anak muda Melayu ini. Semoga kisah kejayaan jutawan takaful, Azizam Saidina Othman ini bermanfaat dan berinspirasi buat kita semua.

Bermula Dengan Bekerja Untuk Hidup

Seperti yang diperkatakan tadi, di awal karier pekerjaan Azizam Saidina Othman, beliau pernah berniaga di pasar malam untuk menjana pendapatan hidupnya. Selepas itu, beliau telah menjadi promoter di pasar raya kerana gaji yang ditawarkan lebih banyak. Namun pada tahun 1994, beliau telah menukar kerjayanya sekali lagi.

Kali ini, beliau telah menjadi operator kilang di Penang Seagate pada tahun 1994 hingga tahun 1997. Sebelum menceburi industri takaful, Azizam Saidina Othman juga pernah menjadi wakil insuran sejak awal tahun 90an. Syarikat takaful pertama yang diwakilinya adalah Sime Axa Assurance Berhad.

Fasa Mula Menceburi Dunia Takaful

Beliau turut berkongsi bahawa beliau pernah menghadapi kesukaran dalam kehidupan kerana terpaksa menunggang motosikal untuk memasarkan pelan takaful yang diwakili olehnya. Bukan senang untuk memasarkan pelan takaful pada zaman 90an dari satu tempat ke satu tempat dengan hanya menaiki motosikal. Dengan keadaan cuaca hujan dan panas yang tidak menentu di negara kita, pastinya ia memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi.

Pada tahun 1997, Azizam telah menyertai MNI Takaful Sdn Bhd setelah tamat kontrak dengan Sime Axa Assurance Berhad dan berhenti bekerja sebagai operator kilang di Penang Seagate. 

Usaha Mendatangkan Hasil

Setelah 2 tahun bersama MNI Takaful Sdn Bhd sebagai wakil takaful, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Unit. Pada tahun 2003, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Agensi Kumpulan kerana sifat kesabaran dan kesungguhannya dalam memasarkan pelan takaful dan melatih wakil yang baru menyertai syarikat tersebut.

Beliau juga telah berkongsi mengenai pendapatannya yang pertama hanya sekitar RM15 sebagai wakil takaful pada tahun 1997. Namun, pendapatannya kini mencecah RM1 juta setahun hasil daripada berkat usahanya itu. Selain berkecimpung dalam industri takaful, beliau juga turut memiliki syarikatnya sendiri iaitu Muslimmart Sdn Bhd.

Kesimpulannya, sekiranya kita ingin berjaya seperti Azizam Saidina Othman, usaha yang jitu dan kesabaran yang sangat tinggi amat diperlukan. Siapa sangka, bekas peniaga pasar malam ini juga mampu bergelar jutawan kerana kerajinan dan usahanya untuk mengubah taraf hidupnya. Jadi, bagi anda diluar sana, jangan pernah berhenti berusaha untuk mengecapi kejayaan seperti beliau.

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.